,

Wasatiyah Dalam Akidah

Hubungan manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya.

Pertengahan bukanlah melakukan suatu perkara secara tidak sempurna, tetapi melakukannya dengan sempurna, cukup syarat, mematuhi peraturan dan prosedur yang tidak melampau mahupun mengurangi sesuatu perkara.

Dalam keadaan inilah, akidah Islam mengutarakan mesej jalan pertengahan dan kesederhanaan, antaranya menegah sikap melampau umat terdahulu dalam berakidah dinyatakan dalam Surah al-Nisa ayat 171, menolak dakwaan tidak wujudnya Tuhan dan anggapan kehidupan dunia ini terjadi secara kebetulan seperti dalam Surah al-Jaathiyah ayat 24 dan menolak adanya banyak tuhan, mensyirikkan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain.

Allah itu Esa yang selayaknya disembah seperti dalam Surah al-Ikhlas ayat 1-4.

Pendekatan wasatiyah mengimbangi pandangan dalam mengambil sumber akidah, antaranya golongan salafi ekstrem menolak perbahasan akal dalam menetapkan kebenaran akidah Islam, apatah lagi perbahasan saintifik dalam kalangan umat Islam hari ini.

Mereka terlampau rigid menolak sebarang unsur yang dikatakan mencemar kesucian al-Quran dan sunnah.

Golongan yang menyalahi mereka dianggap sebagai ahli bidaah dan menyeleweng daripada akidah.

Golongan liberal pula berpegang kepada kebebasan melampau menggunakan akal walaupun bercanggah dan di luar kemampuan manusia manakala golongan sufi mengambil sumber akidah menerusi pengalaman kerohanian seperti ilham, kasyaf, mimpi dan yaqazah.

Pendekatan wasatiyah berada di jalan pertengahan yang tidak menerima atau menolak secara membuta tuli, tetapi memerlukan pemikiran yang boleh diterima menurut fitrah manusia.

Pendekatan wasatiyah berpegang teguh meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama tetapi pada masa sama mengambil kira fungsi akal dan pancaindera sebagai pendokong wahyu.

Akal tidak boleh melebihi dan mengatasi kesucian wahyu. Akal dibimbing berdasarkan prinsip ditetapkan oleh para ulama silam yang berautoriti.

Pendekatan wasatiyah tidak menolak amalan-amalan sufi dan tasawuf dalam memperkukuh agama selagi ia sahih dan tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Dalam konteks di Malaysia, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebagai akhlak dalam kehidupan, antaranya ialah meraikan pengajaran akidah yang mesra budaya kehidupan setempat dan bersesuaian dengan latar belakang akidah pegangan umat Islam iaitu aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Pengajaran akidah juga perlu memberi fokus kepada perkara yang jelas disepakati ulama dan mengelak persoalan perselisihan antara ulama.

Kita juga perlu bertegas dalam isu-isu yang menyalahi akidah, tidak mudah mengafirkan, membidaah atau fasik pada persoalan khilaf sesama ulama ASWJ.

Kekuatan akidah menjadi sumber inspirasi kehidupan Muslim dalam ibadah, munakahah, muamalah, jinayah dan siyasat al-daulah.

Pendekatan manhaj wasatiyah terbaik ialah tidak menolak secara bulat-bulat, beriman dengan penuh keyakinan sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan sunnah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang salah, di samping bersikap terbuka memberikan peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama serta akidah seperti yang dinyatakan dalam nas.

Pendekatan wasatiyah tidak terlalu ketat (ifrat) dan tidak terlalu longgar (tafrit) serta mengutamakan apa yang lebih utama.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%