, ,

Apa Salahnya Kita Mengalah Dengan Ibu Bapa Yang Telah Membesarkan Kita

Masing-masing kita dibesarkan dengan cara berbeza. Ibu bapa kita juga berbeza.

Sudah pasti pemahaman mereka terhadap anak-anak juga berbeza.

Cuma satu yang kita kena selalu ingatkan diri kita, emak ayah juga manusia biasa.

Ada yang mereka tahu, ada yang mereka tak tahu. Ada yang mereka ingat, ada yang mereka lupa. Ada yang mereka faham. Ada yang belum.

Sebab zaman mereka berbeza dengan kita. Perkembangan teknologi dan ilmu juga sudah jauh berubah.

“Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali.” (Surah Lukman: ayat 14)

Sabarlah jika ada sedikit yang tidak kena (selagi tidak melanggar perintah-Nya), sebab apalah sangat mengalah kita dengan jasa dan sabar mereka besarkan kita.

Ibu yang bukan sahaja terjaga malam menahan rasa tidurnya, malah tiada cuti untuknya menguruskan kita hari-hari.

Ayah pula betapa sebenarnya kita bukanlah memenuhi semua piawaian dan kegembiraannya, namun tetap sahaja dia bertahan untuk terus mengasihi dan berbuat sesuatu yang kita suka.

Tidak terbalas semua jasa mereka.

Kita sebagai anak tidak mampu untuk memilih siapa ibu bapa kita, namun kita boleh pilih hendak jadi anak yang bagaimana.

Jika ada yang tidak kena, ajaklah berbincang baik-baik.

Kita sudah lama dengan mereka, pasti kita sudah tahu cara mendekati, menyelami dan apa yang mereka suka atau tidak suka.

Jika sabar yang sedikit membantu kita memperolehi nikmat yang banyak kelak di dunia dan di alam sana, jadi teruskanlah perjuangan dan usaha kita.

Jadilah anak yang berjasa, sementara mereka masih lagi ada dan untuk akhirat juga.

Hakikatnya kita juga ada kelemahan. Jangan jadikan masa yang singkat bersama di dunia ini sebagai satu yang sia-sia.

Jom! Sama-sama memperbaiki diri dan berusaha untuk ke syurga.

Sungguh! Tuhan menilai setiap semuanya.

Dan katakanlah kepada keduanya perkataan yang mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang. Dan katakanlah, Wahai Tuhanku sayangilah keduanya sebagaimana keduanya menyayangiku di waktu kecil (Surah Al-Isra: Ayat 24)

Untuk semua anak-anak dan ibu bapa, jom kita menuju syurga bersama-sama!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%