Menurut artikel dalam Majalah Jom yang saya baca, pada bulan Ramadan, Nabi Muhammad S.AW dan Jibrail mengkhususkan waktu untuk mengulangkaji ayat-ayat Al-Quran yang telah diturunkan kepada Baginda SAW.
Jibrail akan menerangkan asbab, maksud dan berbincang dengan Rasullullah SAW.
Nabi Muhammad SAW menceritakan Jibrail AS membacakan Al-Quran kepadanya sekali setiap tahun pada bulan Ramadan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dengan dalil itu kita digalakkan khatam al-Quran sekurang-kurang sekali atau lebih dalam bulan Ramadan.
Tentukan target untuk berapa kali khatam Al-Quran (sesuaikan dengan kemampuan kita).
Seeloknya mula membaca daripada juzuk 1 pada hari pertama ramadan (mudah nanti nak kira).
Tentukan target membaca berapa juz dalam sehari (target mesti ditepati).
Bahagikan target harian kepada beberapa waktu yang kita mampu (berapa kali lepas solat fardu atau lepas terawih; ikut mampu).
Manfaatkan setiap waktu dengan efisien (kurangkan bersembang, online, fokus untuk beberapa minit sahaja).
Bawalah Al-Quran selalu (supaya mudah bertilawah).
Tidak perlu bersuara kuat atau tinggi (yang penting bukan kekuatan suara, tapi mata. Jika mengalami suara serak, perlahan-lahan Allah akan pulihkan – tetap terus).
Mendengar sambil menyemak Al-Quran (jika mata penat, boleh semak dengan menggunakan teknologi seperti mp3 player. Gunakan ia untuk mentaddabur bukan untuk tidur).
Manfaatkan teknologi dengan bijak. (Lengkapkan smartphone dengan aplikasi Al-Quran yang lengkap, supaya ia berguna jika terlupa bawa Al-Quran).
Kita perlu menabung banyak tilawah di awal ramadan (jika target 1 juz, sesekali lebihkan, sebab ditakuti ada perkara tidak diingini nanti dan tak sempat baca nanti untuk capai target – wanita terutamanya).
Menghukum diri jika target tilawah tidak sampai (baki target yang tidak sampai harus dipenuhi, jangan bertangguh atau terkumpul).
Boleh juga tilawah secara bergilir dengan kawan-kawan atau ahli keluarga (seronok dalam suasana yang indah itu selain dapat mengingatkan dan mengelak mengantuk).
Lawan rasa mengantuk seboleh mungkin (ganti posisi dan tempat tilawah. Regangkan otot. atau boleh ambil wuduk dan mandi, sambung semula).
Cari tempat tilawah yang buat kita tenang (yang mampu buat kita fokus tapi jangan terlalu selesa sampai buat mengantuk).
Manfaatkan waktu 10 hari terakhir ramadan dengan baik (iktikaf atau buat di masjid, kerana suasana masjid, surau dan 10 terakhir ramadan selalunya mampu mempengaruhi semangat kita).
Banyakkan berdoa kepada Allah SWT (Agar sentiasa dikuatkan azam untuk capai target).
“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu;
akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,
Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.” (Surah asy-Syuura ayat 52-53)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.