, ,

Jom Belajar Kaedah Fiqh Al-Yakin La Yazul Bi Al-Shak

Al-yakin la yazul bi al-shak termasuk antara lima kaedah fiqh yang disebut sebagai al-qawaid al-kubra.

Kaedah ini bermaksud keyakinan tidak boleh hilang dengan keraguan.

Antara dalil rujukan bagi kaedah ini adalah seperti berikut:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَمَا يَتَّبِعُ أَكۡثَرُهُمۡ إِلَّا ظَنًّاۚ إِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغۡنِي مِنَ ٱلۡحَقِّ شَيۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِمَا يَفۡعَلُونَ

“Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.”

(Surah Yunus 10:36)

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Apabila seseorang daripada kamu merasai sesuatu dalam perutnya, maka timbul keraguan dalam dirinya, sama ada sesuatu telah keluar atau belum daripadanya, maka hendaklah dia tidak meninggalkan masjid (untuk tujuan berwuduk), sehingga dia telah yakin mendengar bunyi kentutnya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Kaedah ini amat penting kerana bertujuan untuk membuang keraguan atau was-was, malah boleh diaplikasikan dalam beberapa bidang seperti bersuci (taharah), jenayah Islam dan hutang.

Contohnya, dalam jenayah Islam, secara asasnya seseorang itu diyakini tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bahawa dia memang betul-betul bersalah.

Jika hanya sekadar was-was atau timbul keraguan sama ada dia bersalah atau tidak, maka dia masih lagi dikira tidak bersalah kerana bukti masih belum kukuh.  

Ada dua lagi kaedah yang hampir sama dengan aplikasi kaedah ini, iaitu:

(a) Pada asalnya setiap orang adalah bebas daripada sebarang tanggungjawab.

(b) Pada asalnya setiap sesuatu adalah harus dan dibolehkan.

Wallahu’alam.