, ,

Setelah Berkahwin, Tanggungjawab Nafkah Menjadi Elemen Penting

‘Kunci’ kepada sah ataupun tidak sesebuah perkahwinan adalah melalui ijab dan kabul. Jadi, apa yang korang faham tentang ijab dan kabul?

Ijab ialah tawaran (offer) iaitu tawaran daripada wali perempuan untuk mengahwinkan perempuan tersebut kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya. Lafaz ijab boleh dibuat oleh wali ataupun wakil.

Kabul ialah penerimaan (acceptance) iaitu penerimaan lelaki terhadap tawaran wali perempuan tersebut.

Maka, bermulalah sebuah perkahwinan yang sah antara lelaki dan perempuan, yang juga digelar suami isteri.

Haa, apa pula mahar?

Mahar atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai mas kahwin ialah pemberian wajib suami kepada isteri dengan sebab berlakunya perkahwinan, jadi ia adalah hak isteri.

Mahar boleh dibayar secara tunai ketika akad nikah atau secara hutang atau menggabungkan kedua-duanya.

Walaupun mahar wajib dibayar, tetapi ia bukanlah rukun dalam perkahwinan, jadi akad nikah dikira sah walaupun mahar itu hutang, tetapi wajib dibayar suami kelak.

Mahar terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

1. Mahar mithil

  • Sebelum berkahwin, jumlah mas kahwin tidak ditetapkan
  • Mengambil kira nilai mas kahwin bagi saudara perempuan yang lain

2. Mahar musamma

  • Sebelum berkahwin, jumlah mas kahwin telah ditetapkan dan dipersetujui kedua-dua pihak
  • Tidak mengambil kira nilai mas kahwin bagi saudara perempuan yang lain

Selain itu, suami wajib untuk menanggung nafkah isteri dan anak-anak.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” (Surah An-Nisaa’ 4:34)

Nafkah ialah pemberian belanja daripada harta suami untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya seperti isteri dan anak-anak.

Kewajipan memberi nafkah adalah berdasarkan daripada firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

“…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya…” (Surah Al-Baqarah 2:233)

Jadi, sekiranya ada suami yang kaya tetapi bakhil, maka isteri diizinkan untuk mengambil harta atau duit suaminya pada kadar yang munasabah untuk perbelanjaan isteri dan anak-anak.

Jadi, ia tidaklah dikira sebagai mencuri dan tidaklah haram kerana ia sememangnya hak isteri dan anak-anak.

Wallahu’alam.