,

Zikrul Maut: Kematian Yang Menghidupkan Jiwa

Kadangkala kita terlalu ralit dengan urusan dunia atau menikmati segala keseronokan tanpa batas sehingga alpa bahawa bumi ini bukan selamanya akan menempati kita.

Dalam tak sedar, setiap hari yang kita jalani, setiap detik minit dan saat yang kita lalui sebenarnya menghampirkan kita dengan satu saat yang paling mencemaskan dan tak terbayangkan… saat roh dicabut dari jasad.

Ada pihak yang mendamba mati sehingga sanggup membunuh diri kerana sudah berputus asa dengan ujian yang bertimpa-timpa dalam hidup.

Ada juga yang terdorong untuk berdoa meminta supaya dipercepatkan mati agar tidak lagi terbeban dengan segala mehnah dunia.

Ketika berbicara tentang mati, ia seharusnya membangkitkan lagi semangat untuk kita meneruskan hidup yang masih tersisa agar kita mempraktis amalan kebaikan mereka yang telah pergi dan mengambil iktibar di atas kematian yang telah berlaku di sekeliling kita.

Mereka Insan Terpilih

Hampir setiap hari kita membaca, mendengar atau melihat sendiri episod kematian dari pelbagai sisi; yang pasti sama ada ianya menakutkan, mengerikan atau menyayat hati.

Malah dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang lalu, sudah beberapa berita kematian yang kita dengari terjadi kepada insan-insan terpilih daripada keluarga-keluarga yang terpilih.

Sekadar berkongsi beberapa kisah kematian yang mempunyai satu persamaan iaitu kembali ke rahmatullah pada bulan Ramadhan yang lalu, semoga ianya mencetuskan kesedaran dalam diri sekaligus merintis jalan untuk kembali mendekati Tuhan.

1. Tragedi berdarah anak tahfiz

Awal Ramadhan lalu (7 Ramadhan 1439H), negara digemparkan dengan satu nahas melibatkan 6 orang pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Hashimi ketika van yang mereka naiki terbabas dalam perjalanan ke Stadium Sultan Muhammad IV untuk menghadiri majlis tafsir al-Quran.

Peristiwa berdarah ini sangat mengesankan hati orang ramai kerana bukan sahaja mereka pergi menyahut seruan Ilahi pada pagi Jumaat di bulan yang mulia itu, malah juga ketika dalam perjalanan untuk menuntut ilmu iaitu salah satu jalan yang dipermudahkan untuk ke syurga.

Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa merintis jalan mencari ilmu padanya, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.”

2. Inspirasi huffaz si kecil bintang syurga, Muhammad Syahid Bazli Hazwan

Umum mengetahui penderitaan adik Muhammad Syahid, 4 tahun yang menghidap kanser lymphoma tahap 4 melalui perkongsian muat naik gambar dan status ayahnya, saudara Bazli Hazwan (penasyid UNIC) di media sosial.

Namun, percaturan Allah itu mendahului hambaNya apabila adik Syahid menyahut seruan Ilahi pada tanggal 12 Ramadhan lalu.

Adik Syahid sangat dikagumi kerana walau dalam kesakitannya bertarung melawan kanser yang ganas namun bibir comelnya tetap petah menyambung ayat-ayat daripada surah-surah Al-Quran yang dibacakan ayahnya.

Sehingga hari-hari terakhir sebelum pemergiannya, ingatan adik Syahid terhadap ayat-ayat hafazannya tetap utuh tak tergugat walau tubuhnya kian lemah dimamah sel-sel kanser.

3. Shea Rasol dalam kenangan

Bagi penonton setia rancangan SIS di TV9, sudah tentunya mengenali Shea Rasol, seorang blogger hijabista, pengacara yang juga usahawan. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat, 14 Ramadhan lalu setelah 5 bulan menderita kanser urachal.

Shea Rasol atau nama sebenarnya Farah Shahirah binti Rasol semasa hayatnya dikenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dalam kerendahan hatinya, punya semangat tinggi dalam membangunkan kariernya, juga seorang yang selalu gigih mendalami ilmu agama dalam usaha mentarbiah diri.

Sikapnya yang tidak pernah lokek ilmu dan selalu menginspirasikan juga membuatkan pemergiannya sangat dirasai oleh keluarga dan rakan-rakan yang mengenali.

Walau dalam kesakitan, beliau melalui kapsyen gambar yang dimuat naik di laman sosial tetap menggambarkan dirinya seorang yang sangat optimis dan redha menjalani ujian hebat yang ditentukan ke atas dirinya.

Mereka adalah antara insan-insan yang beruntung kerana bertuah terpilih untuk kembali ke pangkuan Khaliq pada bulan yang mulia ini. Pemergian mereka bukan sekadar meninggalkan nama, malah turut menghidupkan jiwa kita.

Kita yang masih diberi nikmat bernafas di bumi Ilahi ini juga harus merasa bersyukur kerana Allah masih membuka peluang kepada kita untuk terus memperbaiki diri dan bertaubat sebelum tiba di penghujung nyawa.

Semoga husnul khatimah dikurniakan buat mereka dan syurga sebaik-baik tempat buat mereka di akhirat.

Mencipta Husnul Khatimah

Antara sebab mengapa Allah merahsiakan masa ajal kita adalah agar kita tidak bertangguh dalam bertaubat kerana mati itu syaratnya bukan pada usia malah pada semua makhlukNya yang hidup.

Ini selaras dengan peringatan dari Allah melalui firman-firman berikut:

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.” (Ali Imran: 185)

Dan setiap umat mempunyai batas waktu (ajal). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat menunda atau mempercepatkan (walau) sesaat pun.” (Al-A’raf: 34)

Mati itu memang pasti, soalnya bagaimana keadaan setelah kita mati nanti. Yang pasti, masa yang tersisa ini adalah ruang dan peluang berharga daripada Ilahi untuk kita mencorakkan seni kematian terbaik buat akhir usia kita yang masih menjadi rahsia Ilahi.

Pengakhiran yang baik itulah yang mencorakkan satu permulaan baru di alam barzakh. Dan akhirnya, cukuplah mati itu sebagai peringatan terbaik buat kita (jiwa-jiwa yang terkadang lupa).

 

Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.