,

Islam Hanya Sekadar Menginginkan Kebaikan Buat Umatnya

Islam hadir bukan untuk mengongkong kehidupan manusia, tetapi sudah pasti ia untuk membimbing manusia ke jalan yang diredhai-Nya di samping mentadbir urus kehidupan manusia di bumi berlandaskan syariat-Nya.

Jadi, antara perkara yang perlu dilakukan seorang Muslim adalah an-nasihah iaitu menginginkan kebaikan:

(a)Menginginkan kebaikan daripada Allah

– Beriman kepada Allah, menolak segala perkara yang mensyirikkan Allah, melakukan ketaatan kepada-Nya, menjauhkan diri daripada maksiat

– Memberi ketaatan kepada sesiapa yang mentaati Allah dan menentang sesiapa yang mengingkari-Nya.

(b) Menginginkan kebaikan daripada kitab al-Quran

– Membaca dan menghafal al-Quran kerana di samping ganjaran besar di sisi Allah dan dapat membersihkan jiwa, al-Quran akan menjadi syafaat pada hari akhirat nanti.

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafa’at kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

– Memahami isi kandungan al-Quran supaya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

– Mengajar al-Quran kepada generasi Muslim supaya ia terus terpelihara dalam jiwa setiap yang bergelar orang Islam.

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada manusia.” (Hadis riwayat Bukhari)

(c) Menginginkan kebaikan daripada Rasulullah

– Membenarkan segala ajaran yang dibawa Rasulullah, mencintai Baginda kerana kasih kepada Rasulullah adalah bukti kasih kita kepada Allah.

– Menelusuri sirah perjalanan hidup Rasulullah supaya dapat dijadikan teladan dalam kehidupan kita di samping menyebarkan sunnah Baginda.

Wallahu’alam