,

Tolong Jangan Biarkan Dia Mati!

“Arghhh!” Mata si anak mulai merah dan badan mula menggigil kuat. Seluruh ahli keluarganya cemas. Sang ayah cuba menenangkan anak tersebut. Semua mata manusia yang berada di situ mula melihat situasi itu.

Alhamdulillah, tidak lama kemudian. Ia kembali tenang.

“Kenapa tu dik?” Bertanya seorang mak cik sekitar 40-an kepada si kakak.

“Abang saya, dia sakit,” jawabnya tenang.

“Ooo… sakit apa tu?” Bertanya mak cik itu lagi.

“Dulu abang demam panas masa umur dia setahun,” jawabnya lagi.

Dia mengalami suatu keadaan di mana saat degupan jantungnya menjadi laju, mereka sekeluarga perlu mengambil langkah segera untuk mencegahnya sebelum dia mengalami sawan.

Sawan. Secara umumnya semua orang tahu bila mana keadaan seseorang menggigil kuat ataupun bahasa istilahnya keadaan di mana berlakunya renjatan elektrik di otak di luar kawalan.

Apa yang ingin saya kongsikan pada kali ini mengenai tindakan kita sebagai penjaga ataupun perawat secara umum bagi golongan yang sangat istimewa ini.

Austism, Down Syndrome dan beberapa keistimewaan yang dijadikan oleh Allah Sang Tuhan memberikan dua impak berbeza kepada penjaga mereka iaitu kesyukuran atau kesalahan yang diletakkan.

Orang ‘istimewa’ ini meletakkan diri kita pada satu turning point untuk kita ubah cara pemikiran normal manusia biasa. Secara praktikalnya, tidak semua dapat menerima keadaan mereka.

Empati dan simpati. Dua perkara berbeza yang menunjukkan sikap masyarakat kita pada hari ini. Jika saya katakan lebih ramai berasa simpati berbanding empati. Anda setuju?

Baiklah. Simpan soalan itu buat sementara.

Sifat orang-orang ini memberikan seribu satu ibrah (pengajaran) bagi yang memahami nikmat yang Allah berikan. Dan salah satu pengajaran terbesar ialah mengajarkan diri kita untuk sentiasa sabar.

Berapa ramai boleh menukarkan perkataan sabar ke pengamalan sabar di saat-saat yang kritikal?

Allahu… sukar untuk diramal, bukan?

Tak semua orang melalui perkara ini. Dan kenapa Allah berikan ujian ini jawapannya jelas pada surah Al-Ankabut ayat 2. Firman Allah S.W.T:

“Patutkah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman’ sedang mereka tidak diuji?”

Beriman pada ayat-ayatNya membantu kita untuk terus istiqamah menjalani perkara ini dengan sabar. Istiqamah itu membantu dalam meningkatkan amalan seharian juga akhlak kita kepada umum.

Wallahi. Mereka ini bukanlah meminta untuk dijadikan sedemikian rupa. Hatta mereka juga sedang diuji. Lebih sakit daripada kita.

Adakah dengan bisikan syaitan dan pandangan manusia yang lain menjadi titik dalam diri kamu untuk menyalahkan takdir Tuhan?

Bukan.

Sehingga sekarang perlu diingatkan kepada diri kita pandangan manusia itu bersifat sementara. Sementara…

Sanggup ke kita menyakiti anugerah-anugerah terindah ini dek kerana sifat amarah atas dasar manusia lain? Tidak…

Jika kita tidak mampu menjadi air yang memadamkan, jangan pula kita menjadi bara yang membesarkan api. Mereka ini perlukan kita. Ya, kita.

Manusia normal yang boleh berfikir secara matang dan berwawasan. Bantu mereka untuk terus hidup dengan harapan dan kehidupan yang indah dan menenangkan.

Bukan salah Tuhan. Salah kita yang tidak pandai menguruskan emosi dan mental kita. Tidaklah mereka meminta yang lain. Hanya perhatian dan sokongan daripada manusia normal lain terutamanya keluarga mereka.

Jika benar kita meminta sebuah kekuatan, mengapa perlu kita memilih ujian?

Jika benar kita meminta sebuah kesabaran, mengapa perlu kita bandingkan pertimbangan?

Sambungan kisah keluarga tadi…

Pernah sekali sang abang bertanya pada ayah, “Kenapa abang tak boleh pergi sekolah?”

Ayahku hanya menjawab ringkas, “Abang sakit.”

Mendengar sahaja soalan daripada abang buat si kakak terdiam bisu sebentar. Tanpa dia sedar air matanya yang berusia hanya 12 tahun bergenang sendiri. Sepanjang perjalanan ke sekolah, sang kakak diselimuti dengan muhasabah yang mendalam.

Dari situ sang kakak belajar dan tahu erti kehidupan. Erti sebuah hikmah. Hikmah yang melahirkan kesedaran tentang pentingnya elemen kesyukuran.

Hingga kini dia tahu dan mula belajar, kehadiran anugerah istimewa ini menjadi bantuan dalam setiap apa yang kita lakukan. Setiap saat dan minit yang difahami bagi orang-orang yang sedar.

Bantuan jenis apa?

Bantuan rohani untuk setiap masalah yang ada. Kadang-kadang, bila tengok mereka tersenyum ia menjadi ubat penenang masalah yang ada.

Mengungkap semula erti empati yang saya tanyakan sebelum ini, sebagai seorang manusia yang mempunyai peluang kefahaman untuk difahami, didiklah diri pujuklah hati untuk sentiasa berasakan diri kita di tempat mereka.

InshaAllah dari situ kita akan lebih belajar menghargai daripada menyalahi.

Mereka ini sihat.

Sakit? Saya tidaklah suka untuk melabel mereka ini sebagai sakit.

Hatta suka untuk saya letakkan mereka ini golongan yang mempunyai kelebihan yang membantu untuk melengkapi kekurangan yang kita ada.

Jangan biarkan mereka mati dari harapan. Jangan biarkan mereka mati dari sokongan… dan jangan biarkan mereka mati dengan tangan-tangan kezaliman.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aisya Insyira Binti Jamil. Berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%