,

Kewajipan Memelihara Akidah

Masyarakat Islam yang cemerlang ialah masyarakat yang mengamalkan cara dan amalan hidup selari dengan pengertian akidah sebenar di mana segala urusannya akan tetap berlandaskan pengabdian diri kepada Allah Azza Wa Jalla sahaja walaupun dihambat arus pemodenan.

Sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud :

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. “Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” (Surah Al-An‘aam:162-163)

Islam merupakan satu-satunya agama yang berteraskan kepada akidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah yang Maha Esa, kepada malaikat, para rasul, kitab-kitab, adanya hari kiamat, dan kepercayaan kepada qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla.

Hasil daripada keyakinan ini, telah membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan untuk menunaikan segala kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan dan tegahan-Nya.

Oleh sebab itu, dalam era kehidupan yang penuh mencabar ini, amat wajar bagi kita memastikan akidah kita, ahli keluarga serta masyarakat Islam secara keseluruhannya tidak tergadai dalam apa jua keadaan sekalipun.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, dalam apa jua keadaan ataupun sesibuk mana sekalipun, sama ada sebagai pekerja atau pelajar, kita seharusnya tidak melupakan peranan dalam mengukuhkan akidah dalam diri kita.

Sebagai ibu bapa pula, tanggungjawab mendidik anak-anak kita mengenal Allah dan berusaha menanam akidah yang kukuh selain dari menitikberatkan ilmu pendidikan yang lain bermula dari peringkat awal lagi.

Bahkan para ulama kita terdahulu telah meletakkan satu prinsip yang jelas bagi kita yang bermaksud: “Perkara pertama dalam mempelajari agama Islam, adalah dengan mengenal Allah terlebih dahulu.”

Oleh hal yang demikian, kewajipan memantapkan dan mengukuhkan akidah Islamiah merupakan tuntutan bagi keseluruhan umat Islam, dengan mempelajari sifat-sifat Allah dan mengenal nama-nama Allah.

Hanya dengan akidah yang kukuh dan mantap sahaja, kita boleh menjadi umat Islam yang berjaya di dunia dan akhirat.

Tiada gunanya jika kita cemerlang dalam pendidikan atau mempunyai kerjaya yang hebat, jika kita tidak mempunyai keimanan mendalam terhadap Allah sehingga kita mengabaikan pula perintah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang dan dibenci oleh Allah.

Jika kita imbas kembali sejarah dakwah Rasulullah di peringkat permulaan Islam sewaktu baginda di Mekah al-Mukarramah, perkara asas yang dilakukan oleh baginda kepada para sahabatnya sebelum diajarkan tentang syariat-syariat Islam yang lain ialah dengan mendidik para sahabat berkenaan perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah dan keimanan.

Perkara ini berterusan sehinggalah akidah para sahabat mantap dan kukuh sehingga selepas itu mereka mudah menerima apa sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Bahkan kerana akidah jugalah, para nabi dan rasul sanggup menerima apa jua rintangan dan bebanan demi memperjuangkannya. Dari Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad, semuanya telah berusaha memelihara akidah umat mereka agar tidak terpesong ke jalan sesat.

Penghijrahan Rasulullah. dari Mekah ke Madinah umpamanya bertujuan untuk membentuk umat Islam yang berpegang kepada ajaran agama Islam.

Akidah yang mantap diibaratkan sebagai simpulan iman yang ampuh, yang akan menyuntik semangat perjuangan, menyuburkan daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam.

Ini kerana, iman yang tersimpul erat di dalam hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras, melakukan kebajikan, membina kemajuan, menunaikan tanggungjawab, sanggup berkorban dan sebagainya.

Di sini amat jelas menunjukkan bahawa usaha untuk memantapkan kualiti ummah, perlulah terlebih dahulu diusahakan ke arah kemantapan keimanan yang berlandaskan kepada akidah yang benar.

Ini kerana, apabila akidahnya mantap sudah pasti keimanan seseorang itu lebih kukuh dan terjamin.

Manakala tabiat tidak menitikberatkan akidah, akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah pula kepada kelekaan untuk tidak melakukan segala perintah dan mengabaikan segala larangan Allah Azza Wa Jalla.

Bahkan yang paling dibimbangi oleh kita ialah kerapuhan iman dan kecetekan akidah umat Islam boleh mendorong dan membawa kepada gejala murtad dan terjerumus dalam ajaran sesat seperti yang banyak berlaku akhir-akhir ini.

Umat Islam sepatutnya berbangga dengan status yang dianugerahkan oleh Allah sebagai ‘khaira ummat’ atau umat terbaik dan cemerlang. Namun demikian, status itu tidak akan bermakna dan tidak akan sekali-kali dapat dicapai oleh umat Islam tanpa mengukuhkan akidah mereka.

Ini kerana, akidah merupakan nadi dan nyawa bagi umat Islam dan tidak ada tolak ansur dalam perihal akidah. Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam.

Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir dan gejala penyelewengan dan kesesatan.

Mudah-mudahan dengan pengukuhan akidah dalam diri kita dan juga masyarakat secara umumnya, akan dapat membantu kita mewujudkan masyarakat Islam yang bertakwa serta beramal soleh.

Seterusnya dengan kemantapan akidah ini akan menjadikan kita menjadi masyarakat Islam yang cemerlang yang mampu hidup di dalam arus pemodenan ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.