, ,

Santunilah Ibu Bapa Kita. Adakah Mereka ‘Tuan’ atau ‘Hamba’ Kita?

Wahai adik-adikku, santunilah ibu bapa adik-adik. Mereka telah penat lelah membesarkan adik-adikku yang tersayang ini.

Tiada apa yang dimahukan oleh ibu bapa kita melainkan mahu melihat adik-adik bahagia sahaja.

Tiada apa yang didambakan ibu bapa kita, melainkan haya perjalanan kita menuju kepada cinta Illahi.

Wahai adik-adikku, jangan sesekali menuturkan perkataan kasar terhadap kedua ibu bapa kita.

Hayatilah firman Allah SWT di bawah ini akan larangan menggunakan perkataan kasar terhadap kedua ibu bapa kita.

“Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): “Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua!………” (Surah Al Ahqaf Ayat 17)

Wahai adik-adik, santunilah kedua ibu bapa kita. Allah SWT sangat tegas dalam hal ini. Allah SWT telah berulang kali menegaskan akan “….hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa….”

Jadilah seperti ais batu yang bisa menyejukkan jantung hati kedua ibu bapa kita.

Ibu bapa mendambakan anak-anak mereka bagaikan permata (ratna) yang sangat berharga buat diri mereka. Kenanglah dan hayatilah firman Allah SWT di bawah ini:

1. “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa…. (Surah Al Baqarah Ayat 3)

2. “…….dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa…” (Surah An Nisa Ayat 36)

3. “….dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa…” (Surah An’aam Ayat 151)

4. “… dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa…” (Surah Al-Israa’ Ayat 23)

5. “Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibubapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.” (Surah Maryam Ayat 14)

6. “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Surah Al-‘Ankabuut Ayat 8)

7. “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman Ayat 14)

Wahai adik-adikku, ibu kita telah menanggung keperitan semasa mengandungkan adik-adik.

Semasa melahirkan adik-adik, tidak terperi sakitnya dan bertaruh nyawa melahirkan adik-adikku ini.

Bayangkan ibu adik-adik mengerang kesakitan tatkala dijahit hidup-hidup. Ibu kita berusaha melahirkan kita sambil dinasihati doktor “…puan mahu anak puan menangis atau puan menangis tidak mendengar tangisan anak puan (bayi)”…?.

Kemuncaknya, air mata ibu kalian bergenang berjaya mendengar tangisan seorang bayi yang comel menangis mendambakan dakapan kasih sayang ibunya.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah Al-Ahqaaf 46:15)

Wahai adik-adikku, jika ada di kalangan adik-adikku ini telah kehilangan ibu bapa, jangan lupa mengirimkan doa di bawah ini.

Semoga ibu bapa kalian diberikan rahmat dariNya dan diampunkan segala dosa. Doa yang memohon agar kedua ibu bapa kita dikasihaniNya.

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”  (Surah Al-Israa’ 17:24)

Janganlah adik-adik tergolong di dalam hadis di bawah ini iaitu mengibaratkan ibu bapa yang melahirkan anak yang derhaka.

Istilah yang digunakan hadis di bawah ini adalah “…hamba yang melahirkan tuannya”.

Ya, di zaman sekarang anak-anak menjadi “Tuan”, ibu bapa menjadi “Hamba”…kerana kederhakaan anak-anak kepada kedua ibu bapanya.

(Pandangan Al Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani)

…..Lelaki itu bertanya “Beritahu kepadaku tentang tanda-tandanya (tanda kiamat)?” Nabi Muhammad SAW menjawab, “Apabila hamba melahirkan tuannya……” (Hadith Riwayat Muslim)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia.

Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Layari https://www.instagram.com/ikramtyson/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%