,

Puisi Cinta Dari Tuhan

Dalam pada beningnya malam,hujan yang renyai turut menemani seolah memahami tentang perasaan seorang ‘aku’. Sekali lagi pipi aku dibanjiri air mata.

Entah mengapa aku seolah seperti orang yang putus harapan. Entah mengapa aku seolah seperti jiwa yang tiada pegangan. Rasa hati itu buntu, jiwa itu kusut. Seperti ada yang tidak lengkap, seperti lemas tercungap-cungap.

Kalau dulu, masih tergagap jika ditanya beza rukun Iman dan Islam, cerita pasal solat pun jarang-jarang, waktu susah saja reti cari Tuhan, tapi sekelip mata sahaja aku boleh lupa bila dah rasa senang.

Benar! Hijrah itu bukannya datang sekelip mata. Hijrah itu bukan senang seperti apa yang kau rasa.

Benar jika aku kata orang yang pernah merasakan kejahilan sahaja yang betul-betul merasai dan memahami apa itu hijrah yang sebenar.

Sepertinya diri aku, yang mana dalam pada aku bertatih untuk membina jiwa Islam yang sebenar dalam diri aku, aku terdengar akan satu alunan yang sangat merdu.

Alunan ajaib yang mampu melembutkan serta-merta hati aku yang masih lagi beku, sepertinya puisi yang masih belum dapat aku tafsir tetapi seolah aku dapat meneka akan indah maksud sebaliknya ia.

Susunan katanya, setiap satu ayatnya, tersusun indah seperti satu irama, tetapi ia bukannya lagu.

Ya, ia adalah bait-bait kalam Allah yang tiada siapa mampu ubah, dia adalah kata-kata Allah yang sangat indah, dan aku sedar ia adalah puisi cinta dari Allah untuk aku agar aku lebih mengenali tentang siapa sebenarnya Dia.

Patutlah aku rasa kosong, patutlah jiwa aku tidak tenteram, patutlah hidup aku rasa tidak pernah cukup.

Aku sudah abaikan satu kitab suci yang aku tahu akan kewujudannya, tetapi tidak sekali aku cuba untuk mendekati dan membaca sendiri pesanan dari Tuhan itu.

Pada saat diri aku dikawal oleh nafsu dunia, aku terus lupa tentang akhirat sana. Aku lupa apa yang boleh menjadi teman dan syafaat kepada aku di dunia selepas mati.

Aku lalai, bab agama aku abai. Allah! Bergetar jiwa aku kerana takut dimurka, terketar-ketar saat aku mula mengambil dan membuka al-Quran milik atuk tetapi sikit pun aku tidak tahu untuk menyebutnya.

Aku menangis, entah tanda penyesalan atau tidak dapat menerima kebenaran.

Di saat aku melebihkan dunia, aku tidak meletakkan Allah itu nombor satu. Di saat aku hidup sepertinya tidak akan mati, aku lupa maut sedang mengintai dari segenap sisi.

Kini aku mengerti makna satu hadith, iaitu “Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda: Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu al-Quran dan Hadith.” (Imam Malik)

Benar,tiada sumber sebaik al-Quran yang mampu aku rujuk untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang mendatang, dan tiada puisi yang lebih indah yang pernah aku dengar, lihat dan alunkan selain daripada bait-bait ayat al-Quran.

Terima kasih Tuhan untuk puisi cinta terindah (al-Quran) yang telah Engkau hantarkan, dan terima kasih atas nikmat Iman dan Islam yang Engkau berikan.

Tiada agama sehebat Islam,
Tiada kitab sesempurna al-Quran,
Tiada insan semurni Nabi,
Tiada motivasi terbaik selain mati.

Jadikan kalam Allah sebagai pegangan,
Biarkan hadith dalam ingatan,
Sematkan dalam jiwa rapat-rapat,
Ikat dalam hati ketat-ketat.

Semoga seluruh ummat peroleh syafaat.

Doa pada Allah,
Gantikan hati yang telah mati,
Putihkan hati yang sudah hitam,
Kekalkan hati yang tertumpu benar pada jalan Islam.

Agar di akhirat sana Tuhan anugerahkan syurga Firdausi,
Dan bukannya tercampak ke neraka Jahannam.

Kau dan aku bersaudara,
Aku ingatkan kau andai kau lupa,
Kau ingatkan aku bila aku alpa.

Semoga ukhuwah ini terus terjalin kerana-Nya.
Aku tinggalkan penulisan aku dengan akhir kata,

“Semoga memberi manfaat untuk semua…”

dan,

“Minta maaf andai ada tersalah kata…”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Wawa Saida.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)