,

Mengingati Mati Menghidupkan Hati

Pagi masih lagi muda. Aku mendekati seorang mak cik yang terlihat sedang keletihan dalam mencari ritma nafas yang selesa. Dadanya turun naik mencari oksigen untuk diisi ke dalam paru-paru. Senyuman masih juga dihadiahkan kepadaku.

“Assalamualaikum mak cik. Mak cik masuk  wad ni kenapa ye mak cik? Hari ni rasa macam mana?” Tanyaku sebagai permulaan. File pesakit kubelek satu persatu.

“Waalaikumussalam. Mulanya mak cik tak sedarkan diri kat rumah. Darah tinggi. Anak-anak bawa mak cik ke hospital. Enam hari mak cik di ICU. Tapi, Allah masih nak berikan peluang untuk mak cik hidup. Alhamdulillah, dua hari lepas mak cik dah sedar. Sebab tu sekarang kat sini. Masih kena tahan lagi. Sebab tekanan darah belum stabil. Tapi macam dah sihat sikit.”

“Mak cik rasa macam mati hidup semula. Mak cik ingatkan enam hari tak sedarkan diri tu memang Allah dah nak panggil balik. Rupanya Dia masih beri peluang hidup pada mak cik. Mungkin Allah nak bagi peluang untuk mak cik bertaubat lagi,” jawab mak cik itu dalam nada kesal.

Aku mengangguk dan senyum. ‘Tinggi juga tekanan darah mak cik ni, patutla dia kata umpama mati hidup semula,’ aku bermonolog.

Tiba-tiba pesakit lain yang berada di kubikel belakang tidak sedarkan diri. Sekelip mata suasana berubah cemas. Doktor yang bertugas segera bertindak mengembalikan semula nafas pesakit yang hilang seketika tadi.

Lima belas minit bergelut dengan masa dan akhirnya Allah masih juga berikannya peluang kedua. Walaupun matanya terus pejam, namun nafas dan nadi yang hilang seketika tadi kembali berentak.

Sudah tertulis bukan lagi masanya untuk dia kembali. Mungkin masih banyak tanggungjawabnya di dunia yang masih belum selesai. Betapa Allah itu Maha Berkuasa untuk segala sesuatu. Sesaat detik nadi hilang, sesaat juga ia dikembalikan.

“Maha suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk: 1-2)

Mati. Satu perkataan yang sering kita dengar. Juga satu perkataan yang amat digeruni oleh sesetengah individu. Ada yang percaya bahawa perkataan ini membawa malang jika disebut berulang kali. Tapi, bukankah menurut Islam mengingati mati itu menghidupkan hati?

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Mengapa Rasulullah menyuruh kita mengingati mati? Kerana mati itu pasti. Tidak kira walau di pelusuk dunia mana sekalipun kita berada, tidak kira di gua mana sekalipun kita bersembunyi.

Jika sudah sampai masanya kita dipanggil untuk menghadap Illahi, kita takkan mampu lari dari kematian.

Pernah seorang sahabat bercerita mengenai pengalamannya sewaktu di jabatan kecemasan. Ada satu kes kemalangan yang melibatkan tiga sekeluarga di mana si ibu hanya mengalami luka ringan di bahagian kaki dan lengan.

Manakala si ayah dan anak tiba dalam keadaan kritikal dengan pendarahan yang tak henti-henti. Segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan si anak namun Allah lebih menyayanginya.

Selepas setengah jam, si ibu pula tiba-tiba tidak sedarkan diri dan menyusul anaknya walaupun jika dilihat dari luaran tiada apa-apa kecederaan yang serius.

Si ayah selamat; dan apabila sedar, dia meraung tidak percaya dengan berita pemergian kedua-dua insan yang disayangi. Aturan Allah tak siapa mampu menduga. Tak siapa mampu menghalang.

“Ada satu kes, seorang adik ni tengah elok berjalan dari ruang menunggu, dia pergi toilet and datang duduk balik. Tiba-tiba dia muntah darah and terus collapsed. Yang tu pun tak dapat diselamatkan. Sekejap je kan maut tu. Tak terlewat walaupun sesaat. Kadangkala tak terduga langsung,” satu-persatu cerita mengenai kematian didengar dan dilihat.

Mati itu datangnya tanpa pemberitahuan. Kematian itu rahsia Allah. Mengapa? Supaya setiap orang Islam itu sentiasa bersedia dalam menghadapi sakaratul maut. Mungkin hari ini kita mampu bergelak tawa, mungkin esok bukan lagi milik kita untuk tersenyum gembira.

Pastinya di antara kita pernah mendengar berita mengenai kematian yang tak diduga. Tak perlu bersebabkan sesuatu yang nyata, kadangkala dalam helaan nafas juga boleh menjadi helaan terakhir yang memisahkan kita dan dunia fana ini.

Bila Allah berkata ‘kunfayakun’, dalam tidur pun nyawa boleh terpisah dari jasad. Kehidupan di dunia ini berbeza sekali dengan kehidupan di akhirat sana. Sentiasalah mengingati mati supaya kita sentiasa mempersiapkan diri menghadapi saat yang tak terduga.

“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi.” Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah penggilapnya wahai Rasulullah?” Rasulullah menerangkan, “Membaca Al-Quran dan mengingati mati.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Sungguh, mati itu dekat. Malaikat maut sentiasa ada bersama kita, dalam kalangan kita, mengekori gerak-geri kita, setiap saat dan ketika. Izrail tidak hanya mendekati manusia beberapa saat sebelum ajal.

Bahkan, malaikat maut sentiasa mengintai dan berada dekat dengan kita. Bukankah setiap yang hidup itu pasti akan mati?

Kematian tidak pernah mengenal usia, baik yang tua mahupun muda. Kerana itulah mereka yang muda jangan sesekali leka dengan usia muda. Walaupun mempunyai tubuh badan yang sihat dan wajah yang tampan dan cantik, itu bukan jaminan jauhnya kematian.

Ada yang melihat kematian itu sebagai satu ibrah. Ada juga melihat sebagai satu peluang untuk mendapatkan sesuatu. Tanpa sedar setiap satu berita kematian itu adalah peringatan daripadaNya.

“Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa.” (Surah Al Baqarah 2:197)

Pernah tak kita soal hati kita – apa amalan yang bakal kita bawa bila kita dijemput nanti? Cukupkah amal yang selama ini kita buat sebagai bekalan bertemu Allah?

Yakinkah kita setiap hela nafas yang dipinjamkan kepada kita telah dimanfaatkan ke jalanNya sebagai mahar bertemu Allah nanti? Segala amalan yang kita lakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan kelak walaupun sebesar biji sawi.

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (Surah Ali Imran 3:185)

Soal diri kita – adakah kematian kita nanti akan bersulam perjuangan terhadap agama Allah atau dalam bentuk menegakkan agama Allah atau sebaliknya?

Adakah saat nyawa ditarik dari badan, jiwa kita bersalut kemuliaan atau berselimut kedustaan – itu adalah satu pilihan. Selagi nyawa masih dikandung badan, kita punya pilihan untuk menentukan jalan mana yang terbaik sebagai jalan ke arah redhaNya.

Waktu pertemuan denganNya itu dekat. Sedekat jarak azan dan solat. Setiap hela nafas ini adalah pinjaman daripadaNya, setiap detik nadi juga adalah pinjamanNya. Dunia ini pinjaman. Perpisahan itu menyakitkan. Tapi percayalah, pertemuan di syurga kelak adalah kemanisan yang abadi.

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah” dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: “Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah.” Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Surah An-Nisa’:78)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih melanjutkan pelajaran dan sedang menjalani latihan industri.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.