, ,

Masih Belum Terlambat Untuk Menyatakan Rasa Sayang Kepada Ayah

A.Y.A.H.

Lelaki pertama yang bertakhta di hati seorang anak gadis kerana ayahlah hero dalam kehidupannya sebelum Allah SWT hadirkan lelaki bergelar suami.

Sering sahaja kita membaca tentang bagaimana menjadi isteri solehah untuk suami, namun jarang kita bermuhasabah diri kita, adakah kita telah berjaya menjadi anak yang solehah untuk insan bergelar A.Y.A.H???

Tepuk dada, tanya iman kita duhai wanita di luar sana.

Adakah kita sedar bahawa selagi seorang gadis itu belum berkahwin, ayah yang menanggung segala dosa kita.

Ayuh! Renung-renungkan apa dosa kita selama ini yang mungkin kita sedar dan mungkin kita tidak sedar.

Pernah atau tidak kita bayangkan pada suatu hari yang sangat damai, tiba-tiba mendapat berita yang menyatakan bahawa ayah kesayangan telah pergi buat selama-lamanya?

Tanpa sempat kita menyatakan maaf buatnya. Tanpa sempat kita mendengar kata-katanya buat kali terakhir dan dia telah pergi untuk selama-lamanya dari dunia ini.

Allahuakhbar. Sudah tentu kita seakan seperti ingin gugur jantung di saat itu. Air mata sudah pasti tumpah jua.

“ dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Munafiqun:11)

Pasti dan sudah pasti kematian seseorang yang bergelar ayah itu akan berlaku.

Persoalannya adakah kita sudah menjadi anak yang soleh dan solehah untuk beliau sebagai bekalannya di alam sana?

Tepuk dada, tanya iman masing-masing duhai lelaki ataupun wanita.

Ingatkah kita tentang hadis ini, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah SAW telah bersabda :

Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Hadith riwayat Muslim)

Usah kita hanya sibuk untuk menjadi soleh/solehah buat suami/isteri atau bakal suami/isteri.

Namun, berusahalah dan kejarlah juga ciri-ciri untuk menjadi yang soleh dan solehah buat kedua-dua ibu bapa kita dahulu kerana mereka yang sangat-sangat berjasa dalam kita membina kehidupan di muka bumi ini.

Allah SWT lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Ayuhlah kita muhasabah diri kita sentiasa bagaimana cara untuk kita menjadi anak yang soleh dan solehah buat kedua ibu bapa kita supaya doa kita diterima sebagai ‘bekalan’ untuk mereka di ‘sana’.

Tujuan apa untuk kita menjadi solehah?

Buat muslimah yang dikasihi. Ayuhlah kita mengingatkan kembali diri kita.

Tujuan apa untuk kita menjadi solehah? Adakah semata-mata untuk mendapat suami soleh?

Kita lupa bahawa kita telah mempunyai seorang kekasih sejak azali yang bersama-sama berdampingan dengan kita.

Kita juga turut perlu menjadi solehah buat ayah kita terlebih dahulu kerana kita hanya punya satu ayah.

Seandainya dia telah pergi buat selama-lamanya, bagaimanakah nasib beliau di sana?Solehahkah kita untuk beliau?

Adakah doa-doa kita untuk beliau sama seperti doa-doa kita buat bakal suami kita?

Cuba hayati bait-bait nasyid ini :

“Ketika berjauhan
Masihku rasa hangat kasihmu ayah
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan”

Percayalah wahai muslimah! Apabila kamu berusaha untuk menjadi yang solehah untuk ayahmu. Secara automatiknya kamu juga akan menjadi yang solehah buat suamimu.

Janganlah kita menyesal di kemudian hari di mana kita merasa teramat rindu untuk menyebut perkataan ‘AYAH’ untuk seseorang yang telah tiada di dunia ini.

Janganlah kita merasa telah terlambat untuk kita menyatakan kasih sayang kita kepada beliau.

Janganlah kita merasa derita kerana telah terlambat untuk kita memohon maaf.

Ayuh, sama-sama kita renung-renungkan…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%