,

Seandainya Aku Seorang Pelayar

“Iman, tengah baca apa tu?” Uwais menegur Iman yang khusyuk membaca buku.

“ Baca esei my gakusei ni.”

“Tajuk apa?”

“Seandainya Aku Seorang Pelayar.” Iman memandang Uwais.

“Macam menarik je. Cuba baca esei tu, Uwais nak dengar. Baca versi pemidato ye! Cikgu Iman! ”

“Ok!”

“Seandainya aku seorang pelayar. Akulah pelayar yang mengawal layar bahtera merentasi lautan biru. Kehidupanku sebagai seorang pelayar tidak semudah yang disangkakan.

Bahtera yang kulayarkan ini umpama kehidupan yang tidak kekal abadi kerana akan hancur berkecai sekiranya tidak dikemudi dengan strategi yang efektif.

Ombak badai pasti akan datang kerana langit biru tidak selalunya cerah. Kadang-kadang Tuhan turunkan ribut serta ombak yang memukul bahteraku.

Oleh sebab itu, aku perlu bijak memikirkan langkah pragmatik untuk diaplikasikan agar bahteraku tidak berkecai dilanda badai kejian dan cacian. Tohmahan manusia bukanlah perkara luar biasa.

Layar kapal perlu dinaikkan sebagai langkah pertama bagi mengelakkan manipulasi ciptaan manusia berhasad dengki.

Jika aku lambat bertindak walau sesaat dan tidak mempersiapkan diriku dengan pelbagai kemahiran strategik dan pesona yang mentautkan hati, bahtera yang kulayari ini bakal hancur sekelip mata. Itu adalah pasti!

Oleh itu, menimba ilmu umpama memancing dari atas kapal. Aku perlu memancing di kawasan yang sesuai. Manakan dapat pancingan jika tidak dicari di habitatnya.

Lautan ini begitu luas. Bukan semua yang ada di lautan indah-indah belaka. Semakin dalam lautan ini kau selam, semakin banyak ucapan salam yang akan kau ucapkan pada cabaran dan dugaan.

Begitu juga dengan kehidupanku sebagai seorang penuntut ilmu di sebuah medan ilmu satu blok, di tengah-tengah rimba ciptaan Tuhan.

Wajar untuk aku sedari akan hakikat duniawi yang bukan semuanya berkisar tentang bunga dan rama-rama semata-mata.

Bahkan, duri dan kumbang turut hadir bersama-sama sebagai perasa kehidupan yang fana. Untuk mencari ilmu yang tidak menyimpang, aku seharusnya mencari guru yang diyakini ilmu pengetahuannya.

Umpama seorang pelayar, aku hendaklah mengemudi bahteraku ke destinasi yang hendak dituju, bukan dengan minda separa sedar, tetapi minda yang berhati-hati akan keadaan sekeliling, sebagai prakarsa mengelakkan batu-batuan gergasi yang berpotensi mengganggu konsentrasi aku yang sedang mengemudi.

Hakikatnya, semua ini berbalik kepada hubungan kita dengan Sang Pencipta.

Jika manusia meletakkan sepenuh pengharapan dan kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa, cubaan dunia bukanlah satu pancaroba yang membatasi kehidupan insani kerana kasihnya Dia kepada kita, tidak terperi.

Sudah menjadi obligasi, untuk kita redai. Hanya DIA tempat kita mengadu dan tempat pengakhiran kehidupan kita sebagai hamba.”

“Esei siapa tu? Menariknya. Syahdunya bait-bait ayatnya.”

“Amalia Hanifah. Budak form 5 ni.”

“Oh, budak pengawas tu eh?” Uwais cuba mengingati Amalia. Iman mengangguk.

“Iman saja suruh pelajar tingkatan lima buat analogi kehidupan yang dekat dengan mereka. Tak kisah nak buat tajuk apa.”

“Menarik analogi Amalia.”

“Analogi dia sebagai seorang penuntut ilmu. Kita pun sebenarnya pelayar dalam mengemudi bahtera kita sebagai guru dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan cemerlang dunia akhirat.”

“Semoga kita sentiasa membawa bahtera berpandukan al-Quran dan as-Sunnah!”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.