“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: 14)
“Doktor, agak-agak berapa lama lagi mak saya boleh hidup?” Tanya si anak dengan wajah yang sukar ditafsirkan. Aisy yang sedang berdiri di sebelah doktor pakar tersentak.
“Bukanlah tugas saya untuk menentukan tempoh hayat seseorang. Semua tu di bawah kekuasaanNya. Sama-sama kita doakan semoga Allah masih panjangkan hayat mak cik,” tenang doktor pakar menjawab soalan si anak.
“Kalau doktor tengok keadaan mak tu berapa lama lagi doktor rasa? Yelah, doktor kan doktor, mesti belajar bab-bab ni, mesti doktor lagi arif pasal semua ni. Doktor mesti lagi tahu tanda-tanda kalau orang tu nak pergi ke apa kan,” Aisy hanya diam.
Perlahan-lahan nalurinya terasa pelik dengan pertanyaan si anak. Kenapa nak tanya soalan macam tu? Seakan-akan berita kematian itu yang ditunggu-tunggu.
“Kalau melihatkan keadaan mak cik, mungkin bila-bila masa mak cik boleh pergi. Itu pun berdasarkan pengalaman saya sahaja. Selebihnya sememangnya hanya Dia yang Maha Berkuasa,” amat teliti ayat yang disusun.
“Bukan apa doktor. Kalau saya tahu bila mak saya nak meninggal, senang sikit kami adik-beradik nak percepatkan proses pindah hak milik harta pusaka. Harta mak saya tu banyak. Tapi ada beberapa yang belum lagi diwariskan pada kami. Mak nak dermakan pada anak-anak yatim. Mana boleh macam tu. Wife saya tak bagi. Dia nak saya minta juga dari mak sebelum mak meninggal. Adik-beradik lain pun nak. Saya anak sulung, jadi sayalah yang kena buat semua ni. Lagipun kami semua sibuk, nak ulang-alik hospital ni menyusahkan je. Nanti kalau mak saya dah berhenti bernafas doktor tak perlu buat apa-apa. Biar je dia pergi.”
Aisy terdiam. Rasa geram semakin menjentik hati. Hampir sahaja diluahkan rasa geramnya. Seakan-akan mendengar dialog dari drama di kaca tv. Tergamak seorang anak menuturkan kata-kata sebegitu pada seorang ibu yang bertarung nyawa melahirkannya ke dunia.
Mata kuyu di sebelahnya dipandang. Sepi. Namun ada genang pada sepasang mata itu. Bibirnya bergetar perlahan, seakan menahan rasa atau ada sesuatu yang tak terluahkan. Mahu sahaja Aisy genggam tangan tua itu.
“Takpelah doktor. Tu je saya nak tanya. Saya balik dulu,” sambung si anak sambil melangkah keluar wad. Langsung tidak dikerling ibunya yang terlantar di katil.
Tiga hari setelah peristiwa ‘bertanyakan tempoh hayat’, anak mak cik kembali muncul di wad. Namun, kali ini dia tidak mencari-cari doktor sepertimana sebelumnya. Kali ini dia tidak keseorangan.
Ada seorang wanita muda yang membawa beberapa keping kertas yang kelihatannya seperti dokumen rasmi.
Lima belas minit kemudian mereka keluar dari wad. Lagaknya seakan tergesa-gesa.
“Kenapa tu?” Tanya seorang jururawat kepada rakannya yang baru datang dari arah yang sama.
“Entah. Laju semacam je.”
Beberapa hari berlalu. Satu petang, sewaktu ward round berjalan, anak mak cik tiba-tiba berlari mendapatkan doktor pakar yang sedang memeriksa pesakit.
“Doktor mana mak saya doktor? Saya nak jumpa mak saya. Semalam saya mimpi buruk doktor. Saya nak minta maaf dengan mak saya doktor. Saya banyak buat salah dengan mak saya. Saya nak minta ampun dengan mak saya doktor,” teresak-esak dia menangis.
Seluruh wad menjadi saksi. Dua, tiga wajah baru yang tidak pernah terlihat sebelum ini juga tiba-tiba muncul. Dalam suasana yang masih lagi kekok, tiba-tiba jururawat datang dengan tergesa-gesa.
“Doktor! Cepat!” Kata jururawat itu tergesa-gesa. Doktor pakar tadi segera bergerak ke arah kubikel yang menempatkan mak cik. Aisy membontoti. Si anak juga. Sampai sahaja di hadapan katil mak cik, cardiac monitoring yang terletak di sebelah katil sudah menunjukkan flatline.
Mak cik akhirnya disahkan meninggal dunia. Tangannya tidak lagi hangat seperti sebelum ini. Anak-anaknya meraung di sebelah tubuh kaku si ibu. Rehatlah mak cik, rehatlah di samping Dia yang menyayangi tanpa batas.
Seorang ibu itu seharusnya dijaga dan dikasihi. Betapa besarnya kasih seorang ibu terhadap anak-anaknya.
Siapa yang melahirkan kita? Siapa yang menyusukan kita? Siapa yang mengajar kita bercakap, berjalan dan mengenali erti kehidupan?
Ibu itu perajurit di malam hari; setia bersengkang mata biarpun tanpa lena. Tidak tercapai dek akal bagaimana seorang anak sanggup membelakangkan ibunya. Hanya kerana harta. Hanya kerana dunia.
Sedangkan Islam telah meletakkan ibu pada tangga yang paling atas. Redha Allah juga bergantung pada redha ibu.
Tidakkah kita mengambil iktibar dengan kisah Al-Qomah? Bilamana lidahnya tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah kerana hati ibunya tersinggung akibat perbuatannya yang menurut ibunya melebihkan isteri daripada si ibu.
Biarpun amalnya setinggi gunung, tanpa redha si ibu, kematiannya begitu sukar. Sehinggalah Rasulullah mengugut untuk membakar mayat Al-Qomah jika si ibu masih tidak mahu memaafkan anaknya untuk mempercepat kematian dan meringankan penderitaan Al-Qomah.
Masih beruntung Al-Qomah kerana ibunya masih hidup. Jika si ibu sudah meninggal dunia? Wallahualam.
Imam Adz Dzahabi ada menjelaskan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan tanggungjawab seorang anak dalam kitabnya – Terjemahan Al-Kabair (Dosa-dosa Besar) :
- Ibu telah mengandungkanmu selama sembilan bulan, seolah-olah sembilan tahun.
- Ibu telah bersusah-payah melahirkan kamu, yang mana hampir meragut nyawanya.
- Ibu telah menyusukan kamu dan melupakan rasa mengantuknya untuk menjaga anak-anaknya.
- Ibu membersihkan kamu dengan tangan kirinya, dan lebih menguatamakan anaknya berbanding diri serta makanannya.
- Ibu telah menjadikan pangkuannya sebagai buaian untuk anak-anaknya.
- Si ibu memberikan seluruh kebaikan kepada anak-anaknya, dan apabila si anak sakit atau mengeluh, ibulah yang paling resah dan dalam kesedihan.
- Seandainya diberi pilihan antara hidup si anak dan kematiannya, maka si ibu akan lebih memilih kehidupan si anak.
- Betapa banyaknya pengorbanan seseorang yang bergelar ibu, tetap dibalas dengan keburukan akhlak oleh si anak.
- Ibu akan sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anaknya walapupun bukan dengan terang-terangan.
- Ketika si ibu memerlukan anaknya di kala hari tua, si anak menyingkirkannya umpama sesuatu yang tidak berharga.
- Kamu kenyang dalam keadaan dia kelaparan.
- Kamu hilang dahaga dalam keadaan dia kehausan.
- Kadangkala, si anak lebih memilih isteri dan anak-anak mereka berbanding seorang ibu.
- Kadangkala segala jasa dan pengorbanannya dipandang sepi.
- Kadangkala menjaga ibu mungkin dirasakan hal yang berat oleh seorang anak.
- Padahal Allah telah melarang kita dari berkata ‘ah’ dan Allah telah mencela kita dengan celaan yang lembut.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda, “Seseorang datang kepada Rasulullah S.A.W dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi S.A.W menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi S.A.W menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Baginda menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi S.A.W menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.