,

Filem Along With The Gods

Rata-rata ramai yang mengetahui satu filem Korea yang baharu sahaja ditayangkan pada Disember 2017, iaitu “Along with the Gods”.

Kali ini, saya ingin mengupas intipati yang menarik tentang filem ini daripada sudut pandang saya sendiri.

Ada yang mengatakan filem ini mengkaji agama Islam, lebih spesifiknya, kehidupan selepas mati atau “after life”. Betulkah?

Disebabkan itu juga, saya cuba menontonnya bagi menyaksikan sendiri apa yang telah didengari sebelum ini.

Saya letakkan azam dalam diri saya, setiap kita ada kepercayaan dan keimanan kita sendiri mengikut agama masing-masing tentang kehidupan selepas mati.

Jadi, pegang dengan kepercayaan tersebut, hayatilah jalan cerita ini dan lihatlah pengajaran yang ingin disampaikan.

Filem ini mengisahkan seorang ahli bomba (Kim Ja Hong) yang telah maut semasa menjalani misi menyelamat.

Dia merupakan antara mereka yang berhati mulia dan sangat baik. Dia amat sayangkan ibunya dan berhempas-pulas mencari rezeki bagi membiayai ibunya yang bisu serta seorang adiknya yang berkhidmat di kem askar.

Dia akan dihisab segala amalannya dengan dibantu oleh tiga orang pengawal bagi melepaskannya mengharungi perjalanan di alam barzakh sebelum dia dilahirkan semula.

Setiap persinggahan yang ada menunjukkan betapa beratnya dosa yang dia lakukan dan dia perlukan pengesahan pembelaan bagi menyelamatkannya daripada persinggahan tersebut.

Jika gagal, dia akan dimasukkan ke tempat azab dan tidak akan dilahirkan semula ke dunia.

Setiap persinggahan dapat dilalui dengan baik hinggalah ke persinggahan terakhir, dia tidak boleh meneruskannya serta tidak akan dilahirkan semula.

Dosa apakah yang begitu berat itu? Dosa dengan ibunya.

Memang ketika itu, saya pun hairan. Kenapa boleh jadi begitu? Dia memang seorang yang terlalu sayangkan ibunya.

Dia sanggup menipu ibunya dengan memberitahu dia memiliki kehidupan bahagia di kem bomba semata-mata tidak mahu ibunya bersedih hati.

Dia kumpul wang untuk beli periuk nasi tidak hangit agar ibunya tidak perlu makan nasi yang hangit lagi. Dia mahukan yang terbaik untuk ibunya.

Saya yakin, yang turut sama menonton pun akan bertanyakan hal yang sama.

Barulah diketahui, bahawasanya, Kim Ja Hong telah melukakan hati ibunya suatu ketika dahulu.

Dia hampir ingin membunuh ibunya ketika tidur kerana kesempitan hidup dan tidak tertanggung dengan sakit yang dihadapi oleh ibunya.

Desakan hidup dan tekanan yang dihadapi ketika itu menyebabkan dia bertindak sedemikian.

Malangnya, ibu yang disangka sedang tidur ketika itu, sebenarnya sedar dan melihat sendiri cubaan anaknya yang mahu membunuh dirinya, namun, dia merelakan.

Dia membiarkan sahaja anaknya memperlakukan apa sahaja. Baginya, dia juga tidak mahu menjadi beban buat anak-anaknya.

Disebabkan itu, ibunya memendam rasa kecewa hinggalah mereka dewasa.

Kerana perkara itulah, Kim Ja Hong dihukum atas kesalahannya mengguris hati ibunya sendiri, menyebabkan ibunya merasakan dirinya sangat membebankan buat keluarga.

Sehinggalah ibunya sendiri menyuarakan kata maaf kepada anak-anaknya, hukuman tersebut ditarik balik dan anaknya itu diampunkan dosanya.

Saya menangis tika menonton babak akhir ini. Terkesannya betul di hati saya.

Ia juga mengingatkan saya tentang kisah pada zaman Nabi, Wail bin Khattab yang menghadapi saat sukar ketika sakaratulmaut sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W memanggil ibunya dan meminta ibunya memaafkannya atas kesalahan anaknya itu.

Betapa azabnya jika kita melukakan hati ibu kita hingga ibu kita bersedih memendam rasa.

Walau kita nampak ibu gembira tetapi sama sekali tidak kita ketahui hati dan perasaannya yang telah kita calari itu.

Filem ini benar memberi pengajaran pada diri saya, dan harapnya kepada semua yang menontonnya.

Sentiasalah memohon maaf kepada ibu bapa kita tidak kiralah kita buat salah atau tidak, dan minta mereka reda ke atas diri kita.

Ingatlah, reda Allah itu hadirnya daripada reda kedua ibu bapa kita.

Turunkan ego kita, berbuat baiklah dengan mereka, dan mohonlah kemaafan seikhlas hati kita atas setiap perbuatan kita, dulu hingga kini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak, berasal dan menetap di Ipoh, Perak. Merupakan seorang penulis sepenuh masa, penulis upahan, penterjemah, dan terapis bekam. Karya cerpen yang telah diterbitkan “Rahsia dalam Rahsia” terbitan Fufu Terbit dan “Tangisan Jelmaan” terbitan Penerbit X. Media sosial: FB Nur Amirah Ishak (www.facebook.com/mieranai), IG cahayanurish (www.instagram.com/cahayanurish)

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.