,

Dia Yang Tidak Pernah Lupakan Kita

“The best reminder is the one which makes us closer to God.”

Sedar atau tidak, kita mungkin pernah mengalami peristiwa-peristiwa seperti ini:

1- Sakit

Usah cakap sakit yang berat atau tenat, ambil sahaja demam sebagai contoh. Mesti kita terus teringatkan Allah. Merintih dan mengadu kesakitan kita, tak putus-putus berdoa agar diberikan kesembuhan.

Sakit itu selain mengangkat darjat dan menghapus dosa, juga tanda Dia rindu kepada kita, rindu kepada rintihan kita. Ubat hanya sebagai ikhtiar, yang paling utama adalah istighfar (memohon keampunan).

Saat kita lupakan Dia waktu sihat dan perkasa, Dia sentiasa menjaga kita. Saat kita baru teringatkan-Nya waktu sakit dan lemah, Dia sentiasa ada untuk kita.

Apa kita ingat Allah lupa?

2- Kegagalan

Gagal dalam peperiksaan, hubungan, pekerjaan, mencapai impian, atau apa-apa sahaja kegagalan yang kita alami dalam hidup.

Waktu itu, kita merendah diri mencari Allah. Mengaku kelemahan diri, menagih simpati dan kejayaan. Namun manusia itu kekal manusia, lalai bila sudah berjaya.

Bahkan mendabik dada pula dengan angkuhnya. Menganggap kejayaannya hasil daripada usaha sendiri. Ironinya, kejayaan itu pula menjauhkan dirinya daripada Yang Maha Esa.

Ingatlah, kejayaan yang sebenar adalah kejayaan yang lebih menundukkan kita kepada-Nya, bukan hanya kegagalan.

Apa kita ingat Allah lupa?

3- Terselamat Daripada Bahaya

Mungkin ramai yang pernah alami. Terlibat dengan kemalangan teruk, tetapi selamat walaupun kenderaan sudah hancur lebur. Atau terselamat daripada penyakit kronik, lemas, kebakaran, rompakan, bencana dan lain-lain.

Masa itu, nama Allah sahaja yang diratib mulut. Bersyukurnya kerana masih lagi diberikan peluang untuk bernyawa, walaupun secara logiknya mustahil untuk kita terselamat.

Sedarkah kita? Itulah peluang kita untuk bertaubat, setelah lama mengundang murka-Nya. Betapa pengasihnya Allah, pendosa jua dipayungi cinta-Nya.

Apa kita ingat Allah lupa?

4- Dipinggirkan

Atas sebab-sebab tertentu, kita dipinggirkan kawan-kawan. Lebih teruk lagi, ahli keluarga juga menjauhkan diri, menyisihkan kita daripada mereka. Benarlah, langit itu tidak selalunya cerah.

Mungkin kerana difitnah, atau salah faham yang berlaku di luar jangkaan. Kita keseorangan, tiada sokongan jua teman. Saat inilah Dia hadir memberikan kekuatan, membutirkan harapan, membantu diri menapak ke hadapan. Cukup sebagai bukti bahawa kita tidak keseorangan.

Apa kita ingat Allah lupa?

5- Rezeki

Rezeki sudah sinonim dengan harta dan duit. Itu takrifan yang dangkal, lagi jahil. Rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk, hatta hati yang tenang juga adalah satu rezeki. Tak semua mampu merasainya. Al-Razzaq, Maha Pemberi Rezeki.

Dia yang memberikan rezeki kepada semua, tidak kira kepada yang taat, pendosa, kaya, miskin, juga kepada makhluk yang lain di muka bumi.

Di saat kita selalu berdoa agar dilimpahkan dan dimurahkan rezeki, apakah usaha kita memadai untuknya?

Apakah balasan kita kepada Al-Razzaq? Saat tidak mendapat apa yang diingini, marah kecewa menjadi raja.

Saat dihadiahkan rezeki, bersuka ria bergelak ketawa. Orang susah pula dipandang sinis, apatah lagi mahu menyumbang sedekah. Di mana syukurmu wahai manusia?

Apa kita ingat Allah lupa?

6- Maksiat

Bila berada bersendirian, jauh daripada pandangan orang lain, mulalah si syaitan durjana datang menggoda.

Waktu ini, bukan kita tak sedar, bukan kita jahil bab agama, bukan kita tak tahu hukumnya, hanya saja kita yang bodoh menuruti nafsu!

Walhal semuanya sudah termaktub dalam ‘perlembagaan’ Ilahi. Dosa kecil atau besar, dosa terhadap Allah atau melibatkan manusia, itu semua tidak akan berlaku jika kita sentiasa ingat bahawa kita sentiasa diperhatikan!

Tinggal berseorangan, hakikatnya dua makhluk mulia sedang bertugas tanpa lalai.

Apa kita ingat Allah lupa?

7- Kehilangan

Kehilangan orang yang kita sayang. Sama ada mak ayah, adik beradik, saudara mara, kawan baik kita, atau siapa sahaja yang dekat dengan hati kita.

Semua itu mengundang sedih dan air mata, salah satu daripada detik hitam dalam hidup di kala kematian memisahkan kita.

Adakalanya, fikiran kita mencapai pada satu tahap untuk mempertikaikan kenapa Allah mengambil nyawanya dengan cepat? Kenapa Allah merampasnya daripada kita?

Tanpa sedar, ia sudah menidakkan ajal maut seseorang yang telah ditetapkan-Nya sejak azali. Semua datang daripada-Nya, dan akan kembali kepada-Nya, yang menciptakan segalanya.

Apa kita ingat Allah lupa?

******

Inilah sebahagian daripada sketsa kehidupan manusia yang bisa kita lihat, juga pernah kita alaminya sendiri.

Sekadar untuk peringatan bersama, bahawa Allah itu sentiasa ada, di mana jua kita berada. Dialah sebaik-baik pendengar, sebaik-baik penolong, dan sebaik-baik untuk segala-galanya.

Allah TIDAK pernah lupa.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Uzair.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%