,

Bertamu Redha Di Laman Cinta

Riak muka pelajar seronok bila saya sebut bahawa topik pembelajaran pada hari ini adalah pengenalan kepada nikah.

Video induksi set dipasang sebagai permulaan perkaitan topik. Tersenyum simpul anak didikku yang perempuan bila saya nyatakan bahawa perasaan anda dilamar menjadi pemaisuri hati si lelaki.

Malunya rasa, terharu pun ada. Malah ada yang berkata, “Ustazah ni… kami terkesima dengan video tadi. Kalaulah betul saya dilamar macam tu. Sweet nyeeeee.”

Lantas saya pun berkata, “Lamaran yang anda lihat itu adalah lamaran manusia Cuma apa yang kita pandang positif moga-moga kerana Allah saya dilamar untuk menjadi isteri solehah, tapi ….”

Niat saya hendak menyambung ayat… tetapi seorang pelajar lain berkata, “Ada tapi juga ke? Mesti ustazah nak kata cinta yang hakiki ialah Allah SWT, ayat normal tu. ”

Saya tersenyum dan menyambung, “Tapi lamaran yang paling membuatkan saya hendak kejar ialah pada empat ayat terakhir surah Al-Fajr iaitu ayat 27 hingga 30:

Wahai jiwa yang tenang tenteram. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam hati yang redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”

Seusai saya menghabiskan ayat, mereka diam . Lantas saya bertanya kenapa?

Mereka pun bertanya semula kenapa ustazah? Apa kaitan ayat itu dengan lamaran?

Saya menjawab dengan pertanyaan juga, bila kita dilamar Allah? Siapa pernah dilamar Allah? Pelajar saya ada yang menjawab dengan nada rendah… belum mati lagi, belumlah kan…tersenyum saya.

Pernahkah kita merasakan Allah redha dengan kita? Bilakah kita boleh merasakan keredhaan Allah? Kenapa kita selalu dengar tentang utamakan pandangan Allah dari pandangan manusia?

Semuanya kerana kita beriman bahawa jiwa yang bertaqwa akan mendapat tempat di sisi Allah.

Seperti mana dalam firmanya Surah al-Hujurat 49:13 iaitu: “Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa…”

Keredhaan Allah adalah janji Tuhan untuk jiwa yang beriman dan bertaqwa dan dijanjikan juga syurga yang kekal abadi. Kita memang tidak mampu merasakan sama ada hari ini Allah redha atau tidak.

Kita juga bukan boleh merasakan bahawa hari ini saya khusyuk solat maka Allah mesti redha. Bahkan kita juga bukan boleh merasakan hari ini untung besar dalam perniagaan.

Maka kita pun menganggap Allah redha. Namun kita diajar tentang erti taat dan syukur. Setiap perkara yang berlaku kita akur dan taat lantas ikat dengan rasa syukur.

Bukan susah hendak syukur, hanya dengan lafaz Alhamdulillah kita mampu untuk syukur.

Kita pun percaya tentang ganjaran syukur seperti ingatan Allah pada kita dalam surah luqman 31:12: “Barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Terpuji.”

Ada juga yang bertanya, bagaimanakah kami ye ustazah jika kami kerap berbuat salah? Apa yang patut kami lakukan? Adakah kami memang masuk neraka? Tentunya Allah tidak redha.

Dengan persoalan itu, maka lahirlah simpati saya pada mereka dan diri saya sendiri. Saya pun bersuara, “Janganlah digambarkan salah yang kamu perbuat menghalang untuk kamu kembali kepada Allah. Bila kita bersalah maka jadikanlah taubat sebagai rakanmu. Bertaubatlah dan jangan ulangi lagi. Janji betul betul dengan Allah, jangan janji couple 7 hari. Apa yang ada dalam diri seorang manusia ialah sifat Raja’ dan Khauf. Mohonlah agar Allah tidak sekali-kali menempatkan kita di dalam neraka.”

Raja’ dan Khauf istilah yang kadangkala manusia lupa akan impaknya dan kadangkala manusia menggunakan sewenang-wenangnya dengan berserah sahaja dan mereka yang berserah ini adalah orang terlalu lemah seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah s.a.w bersabda :

“Orang yang cerdik ialah sesiapa yang bermuhasabah dirinya dan beramal untuk menghadapi perkara selepas kematian, sedangkan orang yang lemah ialah sesiapa yang menjadikan dirinya mengikut hawa nafsu dan sentiasa berharap kepada Allah(keampunanNya).” (Hadith riwayat al-Tirmizi

Hadis di atas, menjelaskan tentang sejauh manakah manusia itu harus bijak dalam menguruskan amal kebaikannya. Konsep Raja’ dan Khauf ini perlu dinilai dengan amal yang bijaksana.

Janganlah jadi manusia yang mengharap keampunan dari Allah SWT sedangkan tiada sedikit amal pun yang diperbuat sepanjang berada di dunia.

Janji Allah itu pasti bagi yang berbuat amal soleh dan melaksanakan perintahNya. Janji Allah itu tepat seperti dalam kalam al-Quran, tiada yang boleh disangkal qada’ dan qadarnya.

Pernahkah kita memungkiri janji? Adakah kita pernah berjanji tetapi kita khianati? Adakah kita cuba membuat janji tetapi kita merasa lemah untuk menunaikan perjanjian?

Sesungguhnya Allah tidak pernah melupakan janjinya untuk memberi ganjaran yang besar bagi orang yang berjihad di jalanNya dan begitu juga syurga bagi mereka yang berbuat kebajikan.

Allah juga tidak melupakan janjinya kepada orang yang mengucap shahadah dan mengakui kebesarannya dan tidak sedikit pun kesan bagiNya apabila hambanya tidak berpegang pada janji dan melakukan kerosakan.

Janji sebelum nikah hendak belikan rumah yang selesa untuk anak dan isteri. Begitu juga hendak membelai isteri dan mendidik anak bersama. Berapa peratuskah ianya tertunai?

Malah ada yang berjanji setia ke hujung nyawa ,walaupun hakikatnya nyawa itu adalah hak Allah.

Yakinlah anakanda janjiku dan janjimu jualah satu-satunya dengan mengharap redha bahawa kita dilamar oleh Allah di akhirat untuk bertemu dengannya di tempat yang amat mulia seperti mana dalam hadis yang dilaporkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Percayalah, pada hari kiamat nanti Allah akan berkata: “Di mana dia orang yang saling mengasihi demi keagungan Ku? Pada hari ini, mereka akan Aku beri naungan, sedangkah pada hari ini tiada naungan kecuali naungan Ku.” (Hadith riwayat Muslim – sumber Riyadus Solihin)

Mudah-mudahan kita mendapat naungan dalam redhanya.

Tips mengejar redha: Buatlah amal dan kebaikan semata kerana Allah. Bantulah dengan kesungguhan tanpa mengharapkan balasan. Hindari riyak dan takabbur.

Nilai apa yang Allah kata daripada apa yang orang kata. Turn daripada apa aku kisah kepada apa Allah kisah kerana Allah tidak kisah namun balasan dan ganjaran akhirat akan tentukan kisah kita.

Mohon Allah tempatkan kita di tempat yang baik di akhirat, insyaAllah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Afifah binti Saharudin. Beliau merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ungku Omar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.