,

Bicara Soal Jodoh Atau Kematian?

Pada zaman ini, ramai manusia bercakap tentang soal jodoh berbanding daripada kematian.
Selalu mencari pasangan awal dan berusaha untuk bersama sama sehingga ke jinjang pelamin.

Ujian selalu menimpa diri untuk menguji hati untuk kesetiaan pada Ilahi atau makhlukNya
Cinta dan sayang itu lumrah manusia, yang terkeluar dari lumrah adalah cara kita mengurus lumrah perasaan dan sayang tersebut

Suatu kisah yang ingin penulis khabarkan untuk tatapan umum.

Ada satu ini wujud  dalam diri aku iaitu mahu merasakan diri sangat menyayangi dan disayangi, ada orang akan ambil berat, sentiasa mendapat ucapan bermakna ketika diperlukan, sering nasihat menasihati sesama pasangan, belaian kasih sayang dan rindu, semuanya ingin dirasakan dan menjadi kehendak diri.

Lalu aku, mencari wanita untuk aku menagih kasih selain ibu dan adik beradik perempuan aku. Ingin mencari kasih sayang bukan mahram aku dan mahu bersama-sama mengharungi susah dan senang, suka dan duka dalam menempuhi kehidupan yang penuh berliku-liku cabaran.

Aku mengharap kasih dan perhatian dari sang keluarga memberi kasih, namun aku takut untuk meminta kerana kepala aku sudah di ‘programming’ kan selalu dimarahi sejak kecil. Hingga aku ingin meluah rasa dan kisah hati serta luahan hati, perasaan itu terbuku mati di dalam hati kerana takutnya dimarahi dan tidak dilayan.

Kemudian, aku tidur merintih hati dan tangisi kesedihan hati seorang diri memeluk bantal dan air mata banjiri pipi tanpa henti.

Aku bertemu dengan seorang perempuan. Aku merasakan dia adalah jodoh aku, tapi aku rasa lama lagi aku nak kahwin dengan dia.

Tapi hati aku kuat nak berpasangan dengan dia dan aku pun mulakan corak langkah untuk mengayat dia. Lepas itu, aku tak sangka aku dapat keluar dengan dia dan seterusnya kami berhubung dan saling bercerita tentang diri kami.

Aku dapat rasa bahagia sangat berkongsi masalah, sentiasa bersama-sama dalam menghadapi susah dan senang, aku susah dia bantu aku, aku bantu dia pula ketika dia susah.

Kitaran ini berterusan namun hari demi hari aku makin berubah dan berubah. Diri aku sentiasa bergantung pada manusia dan aku hanya mengadu pada dia sahaja.

Aku teringat dahulu kala, aku mahu sangat dibelai dengan kasih sayang dan tidak mahu menyusahkan dan mengharapkan kasih keluarga aku lagi kerana aku sudah putus asa menanti harapan kasih dari mereka.

Aku pergi mencari kekasih untuk aku bercerita dan menagih kasih yang aku mahukan. Kerana aku melihat persekitaraan aku, kawan-kawan aku bahagia bersama-sama dengan pasangan masing-masing, selalu diambil berat tentang perihal diri, hal peribadi dikongsi bersama-sama. Aku macam, kalau aku tak ada awek, macam ketinggalan zaman.

Tapi sekarang diri aku rasa lain daripada lain, aku umpama tidak puas dan masih menginginkan lagi kasih sayang tersebut dan aku ketagih dengan rasa kasih manusia. Argghhh, aku stress, kerana aku mahukan lebih lagi kasih sayang manusia.

Aku mula berubah secara drastik tanpa sedar hanya semata-mata dahagakan rasa kasih sayang melampaui batas. Aku tak sangka aku berubah secara mendadak.

Aku mencari hiburan dan keseronokan tanpa henti, aku rasa bahagia, haha. Aku mengecapi keindahan dan kenikmatan tak terhingga, aku cuba semua dan buat supaya aku rasa puas dan bahagia,haha.

Pada satu saat, aku dilanda kesempitan, kerana apa yang aku rancang semua terkandas, apa yang aku mahu menjadi sangat sukar untuk aku gapai. Aku putus asa dalam hidup, sedangkan semua yang aku mahu buat ini adalah perkara yang baik, kenapa susah sangat untuk aku berbuat baik?

Aku putus asa dan aku terus tenggelam dalam maksiat dan berterusan dalam maksiat sehingga aku ditimpa kemalangan dan aku nyaris-nyaris ditimpa kemalangan yang kritikal dan serius.

Aku tersedar dari kejahilan dan kehinaan.

Rupanya, kenapa sukar aku melakukan kebaikan, kerana aku masih belum menyucikan diri dan bertaubat sungguh-sungguh.

Kerana hakikatnya, cahaya tidak boleh memasuki kegelapan. Dua perkara ini sentiasa berlawan sesama sendiri dan di mana pengakhiran kita bergantung kepada penerima tersebut. Mahukan cahaya atau kegelapan?

Kisah yang penulis utarakan, kasih manusia pasti dan sepastinya akan menjadikan manusia itu buta dan gila akan nikmatnya kasih dan cinta manusia itu sehingga akan mabuk dunia.

Maka carilah akan cinta yang Hakiki kekal abadi. Kasih Allah. Tidak pernah habis dan tidak pernah kurang. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Ramai remaja dan hati-hati manusia mendambakan dunia, keseronokan dan hiburan demi menghiburkan hati yang lara dan stress.

Sosial tanpa batasan menjadi kebiasaan, diibaratkan makanan ruji kepada para remaja sekarang.

Jikalau menentang sosial ini, dianggap, fikiran tidak terbuka dan tidak sosial. Sahabat-sahabat semua, islam tidak melarang untuk bermuamalah, berhubung dan berkomunikasi, namun ada garisan telah ditetapkan oleh Islam dan syariat bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara.

Apabila mendambakan dunia, hidup manusia tidak pernah puas dan sentiasa mahukan lagi dan mahukan lagi. Sebab itulah, jangan disuapkan kepada nafsu, kerana semakin kita beri. Semakin dahaga lah nafsu tersebut. Jika nafsu meminta, maka tambahkan dan kuatkan iman kita.

Kisah dan situasi ini selalu dibicarakan dan diceritakan, adakah kita mengambil pengajaran dan cegah ia sebelum menjadi lebih buruk terhadap masyarakat dan generasi seterusnya, itu semua adalah berpunca daripada pendidikan dan ilmu yang diberikan kepada anak bangsa.

Teruskan meneroka alam ini dan liku-liku hidup ini dengan penuh hati-hati. Moga hikmah dan pengajaran menjadikan kita lebih bertakwa kepada Ilahi.

Bersyukur saat diuji, maka setialah pada cinta yang Maha Esa. Maka dunia ini kita punya kerana kita tidak letakkan di hati, kerana hati ini pemiliknya adalah Allah Yang Maha Mencipta, maka sesuainya ia, letak Allah sahaja di dalam hati kita.

Moga Allah rahmati kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Al fateh bin Mohd Subari (nama pena: ALFA).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.