Allah memperkenalkan dirinya sebagai بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Islam adalah agama yang berlandaskan hidup penuh kasih dan sayang. Wahyu pertama sahaja Tuhan telah memperkenalkan dirinya sebagai ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani).
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Fatihah 1:1)
Kalimah بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ sememangnya merupakan suatu kalimah yang sangat unik dan indah.
Kalimah بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ seharusnya menjadikan visi dan misi kita adalah pergantungan kepada Allah yang telah mencampakkan rasa kasih sayang kepada hambaNya.
Kalimah ar-Rahman sahaja menunjukkan kasih sayang Allah S.W.T yang besar walaupun bersifat sementara di dunia (kasih sayang Allah di alam dunia) yang di luar imaginasi manusia.
Manakala sifat Ar-Rahim Allah menunjukkan kasih sayang Allah yang kekal abadi dan akan dikurniakan kepada golongan yang beriman di kalangan lelaki dan wanita di alam syurga kelak.
Pelbagai jenis aneka ibadah yang boleh diamalkan hambaNya
Manusia diberikan keluasan mendekati dan menunjukkan rasa kecintaan kepada Allah S.W.T dengan cara unik dan berbeza. Pelbagai jenis aneka ibadah yang dibuka ruang yang sangat luas bagi membolehkan hambaNya mengasah rasa kecintaan padaNya.
Ibadah yang wajib sahaja sudah memberi kunci kepada kita untuk melangkah ke dalam syurga.
Allah dan Rasulnya mengajar ibadah yang sunat untuk memberi peluang hambaNya menyuburkan pahala bagi menuju keredhaan Ilahi.
Malah ibadat yang paling ringan adalah zikir yang sangat adil. Ianya boleh diamalkan oleh golongan kaya dan miskin.
Tidak wujud unsur pilih kasih di dalam islam bagi memperoleh kelebihan pahala yang dijanjikan Allah yang Maha Pemurah.
Hadis ke-38 di dalam hadis 40 di bawah ini menunjukkan bahawa kesempurnaan amalan wajib adalah sangat utama untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sedang amalan sunat akan mendatangkan rasa kecintaan Allah S.W.T kepada hambaNya:
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya. (Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari)
Tiada daya aku ini untuk menghitung pujian kepada-Mu, Engkau itu wahai Allah sepertimana yang Engkau puji diri-Mu
Segala puji Allah. Tak dapatlah kita menghitung pujian kepadaNya sebagaimana Allah memuji dirinya. Jika ditanya adakah mencukupi pujian kita kepadanya?
Jawapannya sudah tentu tidak! Tapi Allah paling penyayang di kalangan yang penyayang. Betapa banyak ranjau hidup yang telah kita lalui, Allah telah mempermudahkannya di dunia.
Malah sekiranya seseorang hamba dikenakan ujian yang berat sekalipun, ianya sebenarnya habuan untuk dirinya mengutip pahala dan menggugurkan dosa.
Dunia hanyalah perhiasan yang menipu, sedang nikmat kekal abadi ada dalam syurga yang mengalirnya sungai-sungai dan nikmat yang tidak terbayang di mata, tidak terlintas di hati.
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nahl 16:18)
Mohonlah perlindungan daripada kemurkaan Allah. Perbanyakkanlah doa semasa sujud. Ianya sungguh ajaib.
Doa di bawah merupakan salah satu doa ketika sujud yang mengandungi seni makna dan lafaz yang indah.
Kita memerlukan keredhaanNya daripada kemarahanNya. Kita insan yang lemah dan memerlukan kesejahteraanNya daripada hukumanNya:
اللهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, aku berlindung dengan redha-Mu daripada kemarahan-Mu, aku berlindung dengan kesejahteraan-Mu daripada hukuman-Mu dan aku berlindung dengan-Mu daripada tindakan-Mu, tiada daya aku ini untuk menghitung pujian kepada-Mu, Engkau itu wahai Allah sepertimana yang Engkau puji diri-Mu.” (Hadith riwayat Muslim)
Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah Ta’ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.” (Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan Bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam dan berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR. Ikuti perkembangannya di http://mridhuansulaiman.blogspot.my/.
Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam, hubungi Muhammad Ikram 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Ayah kepada penulis juga ada menjual Madu Tualang yang asli.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.