,

Murka Dalam Suka

Murka? Astaghfirullahalazim… sungguh menakutkan bunyinya. Sesungguhnya kita mahu dijauhkan daripada menimbulkan perasaan tersebut daripada sesiapapun sama ada ibu ayah sendiri, sesama muslim lebih sekali daripada yang menciptakan zat kita sebaik-sebaiknya iaitu Al-Khaliq, Allah S.W.T.

Tidak rugi kita memohon ampun dan bertaubat kepadanya sekalipun kita terleka atau jauh tersimpang di jalan yang salah, jalan maksiat, jalan tipu daya syaitan dan sebagainya.

Cukup kita sedar kesalahan itu dan beriltizam untuk tidak mengulanginya dan jika masih keberatan untuk bertaubat, maka lazimilah bibir dengan beristighfar “Astaghfirullahalazim” sesudah solat,

jadikan ia sebagai zikir wajib kita sesudah solat kerana manusia itu tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.

Indahnya alam kerana panoramanya, indahnya manusia kerana akhlaknya.

Akhlak? Ya, akhlak lahir daripada hati dan hati yang baik datang daripada amal dan ibadat kita.

Hati yang terang memudahkan kita menerima ilmu, teguran dan nasihat orang lain dengan baik, tetapi jika gelapnya hati maka ia membutakan segala-galanya walaupun terdapat kebaikan sebesar zarah sekalipun.

Rasullah s.a.w bersabda “Bahawa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal  daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh amalnya, dan apabila ia rosak maka rosak pula seluruh perbuatannya. Gumpalan daging itu adalah hati.” (Hadis Riwayat Iman Al-Bukhari)

Hati adalah tempat kita menyimpan segala suka dan duka. Tempat kita menahan segala perasaan yang melalaikan.

Apapun hati juga ibarat aurat, seperti ungkapan yang biasa didengar “dari mata turun ke hati”.

Ya Allah! jadikanlah hati kami tempat persinggahan hidayahMu yang sangat indah.

Namun, kekadang hati dilalaikan dengan bertautnya kasih antara Adam dan Hawa umpama Si Kumbang bertemu Si Bunga atau Si Jejaka bertemu dengan tulang rusuk kirinya.

Ya Allah… adakah perasaan ini mendapat RedhaMu? Insyaallah, jika landasan itu betul dan halal.

Tidak hairanlah jika berputiknya perasaan kasih itu ketika di bangku sekolah yang dipanggil “Cinta Monyet”, timbul pula istilah “islamik couple”?

Mana mungkin, seorang lelaki dan perempuan itu akan terjaga batasnya kecuali akan wujudnya ‘yang ketiga’, siapakah itu?

Itulah syaitan laknatullah… Musuh yang nyata bagi kamu. Seperti yang disebut dalam surah Al-Baqarah.

Allah S.W.T berfirman “Wahai orang yang beriman!masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah, Ayat 208)

Batas pergaulan bukanlah perkara yang remeh dan perlu sentiasa diperhatikan terutama antara Si Teruna dan Si Dara.

Fitnah datang tanpa disedari, akhirnya kita yang sengsara diri”.

Keberkatan hidup itu datang apabila kita melakukan suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.

Bagaimana Ar Rahman ingin memakbulkan permintaan kita sedangkan amanahNya diambil sambil lewa.

Namun, yakinlah tiada apa yang dapat menghalang kita kembali kepadaNya walaupun dosa itu sebanyak buih-buih di lautan kerana keampunan Allah S.W.T seluas-luas alam.

Allah S.W.T berfirman “Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Surah Az-Zumar, Ayat 53)

Jika benar menginginkan satu perhubungan yang halal, perbetulkan niat dan berpeganglah atas Qada’ dan Qadar Allah S.W.T.

Jangan terlalu memberi pengharapan kerana sebaik-baik pengharapan adalah sandaran pada Ilahi.

Berdoalah kerana doa itu tercatat di langit buat selama-lamanya. Peristiwa Nabi Yusof A.S menolak godaan Zulaikha sehinggalah beliau difitnah dan sanggup dipenjarakan kerana takut akan azab Allah S.W.T, tetapi belas ehsan Allah terhadap kesungguhan Zulaikha memungkinkan sebuah perkahwinan antara mereka berlaku.

Bukan itu sahaja, Zulaikha kembali bertaubat dan sering bermunajat kepada Allah melebihi cintanya kepada Yusuf A.S sebelum ini.

Oleh itu, yakinlah bahwa Allah adalah cinta agungmu.

Terdapat alkisah di mana Si Lelaki melafazkan akad nikah di saat Si Perempuan tengah bertarung nyawa dengan penyakitnya.

Tindakan itu dilakukan atas dasar cinta yang ikhlas dan demi redha Allah S.W.T walaupun hanya seketika.

Perbetulkanlah niat dalam setiap perhubungan yang terjalin dan tidak salah jika kita ini akhirinya dengan sebuah ikatan yang sah.

Jagalah akhlak dan adab sebelum ikatan itu terlaksana dan janganlah letakkan perasaan suka dalam murka Allah S.W.T.

Akhir kalam, sambutlah iman supaya hati sentiasa aman.

Sekian, wassalam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Amierah Abdullah, berasal dari Tumpat, Kelantan. Merupakan lulusan Sarjana Sains daripada USM. Menjadikan bidang penulisan sebagai hobi sampingan. Boleh ikuti perkembangan beliau di facebook Nurul Amierah (puteri ad-deen).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.