,

Pengajaran Daripada Ahli Badar

Menerusi Majalah Solusi bilangan 92, saya sangat tertarik dengan isu utamanya iaitu “Pengajaran Ramadan daripada Ahli Badar”.

Peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan dan dimenangi oleh orang Islam yang menentang ramai orang kafir itu menjadi satu motivasi kepada kita semua.

Namun apa antara pengajaran yang boleh kita perolehi daripada peperangan itu?

– Menjadikan Ramadan kita lebih proaktif dan bersemangat. Jangan jadikan puasa untuk kita kurang produktif.

– Selalu berdepan musuh yang ramai. Ramadan bulan ibadah. Melatih kita berdepan musuh nafsu dan syaitan.

– Kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. Jangan terus lemah semangat, kumpulkan azam sehingga berjaya.

– Sentiasa buka ruang untuk kemas kini perancangan. Banyak ruang kebaikan yang akan muncul Ramadan ini, manfaatkannya.

– Ketua mesti turun padang. Contohi Rasululullah SAW. Kalau kita ini, bantu ahli keluarga atau teman-teman buat persiapan berbuka, mengemas atau bersahur misalnya.

– Keadaan terburuk mungkin saja akan berlaku, namun jangan terus menyerah. Semangat perlu kuat!

– Selalu merancang dan bersedia mencongak apa di hadapan. Sedar jangkaan dan kemungkinan sesuatu keadaan atau diri.

– Kita memang sentiasa lemah, jangan tunggu masa kuat. Mulakan sahaja usaha, perkara baik-baik insya-Allah Tuhan akan bantu.

– Kemanusiaan tidak mengenal lawan. Biarkan akhlak kita menyentuh yang bukan Islam.

– Fokus kecil pada satu-satu masa. Dalam sesebuah perjuangan, mulakan dengan yang kecil dahulu pun tidak mengapa.

– Sasarkan matlamat tinggi dalam kekurangan diri. Dengan perancangan dan usaha, apapun tidak mustahil.

– Jangan pernah berhenti berdoa. Teruskan memohon pertolongan Allah kerana semua berlaku dengan izin dan hidayah Allah.

– Orang muda mesti menyinar. Orang muda pastinya akan lebih memeriahkan dan bersungguh.

– Yakin rencana Allah lebih hebat. Mohon kebaikan di sebalik sesuatu kegagalan. Jangan mudah putus asa.

– Kebaikan yang menggembirakan mesti diuar-uarkan. Kongsikan kepada yang lain, agar mereka juga turut mahu melakukan kebaikan. Moga Ramadan kali ini akan sesegar ahli Badar. Insya-Allah.

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali-Imran ayat 123)

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.