, ,

Warkah Hati Yang Merindu

Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh buat hati yang tulus…

Nukilan ini khas kepada sesiapa yang sedang merindui orang yang telah pergi selamanya. Semua orang akan merasai kehilangan.

Saat Allah menguji dengan kehilangan orang yang kita sayang. Sakitnya lebih mendalam dari sepasang kekasih memutuskan percintaan walaupun dah bertahun bersama.

Kehilangan yang selalu di sisi, di hati serta di jiwa. Barang yang dicipta oleh manusia itupun ada tarikh luput inikan seorang manusia.

Bila mana tarikh terakhir sebagai musafir di dunia maka, Allah boleh mengambil apa yang dipinjamkanNya semula pada bila-bila masa.

Kehilangan ibarat dentuman halilintar yang memecah gunung ganang. Ia perit. Peritnya bagai dihiris-hiris hanya yang mengalaminya amat merasai.

Namun, ingatan itu mampu membuat kita selalu berdoa dari jauh kerana dia selalu ada dalam jalur masa hidup kita. Kita selalu memiliki sebuah perasaan bernama rindu. Rindu itu fitrah pada setiap manusia.

Tentu saja manusia yang ada perasaan akan memahami bahawa rindu adalah sangat indah untuk dimiliki.

Perasaan rindu tentunya adalah perasaan yang harus dikelola sebagaimana mengelola perasaan bahagia. Rindu secara umumnya merupakan bentuk emosi atau perasaan yang muncul dari manusia.

Rindu sendiri muncul kerana keinginan bertemu atau kembali pada suatu memori yang terdapat pada waktu atau adanya kehadiran seseorang tertentu. Rindu pada kadangkalanya mucul tidak pernah kenal waktu.

Kerinduan akan muncul jika kita memiliki satu ikatan emosional atau pengalaman yang benar-benar membekas pada suatu hal tersebut, kita akan merasa kehilangan.

Kerinduan yang banyak akan muncul jika kita memiliki pengaruh yang tinggi terhadap sesuatu itu.

Jika tidak, kerinduan tersebut dirasakan begitu sahaja. Rindu yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata malah sukar dilafazkan dengan perbuatan.

Andainya takdir seorang untuk melepaskan seseorang yang disayangi kembali kepada Sang Pencipta. Perindu yang terbaik adalah disaatkan melepaskan mereka kembali kepada Sang kekasih yang Abadi.

Bila gugurnya nama di pohon Syurga Allah, maka gerak geri bakal jenazah akan sentiasa diperhatikan. Tipulah kalau orang paling kita sayang, hilang dari hidup.

Hilanglah tempat bergantung selama ini. Melayari bahtera kehidupan tanpa nakhoda. Permata yang kita selalu sanjungi telah hilang sekelip mata.

Suatu hari, di saat aku terjatuh dan tersungkur mengenangkan nasib. Aku teringat akan penguat semangat aku yang telah lama hilang.

Jika dulu, aku selalu meluahkan segala perasaan yang terpahat di hati pada ibu ayah tetapi sekarang mereka hilang dengan dengan sekelip mata.

Aku pasrah. Aku hilang arah tuju. Tiada lagi tempat nak diluahkan. Ia terus membekas di dalam hati. Kadang kala aku hanyut dengan dunia aku sendiri.

“Ayah dan ibu benar hatiku rindu padamu,
Rindu ingin berjumpa mencium keningmu,
Aku ingin datang memeluk tubuh yang hebat itu,
Mengharap sentuhan lembut dari kedua tangan kalian.”

Oh Ibu, Oh Ayah,

Damailah engkau di sana bersama Kekasih Allah. Jangan bimbang tentang anakmu yang masih terkapai-kapai mencari erti kehidupan seorang diri tanpa ada belaian dan secebis kasih sayang dari insan yang bernama ibu dan ayah.

Anakmu berjanji akan meneruskan hidup tanpamu. Akan sentiasa mengingati bait-bait nasihatmu.

“Aku rindu…Sungguh aku rindu,

Entah bagaimana untuk menghibur lara yang enggan menghilang,
Ayah dan ibu semoga engkau di sana bahagia.

Maafkanlah atas kesalahan anakmu ini,
Maafkanlah yang belum boleh membalas jasa darimu.”

Jika dulunya, anakmu menjadi teruja untuk pulang ke kampung bertemu kalian berdua. Di sebalik sawah padi yang terbentang luas, terlihat dua kuntum senyuman yang tidak pernah lekang terhias di bibir. Juadah kegemaran terbentang luas menutup segala kerinduan.

Suatu malam, di saat hujan turun dengan lebatnya, Ibu dan ayah berpesan buat kali terakhir. Tidak ku jangka itu merupakan kata-kata terakhir yang bakal diingati sampai akhir hayat anakmu.

Pada kedinginan Subuh hari, satu deringan telefon yang tertera nama orang yang sangat aku kenali.

Saat aku mengangkat deringan telefon itu, lantas air mata mengalir umpama hujan yang turun semalam. Aku kaku. Aku masih tidak percaya.

Rupanya, Allah telah menggerakkan hati ibu dan ayahku untuk meninggalkan beberapa pesan untuk aku buat bekalan pada masa depan.

Hati aku luluh dan berderai. Walaupun semua ini telah lama berlaku, aku sudah belajar meredhai kepergian insan yang paling aku sayang.

Oh Ibu, Oh Ayah,

Doakan anakmu agar kuat untuk melayari pengembaraan walaupun hempedu yang patut anakmu telan. Rindu yang sukar dilafazkan. Hilangnya susuk tubuhmu dari penglihatan anakmu. Secebis doa dari kalian telah hilang buat anakmu. Anakmu rindu akan segala gelak tawamu.

“Ayah dan ibu anakmu di sini berjuang sendiri,
Tiada yang membantu anakmu berdiri,
Menghadapi dunia yang kejam akan cacian,
Terselok langkahku oleh duri rumput yang tajam.”

Belaian yang selama ini menyapa tubuh anakmu. Kadang-kadang melihat anak-anak lain meminta restu dari ayah dan ibunya. Berlinang mata anakmu. Hari-hari anakmu tidak seperti dahulu lagi.

Ampunkan anakmu ibu, Ampunkan anakmu Ayah,

Salah silap ketika kita bersama dahulu. Anakmu akan sentiasa berdoa agar kita berjumpa di Syurga nanti. InshaAllah.

“Doa-doaku mengiringi kebahagianmu di sana wahai ayah ibu,
Butiran tasbih mengelilingi nikmat pertolongan,
Lantunan ayat menerangi alam kubur yang gelap,
Tiada putus sujudku untuk menghantarkan sepucuk doa rindu.”

Melakukan amal soleh dengan menjauhi
diri dari melakukan kemaksiatan.

Menjaga silaturahim dengan keluarga dan
sahabat baik kedua ibu ayah.

Anak-anak perlulah sentiasa menziarahi pusara mereka
bagi yang sudah meninggal dunia.Bagi ibu bapa yang
masih hidup, anak-anak perlulah pulang kampung untuk
menziarah dan bertanya khabar.

Selesaikan hutang-hutang ibu ayah
yang sudah meninggal dunia.

Sayangilah ibu ayah kita semasa mereka masih hidup atau sewaktu mereka sudah meninggal dunia sekalipun.

Sesungguhnya sangat besar jasa mereka kepada kita sepanjang kehidupan mereka, dari waktu melahirkan sehinggalah mereka sudah tiada. Allah jua yang membalasnya nanti.

Al-Fatihah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nor Aisyah Binti Samsudin

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.