, ,

Apa Hak Isteri Setelah Berlakunya Perceraian?

Setelah berlakunya perceraian, adakah isteri dibiarkan begitu sahaja? Sudah tentu tidak. Jadi, jom kita lihat apa hak yang boleh dituntut oleh isteri yang diceraikan.

1. MUTAAH (pemberian wajib)

  • Dalil : “Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.” (Surah al-Baqarah 2:241)
  • Suami wajib beri kepada isteri sekiranya perceraian berlaku atas kehendak suami, bukannya sebab kemahuan isteri atau kematian suami.
  • Kadar tidak ditetapkan. Jadi, pemberian berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak di samping mempertimbangkan keadaan sama ada kaya atau miskin.
  • Jika berlaku pertelingkahan mengenai pemberian ini, Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

2. NAFKAH IDAH

  • Semua mazhab berpandangan bahawa suami wajib menyediakan nafkah dan tempat tinggal kepada isteri sewaktu dalam tempoh idah.
  • Syarat isteri layak mendapat nafkah idah:

– Isteri yang diceraikan dengan talak raj’ii (boleh dirujuk)

– Isteri hamil yang diceraikan dengan talak ba’in (tidak boleh dirujuk), berhak dapat nafkah sehingga anak itu dilahirkan

– Isteri yang tidak nusyuz dan patuh pada suami

3. HADANAH (hak jagaan anak)

  • Merujuk kepada penjagaan anak yang masih kecil dan belum mampu berdikari.
  • Jika berlaku perceraian, siapa lebih layak menjaga anak kecil ini? Menurut Islam, ibu adalah orang yang paling hampir serta memahami anak, malah ibu juga lebih sabar dalam menjaga anak kecil jika dibandingkan dengan ayah. Jadi, keutamaan diberi kepada ibu selagi mana anak itu belum mencapai umur mumaiyiz (sekitar 7 tahun). Setelah umur itu, anak-anak diberi pilihan untuk menentukan dengan siapa anak itu mahu tinggal bersama.
  • Walau apapun, sebagai ibu bapa, walaupun telah bercerai tetapi tetap perlu berbincang mengenai apa yang terbaik untuk anak-anak. Jangan jadikan anak sebagai mangsa, apa gunanya berebut hak penjagaan anak jika akhirnya anak yang menjadi mangsa.

Wallahu’alam.