,

Jangan Berhenti Mengasuh

“Abang, kalau boleh kita nak semua anak-anak kita hafal al-Quran.” Jalwa luahkan hasratnya.

“Boleh tapi mampukah mereka?” Suami memandang penuh kasih sayang.

“Kita hanya pastikan bacaan anak-anak tartil. Setakat ni, Fawwaz berjaya hafaz beberapa surah pendek.”

“Abang dengar, ada temuduga hafazan hujung bulan ni. Baik sayang siapkan apa yang patut.”

“Serius? Baik rahsiakan dulu. Sampai masa, kita umumkan.”

“Yang seronoknya, sesetengah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dah ada modul Ulul Albab. Sekolah Asrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara pun ada program hafazan.”

“Jalwa pun silap. Tak bimbing Fawwaz pelajaran akademiknya. Kalau tak, mesti Fawwaz berjaya ke asrama penuh. Nak hantar ke swasta, belum mampu.”

“Bagi abang, sayang berjaya. Bukankah Fawwaz dinobatkan bintang subjek Reka Bentuk Dan Teknologi?”

“Alhamdulillah. Masa belajar dulu, sayang bercita-cita nak anak-anak mahir al-Quran, hadis dan Bahasa Arab. Ni teras sebelum kita gilap potensi anak-anak.”

“Bagi abang, selagi anak-anak menjadikan Allah sebagai matlamat, Rasulullah sebagai tauladan dan tak jemu mendoakan, tiada yang mustahil.”

“Cabaran juga sebab Fawwaz hanya bersekolah biasa. Ramai kawan-kawannya sekolah asrama.”

“Itu alasan picisan, sayang.”

“Orang berjaya cari jalan, bukan cipta alasan.”

“Kalau ada rezeki, kita anjurkan program hafazan percuma untuk anak-anak asnaf dan anak-anak yang kurang mampu.”

Terima Anak Seadanya

Anak-anak bukan sahaja amanah. Kelahiran mereka menjadikan ibu berperanan di samping ayah yang bertanggungjawab.

Cinta yang terbina atas nama Allah, perlu disuburkan dengan acuan Allah.

Ada asas agama pun kita masih merana. Apatah lagi tanpa penghayatan agama.

Mereka adalah penyambung generasi untuk menjadi hamba Allah. Waktu sama, imarahkan bumi sebagai khalifah.

Mahu atau tidak, sebagai manusia kita perlu merujuk mukjizat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai panduan tanpa keraguan.

Kita mampu memberi 1001 alasan untuk menafikan peranan. Namun, mampukah kita memberi alasan bila Allah tanya kelak?

Belajar Sepanjang Hayat

Berkahwin adalah ibadah. Ibadah bermula dengan ilmu. Membina keluarga sakinah, mawaddah wa rohmah juga perlukan ilmu. Ilmu yang kita fahami perlu diaplikasikan untuk memastikan ianya berbekas.

Selagi hayat di kandung badan, tugas mengasuh tertakhluk kepada ibu ayah yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat.

Bayangkan, bagaimana anak-anak akan membesar jika hatinya tidak mengenal Allah? Mampukah anak-anak mendepani sebarang ujian hidup jika Nabi tak dijadikan sumber inspirasi?

Apakah yang bakal terjadi bila kita dijemput Ilahi?

Sistem kehidupan di era viral ini dinamik, makin kompleks dan berubah mengikut pengaruh media sosial, pemimpin dan zaman.

Namun, kita yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat amat risau. Sebagai ibu solehah dan ayah soleh, utamakan didikan agama sebagai teman sejati anak-anak yang dikasihi.

Para sahabat Rasulullah adalah generasi yang patut kita cermin. Mereka adalah bukti bagaimana membina generasi rabbani. Urusan dunia dan urusan akhirat anak-anak bermula dengan kesedaran ibu ayah, rantaian didikan di sekolah dan muamalah bersama masyarakat sejagat.

Bersama kita didik anak-anak jaga hak Allah. Allah jamin akan jaga anak-anak kita walau di mana mereka berada.

Sayang anak-anak? Kenalkan dengan Allah. Jadikan Rasulullah sebagai inspirasi. Jangan berhenti berdoa. Insya-Allah.

Moga Allah beri hidayah taufiq untuk mengasuh anak-anak kita seperti apa yang Allah dan Rasul kata.

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Qalam Ardini.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%