,

Keharmonian Hidup Dari Sudut Pandang Islam

Keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk perpaduan. Perpaduan yang kukuh, akan terlahir daripada manifestasi keharmonian ini.

Perkataan harmoni itu sendiri membawa maksud yang pelbagai seperti aman, tenteram, bahagia dan tenang. Hakikatnya, setiap dalam kalangan kita pasti mempunyai definisi keharmonian yang tersendiri.

Beragama adalah fenomena sejagat. Hampir semua masyarakat bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau pernah melalui proses orientasi agama atau kepercayaan dalam sejarah pembentukan dan perkembangan peradaban mereka.

Evolusi sosial mengubah orientasi dan pegangan kepada agama, yang mengakibatkan pemisahan agama daripada pemerintahan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat dan Islam pada satu masa dulu.

Namun, ia sama sekali tidak terus menidakkan kewujudan dan peranan agama dalam membentuk nilai keharmonian dalam sebuah masyarakat hingga kini.

Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap, tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara.

Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepada kepercayaan Tuhan yang Maha Esa (Tunggal) yakni Allah SWT. Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang adalah berpandukan kepada ajaran dan bimbingan Al-Quran dan Sunnah.

Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka tentulah, nilai agama Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat Malaysia hingga hari ini.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin dalam Perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat kita.

Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam, sebagai agama yang mensejahterakan atau agama keamanan, sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam.

Hal ini terbukti dalam catatan sejarah di zaman pemerintahan islam dahulu, sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW menjadi ketua negara islam yang ketika itu berpusat di Madinah, maka Piagam Madinah telah diperkenalkan sebagai perlembagaan negara.

Dalam piagam tersebut, penduduk tetap Madinah yang bukan beragama islam telah diberikan jaminan oleh Nabi Muhammad berhubung soal keselamatan dan ketenteraman mereka sama seperti orang Islam yang lain.

Meskipun berbeza dari sudut agama dan kepercayaan, Nabi Muhammad yang merupakan utusan Allah ini telah mendidik dan mengajar umatnya supaya tidak meminggirkan soal keharmonian dikalangan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Sebarang bentuk kezaliman dan penindasan adalah ditentang dan dilarang dalam Islam. Ini adalah contoh dan sudut pandang Islam yang sangat menitik beratkan soal keharmonian dalam kehidupan masyarakat.

Islam adalah agama yang mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja termasuk kepada yang bukan beragama Islam. Kerana Islam itu sendiri adalah agama yang mengajar umatnya untuk menjaga keharmonian.

Hal ini terbukti pada zaman Nabi Muhammad, baginda Nabi pernah menerima undangan daripada seorang Yahudi untuk menjamah makanan bersamanya.

Lalu, Nabi Muhammad SAW pun memenuhi undangan tersebut daripada seorang Yahudi. Nabi Muhammad SAW tanpa ragu, telah hadir dan menjamah makanan bersama.

Contoh teladan yang baik ini melambangkan Islam adalah agama yang senantiasa menganjurkan keharmonian hidup. Tidaklah Islam itu agama yang mengajak bermusuhan sebaliknya mengajak kepada keharmonian hidup sejagat.

Akhir sekali, Islam satu agama yang membawa mesej keamanan dan keharmonian hidup tanpa mengira soal agama, bangsa apatah lagi warna kulit yang berbeza.

Sesiapa sahaja, walau apa pun pangkat dan darjatnya, Islam senantiasa mengutamakan nilai kehidupan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.