,

Tersedar Daripada Kelalaian

Menjadi seorang ibu bapa, di awal kelahiran bayi yang pertama sebenarnya kita sedang belajar daripada anak erti amanah.

Bagaimana kita menyusun pendidikan seorang anak supaya menjadi manusia yang mengikut kehendak Allah dan Rasul.

Kita pula mendidik jiwa kita untuk kembali kepada fitrah seorang insan yang menggalas tanggungjawab untuk mencipta anak-anak mengikut acuan Allah. Di sinilah anak-anak menjadi guru di dalam mencungkil potensi seorang ibu dan bapa.

Perasaan kasih dan sayang yang terbit dari lubuk hati seorang ibu takkan mampu dibuat-buat.

Segala macam rasa dapat dilihat dari riak muka seorang ibu dari saat pertama kali melihat, menyentuh, menyusu dan sebagainya.

Semua itu satu getaran amanah untuk memastikan anak tadi lahir menjadi manusia berguna untuk agama.

Berbanding anak yang lahir kerana hubungan yang terlarang. Anak tadi tidak haram, masih suci dan fitrahnya sama seperti bayi yang lain. Yang haramnya ibu dan bapa yang tak bertanggungjawab itu!

Hidup membabi buta sampai sanggup membuang anak! Langsung tidak ada perasaan kemanusiaan, tak ada perasaan belas kasih lagi sewaktu membunuh anak sendiri.

Tiada kasih sayang yang tumpah untuk melihat anak tersebut hidup seperti manusia lain. Bagi mereka anak hanya eksesori sumbang mahram tadi yang ‘terlekat’ akibat ketelanjuran daripada kebodohan mereka sendiri!

Wahai anak yang kami sayangi. Teruslah mendidik kami menjadi ibu bapa yang sabar. Tekun berusaha memperkemaskan ilmu agama kami demi mendidik kamu agar membesar menjadi insan yang dikehendaki Allah.

Kami sedar kekurangan kami sewaktu kami hanyut mengenal dunia. Kami insaf akan dosa lalu kerana tidak benar-benar kenal siapa Allah dan Rasul untuk dijadikan panduan hidup kami.

Kini kami mahu betulkan kembali langkah kaki kami mengikut sunnah Allah dan Rasul. Kami sedang berusaha untuk memahami kitab-Nya yang tidak pernah berubah dari dahulu hingga sekarang.

Jaminan syurga Allah hanyalah untuk mereka yang tenang jiwanya. Telah kami ikrar untuk cipta anak-anak kami mengikut acuan yang ditinggal para nabi dan rasul. Menjadikan kamu anak yang tidak disentuh manusia. Penghuni taman syurga.

Cita-cita kami pasti mahukan kamu faham apa misi hidup kalian di dunia. Bukan hanya melompat terkinja-kinja di konsert dan hidup dek kerana hiburan semata-mata.

Terpesong ke jalan yang salah. Hidup seperti tak ada mak bapak di dunia! Kami tahu dunia semakin menggila dan sentiasa mahu menghanyutkan kami mengikut arus ke neraka.

Lautan manusia yang sudah tersesat berhimpun dalam jahiliyah moden. Jauhkanlah kami agar takkan ulangi kesilapan yang lalu, hidup membuta tuli hanya mengikut nafsu dunia.

Biasanya setiap sambutan hari lahir itu disertai kemeriahan sanak saudara dan majlis potong kek untuk meraikan si anak. Tapi buat kamu tidak ada yang istimewa melainkan ucapan kasih sayang dan ikrar tekad dari kami untuk memastikan kami istiqomah dalam mendidik kamu.

Kek itu satu SIMBOLIK PENJAJAH yang telah memusnahkan sejarah bangsa dan agama kita. Mereka masuk ke dalam sistem kita, menghadiahkan kita dengan janji manis dan bulan bintang untuk memberi tawaran yang menyedapkan kita.

Dibahaginya kita mengikut suku sakat masing-masing hingga semuanya bergaduh kerana harta, kuasa dan wanita!

Semua kita diracun dengan kemanisan gula-gula dunia. Semua berebut untuk dapat bahagian kek masing-masing. Kek yang besar mencipta manusia yang tamak.

Yang kaya bertambah kaya. Yang miskin bertambah miskin. Itulah kek yang bernamakapitalis. Mereka berikan kita CAHAYA palsu melalui lilin yang dibakar.

Segala keseronokan, kemewahan, hiburan dan kesenangan duniawi dileburkan untuk memastikan kita leka dan lalai. Tertipu dek hawa nafsu yang menyangka kita dalam cahaya kebenaran.

Hujungnya kita sendiri memadam cahaya itu dan hidup kembali dalam kegelapan. Langsung hilang asal usul. Lupa diri, agama dan bangsa.

Agama hanyalah adat. hidup dengan upacara ibadat, tetapi tidak kenal hakikat hidup beragama. Tidak bangkit untuk menongkat agama yang dipandang hina!

Malah kita sendiri ramai yang masih menghina agama sendiri. Mempermainkan agama! Mempergunakan agama!

Allah sedang dipandang kecil oleh seluruh manusia. Kerana perbuatan kita yang mengaku beragama.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.