,

Sebab-Sebab Yang Menjadikan Doa Hamba Diterima Allah

Ada beberapa sebab doa kita diterima Allah, antaranya adalah seperti berikut:

(a) Bersungguh-sungguh merayu pada Allah

Apabila Allah tidak mengabulkan doa kita buat pertama kali, boleh jadi hikmahnya adalah supaya kita tidak berputus asa dalam berdoa kepada-Nya.

Hal ini adalah kerana jika kita berdoa dan terus dikabulkan Allah, sudah pasti kita akan terus berhenti daripada berdoa. Jadi, teruskan doa berkali-kali, tunjukkan kesungguhan kita.

Dalam hadis, daripada Aisyah rha, Nabi Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seseorang hamba berkata (berdoa): “Wahai Tuhanku…” empat kali, Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman: “Aku menyahut permohonan-mu. Mintalah, permohonan kamu akan diperkenankan.”

(b) Menadah kedua-dua tangan ketika berdoa

Antara adab dalam berdoa ialah mengangkat kedua belah tangan ke langit.

Jika kita meminta kepada manusia sekalipun, kita akan menghulurkan tangan sebagai tanda kesungguhan kita, apatah lagi jika meminta pada Allah maka lebih perlu kepada adab dan meminta dengan cara yang baik.

Rasulullah pernah mengangkat kedua-dua tangannya ketika sembahyang istisqa’ (meminta hujan) sehingga kelihatan kedua-dua ketiaknya yang putih.

Baginda juga telah mengangkat kedua belah tangannya pada hari perang Badar bagi memohon kemenangan kepada Allah sehingga jatuh selendang daripada bahu Baginda.

(c) Bermusafir

Ketika bermusafir, kita akan berada dalam perjalanan yang jauh, secara tidak langsung ia akan menyusahkan diri dan banyak cabaran yang perlu dihadapi, apatah lagi apabila bermusafir dalam usaha untuk beribadah dan melakukan amal kebaikan kepada-Nya.

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah ra, Nabi Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Tiga doa yang tidak syak lagi akan diterima; doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa ayah untuk anaknya.”

Wallahu’alam.