,

Kepulan Tempa Maut

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar). Kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar redha meredhai antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 29)

Seusai aku memasuki ke dalam perut Perodua Axia yang berwarna putih, aku duduk diam sahaja di belakang. Langsung tidak ku hirau pemandu di hadapan dan di sebelah pemandu. Tingkap terbuka sedikit, membiar angin lalu masuk.

Oh, pemilik kereta tak pasang penghawa dingin. Jimat minyak agaknya lagipun langit masih malu-malu untuk menjengah diri.

Aku bergerak sedikit ke tengah untuk melihat jam kereta. Ya, jam menunjukkan 7.21 pagi. Sejuk.

Sepanjang perjalanan, aku tidak banyak berfikir. Banyak termenung. Tingkap yang terbuka sedikit itu pun aku tidak mahu menambah luas supaya angin lalu.

Biarpun terbuka sedikit, ah sudah, tudung aku di bahagian dahi kemain lentok meliuk mengikut rentak angin yang menamparnya.

Haih, hari ni tudung lembik ringan aku pakai. Tak apalah, asalkan bersih dan janji menutup aurat dengan sempurna.

Setibanya ke destinasi yang aku tujui, aku keluar dari perut kereta dan ucap terima kasih atas kesanggupan menghantar. Ucapan terima kasih aku dibalas. Aku menutup pintu dan terus berjalan ke ruang penungguan.

Di ruang penungguan, tersergam kerusi-kerusi berbaris yang berwarna merah dan coklat. Kerusi kelihatan lusuh tetapi masih tetap utuh berdiri untuk menampung berat manusia.

Kelihatan hari ini, di ruang penungguan lebih ramai lelaki berbanding perempuan (tidak seperti selalu perempuan lazimnya lebih ramai). Aku memilih kerusi di posisi empat dari belakang. Jauh sedikit dari khalayak ramai.

Hari tu aku bercerita mengenai transgender lelaki yang hidup di luar fitrah kejadian. Hari ini aku berhadapan dengan manusia yang diciptakan Tuhan sempurna sifat dan akalnya sengaja mencederakan organ dalaman.

Di ruang penungguan, udara tidak sebersih seperti hari-hari sebelumnya. Hari ini ber’jerebu’. Ya Tuhan, kepulan ada di mana-mana.

Jauh di hadapanku, ada sekumpulan lelaki dewasa berkumpul, ada yang berbual ada yang ketawa ada yang…. menghisap hasilan daripada daunan tembakau yang telah dicampuri dengan pelbagai bahan kimia, terutamanya nikotin, tar dan sebagainya.

Di kanan hujung sana pula, beberapa orang lelaki dewasa berdiri, jemari tangan tidak terlepas jua dengan sepuntung rokok. Angin pagi sudah dicemari. Dicemari dengan kepulan maut.

Paling dekat, kerusi dua di hadapan aku. Selamba membiarkan kepulan putih berterbangan dan menerobos masuk ke dalam rongga pernafasanku.

Kepada mereka yang ‘pencinta tegar’, tiap kali dirimu terjebak ke dalam pembunuh jangka masa yang panjang, beringatlah akan kesannya yang mampu mempengaruhi orang lain.

Tidak pada dirimu tetapi mungkin boleh terjadi kesan sampingannya pada tubuh orang lain, terutamanya kanak-kanak dan ibu mengandung.

Ah manusia, aku hairan. Sudah engkau tahu ‘gambar’ yang terletak manis cantik di hadapan kotak-kotak hasilan daunan tembakau bahawa menghisap rokok mampu merosakkan organ-organ dalaman.

Di manakah rasa itu pergi?

Selamatkanlah kaummu wahai muslimin. Lelaki menjadi wanita dan sekarang lelaki sejati yang menempa maut.

Aku berharap sangat ‘mereka’ akan berubah suatu hari nanti. Bila? Ya, aku bilang suatu hari nanti kerana Allah Maha Mengetahui.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Jannah Yassin.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%