, ,

Bagaimana Al-Quran Dikumpulkan Dan Dibukukan?

Korang tahu tak, semasa Rasulullah masih hidup, al-Quran tak dibukukan seperti apa yang ada pada hari ini?

Namun, Rasulullah telah melantik beberapa sahabat sebagai penulis wahyu untuk menulis wahyu setiap kali ia diturunkan.

Antaranya ialah empat khalifah ar-Rasyidin, Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka’ab, Muawiyah bin Abu Sufian dan Khalid bin al-Walid.

Bahkan, pada zaman itu, penulisan hanya dibuat di atas batuan, kulit haiwan, kulit kayu dan kain sahaja tetapi tidak dikumpulkan dalam satu mashaf dalam bentuk buku.

Ada empat sebab kenapa ayat a-Quran tidak dikumpulkan dalam bentuk mashaf ketika Rasulullah masih ada iaitu:

– proses penurunan wahyu masih berlaku, malah ada ayat yang bersifat nasikh dan mansukh (hukum atau ayat yang bertukar kerana perkara tertentu)

– terdapat ramai huffaz (penghafal al-Quran) dan qurra’ (pembaca al-Quran), jadi tiada faktor ke arah pembukuan al-Quran

– ayat al-Quran tidak diturunkan sekaligus tetapi secara beransur-ansur

– setiap ayat yang turun berdasarkan sesuatu faktor, sebab atau peristiwa yang berlaku

Jadi, bilakah al-Quran mula dibukukan? Ia bermula ketika Abu Bakar menjadi khalifah, yang mana ketika hampir 70 orang huffaz terkorban dalam perang Yamamah.

Maka, Umar mencadangkan kepada Abu Bakar supaya helaian ayat al-Quran yang ditulis secara berasingan itu dihimpunkan kerana dikhuatiri ayat-ayat itu akan hilang disebabkan kematian para huffaz dan qurra’.

Pada mulanya, Abu Bakar berasa ragu kerana perkara tersebut tidak pernah dilakukan ketika Rasulullah masih hidup.

Namun, setelah berbincang mengenai kemaslahatan dan mengelakkan al-Quran daripada luput ditelan zaman, maka Abu Bakar bersetuju untuk mengumpulkan ayat Al-Quran.

Beberapa huffaz dan penulis wahyu telah dikumpulkan, maka al-Quran ditulis oleh Zaid bin Thabit pada lembaran, kemudian diikat dan tersusun ayatnya seperti yang ditetapkan oleh Rasulullah.

Mashaf itu diberi kepada Abu Bakar, setelah wafat diberikan kepada Umar, diikuti Hafsah iaitu isteri Rasulullah yang juga anak Umar, sehinggalah ke saat penyusunan al-Quran pada zaman Uthman menjadi khalifah.

Namun, disebabkan ada perbezaan cara membaca al-Quran di tempat-tempat lain kerana disampaikan melalui hafazan dan ada satu sahaja mashaf pada ketika itu, maka Uthman telah membentuk jawatankuasa penyelaras untuk menyalin enam mashaf al-Quran mengikut salinan asal yang diambil daripada Hafsah.

Berikut adalah enam naskhah terawal:

– Satu dipegang Uthman

– Satu dihantar ke Basrah

– Satu dihantar ke Kufah

– Satu dihantar ke Syam

– Satu dihantar ke Madinah

– Satu dihantar ke Makkah

Tujuannya adalah untuk selaraskan cara mengikut bunyi bacaan Arab Quraisy kerana al-Quran diturunkan mengikut bacaan Rasulullah yang berbangsa Arab Quraisy.

Wallahu’alam.