,

Tahu Mengenai Halal Dan Haram, Tetapi Abaikan Perkara Syubhah

Dalam Islam, jika disebut mengenai halal dan haram, kita lebih banyak fokus kepada makanan semata-mata. Bahkan, kita sangat berhati-hati apatah lagi kalau makanan tersebut haram.

Namun, halal dan haram bukan hanya sekadar pada makanan, tetapi ia melibatkan seluruh perkara dalam kehidupan manusia. Segala perkara yang dilarang Allah, haram untuk kita melakukannya.

Isunya adalah kalau sekiranya perkara itu tidak jelas, sama ada halal atau haram. Jadi, bagaimana?

Terkadang ia menyerupai perkara halal, terkadang ia menyerupai perkara haram. Inilah yang dipanggil sebagai syubhah atau samar-samar.

Jadi, sekiranya tidak terdapat nas atau ijmak mengenai sesuatu perkara itu tentang halal atau haramnya, maka para mujtahid akan berijtihad dan memutuskan sama ada ia halal atau sebaliknya dengan menggunakan hukum syarak.

Walau bagaimanapun, antara sifat warak seorang mukmin adalah apabila dia meninggalkan perkara-perkara syubhah, bahkan itu lebih baik.

Contohnya:

(a) Tidak bermuamalat atau berurusan dengan orang yang memiliki harta syubhah atau yang bercampur dengan riba.

(b) Tidak terlalu banyak melakukan perkara-perkara harus seperti menonton tv, mendengar lagu atau lain-lain malah berusaha meninggalkannya adalah suatu sikap yang baik.

Namun, syubhah tidak sama dengan was-was! Jangan keliru pula.

Was-was itu adalah mengharamkan perkara yang kemungkinan haramnya adalah jauh. Contohnya:

(a) Tidak mahu menggunakan air di tanah lapang kerana dikhuatiri terkena najis, sedangkan tiada najis di situ dan ia hanya sangkaan semata-mata.

Berhati-hati dengan was-was kerana ia adalah bisikan syaitan yang bertujuan untuk mengganggu manusia dalam ibadah kepada Allah.

Orang yang banyak melakukan syubhah dikhuatiri suatu hari nanti dia akan terjebak ke dalam perkara yang haram tanpa dia sendiri sedar.  

Hayati kisah ini : Seorang ulama’ terkenal iaitu Ibrahim bin Adham pernah ditanya, “Kenapa kamu tidak minum air zam-zam?” Dia berkata, “Seandainya aku mempunyai timba, nescaya aku akan meminumnya.” Dia berasa syubhah untuk menggunakan timba yang ada itu kerana ia adalah daripada harta kerajaan.

Wallahu’alam.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%