, ,

301 Hari Berjuang Untuk Hidup

Tribute buat allyarhamah anakkandaku Nur’ain Afiyyah binti Mohd Mustaqiim
(28hb Sya’ban 1437-28hb Sya’ban 1438H)

Orang yang berkahwin pasti menginginkan zuriat yang soleh dan solehah.

Cuba kita tanya pada pasangan yang baru atau lama berkahwin, “Apakah mereka menginginkan zuriat? Zuriat yang bagaimana diinginkan oleh mereka?”

Ada zuriat dilahirkan dalam keadaan sempurna dan ada pula disebaliknya.

05/08/2015 menyaksikan seorang anak kecil lahir dengan berat 560 gram di Hospital Selayang.

Kelahirannya disambut dengan penuh rasa syukur. Syukur pada illahi atas kurniaan zuriat ini.

Namun, apakan daya takdir menentukan segalanya. Zuriat ini dimasukkan ke dalam Wad NICU untuk penjagaan rapi.

Maka, bermulalah kehidupan anak kecil ini dengan aturan rabbul ‘izzati. Anakanda Nur’ain Afiyyah  mengharungi kehidupannya di dalam rumah yang kecil dengan dikelilingi wayar beserta bekalan oksigen.

Doktor mengesahkan bahawa serikandi kecil ini mengalami kerosakan paru-paru yang kronik. Paru-parunya tidak tumbuh berkembang seperti kanak-kanak normal.

Pelbagai keadaan yang mencemaskan berlaku selama 10 bulan beliau berada di wad jagaan rapi (NICU).

Ibu dan ayahnya menerima panggilan telefon dari hospital dan menyatakan keadaan serikandi yang tenat ketika itu.

Namun, kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Saat ibu dan ayahnya menghampiri tubuh comel itu, matanya terbuka luas dan dalam keadaan merenung kebesaran Illahi.

Matanya bersinar apabila dilaungkan kalimah Allah ditepi telinganya. Allahu akhbar.

Namun, panas yang diharapkan tiba-tiba hujan ditengah jalan. Dengan keadaan beliau yang semakin lemah dan serangan demam panas secara mengejut, akhirnya pada 28 Sya’aban 1437, serikandi ini dijemput Illahi dalam keadaan tenang.

Harapan ibunya untuk melihat dia terus hidup seperti kanak-kanak biasa tidak kesampaian.

Namun, sang suami telah menitipkan kata-kata pada isterinya, “Sayang, sekarang anak syurga ini telah berada di sana dengan aman. Justeru, redakan ianya pergi menghadap penciptaNYA. Sekurang-kurangnya Tuhan telah beri kesempatan pada kita untuk bersamanya selama 10 bulan.”

Apa yang dapat kita ambil daripada kisah inpirasi ini?

Apakah masih ada pasangan suami isteri yang berada dalam keadaan kesedihan berpanjangan kerana kehilangan orang tersayang?

Apakah ada kalangan wanita di luar sana yang sedang menghadapi kemurungan kerana zuriat mereka sudah pergi menghadap Illahi?

Bagaimana peristiwa seperti ini dihadapi oleh diri anda selaku seorang suami kepada isteri anda?

Elakkan diri dari terus berada di dalam kesedihan dan kemurungan.

Jika anda melalui fasa kesedihan kerana kehilangan orang yang tersayang, berikut adalah TEKNIK TERAPUTIK DIRI yang telah saya gunakan tatkala menghadapi perkara seperti ini:

Teraputik Memutus Kesedihan Diri

*Lakukan teraputik ini selepas selesai Solat Isyak solat malam (qiamullail)

Langkah 1 : Tarik nafas anda sedalam yang mungkin. Dan, hembus nafas keluar dari mulut anda. Duduklah dalam keadaan bersila dengan tenang. Kemudian, pejamkan mata anda.

Langkah 2 : Sekarang, anda bayang, dengar dan rasakan semula saat anda menyambut kelahiran bayi kesayangan anda. Bagaimana perasaan anda saat itu?

Rasa dan bayangkan gambaran wajah dirinya. Jika bayi anda berada di dalam incubator, lihat dan bayangkan keseluruhan suasana di dalam wad NICU tersebut sehinggalah bayi anda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jika anda menangis saat ini, biarkan air mata anda mengalir kerana ianya adalah terapi terbaik buat diri anda.

Langkah 3 : Ketika ini, anda dakap erat bayi kesayangan anda. Bawa ke dada anda. Rasakan kehangatan dirinya dan anda mula berdoa, “Ya Allah sesungguhnya engkau telah menganugerahi anak ini kepadaku, maka saat ini dengan kekuasaanMU jua anakku ini kembali kepadaMU. Biarkan anakku ini tenang di sana. Ya, Allah gantikan ibu bapanya yang lebih baik di dunia di akhirat sana.”

(Ulang doa ini hingga diri anda merasa kepuasan dan dapat melepaskan kerinduan anda pada dirinya)

Langkah 4 : Sekarang… secara perlahan-lahan, anda semakin relaks dan tenang. Anda lepaskan tali ikatan perasaan sedih dan kemurungan anda kembali pada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Bayi yang anda dakap sebentar tadi, secara perlahan-lahan hilang dari dakapan anda dan anda serahkan kepada Allah SWT.

Pastikan diri anda berasa lega… dan lega. Mulai saat ini, seluruh emosi anda kembali stabil dan anda belajar bagaimana untuk menyeimbangkan emosi diri tatkala berdepan dengan situasi seperti ini. Mulai sekarang, anda berasa lapang dan tenang…

Langkah 5 : Bukalah mata anda dengan segar dan kembali bertenang. Bagaimana perasaan anda sekarang? Hanya anda sahaja yang dapat mengetahuinya seperti yang telah saya alami dua tahun lepas. 

Maka, HARAPAN KITA HANYA KEPADA ALLAH untuk MENUKARKAN RASA SEDIH ini kepada  KEGEMBIRAAN yang KEKAL ABADI di sana.

AL-FATIHAH.

*Dek kerana inspirasi yang tinggi di dalam diri & kesabaran menghadapi ujian ini, awal 2017 dikurniakan oleh illahi anak ke-3 kami. Moga kandungan ummimu sihat dan di bawah jagaan Ilahi. Saat saya menulis artikel ini, bayi ketiga kami telah selamat dilahirkan pada 26/09/2017 di Hospital Selayang. Allahuakbar!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd Mustaqiim Asmuji. Beliau merupakan seorang pakar klinikal psikoterapis dan pengasas NLP & Hypnotherapy Center. Berpengalaman luas di dalam bidang kesihatan minda dan emosi melalui terapi psikologi NLP & Hipnoterapi.

Berdaftar secara sah di bawah Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia (AHPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Traditional & Complementery Medicine). Beliau boleh dihubungi melalui talian +6019-2044036.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.