Solat Istisqa' (صلاة الإستسقاء) merupakan salah satu solat sunat yang disyariatkan bagi memohon turunnya hujan dari Allah s.w.t, terutamanya ketika berlakunya kemarau yang panjang.
Istilah istisqa' sendiri bermaksud meminta siraman air, dan ia merujuk kepada doa kepada Allah subhanahu wata'ala untuk diturunkan hujan dengan cara tertentu.
Dalil Solat Istisqa'
Daripada Ibnu Abbas radhiallahu anhuma, dia berkata : “Bahawa Rasulullah s.a.w telah keluar (untuk mengerjakan solat sunat Istisqa') dengan berpakaian biasa, tawaduk dan merendah diri sehingga sampai ke tempat solat. Baginda tidak berkhutbah seperti khutbah kamu ini, akan tetapi Baginda berterusan berdoa, merendah diri dan bertakbir, dan Baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat sebagaimana sembahyang sunat Hari Raya.
(Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi)
Persediaan Sebelum Solat Istisqa'
Sebelum melaksanakan solat Istisqa', adalah penting untuk menginsafi bahawa manusia tidak mempunyai upaya untuk menentukan sesuatu, melainkan dengan kehendak Allah subhanahu wata'ala.
Beberapa persediaan yang boleh dilakukan termasuk:
- 1Bertaubat dengan sebenar-benarnya.
- 2Bersedekah kepada fakir miskin, meninggalkan kezaliman, dan mendamaikan perselisihan.
- 3Berpuasa selama empat hari berturut-turut.
- 4Pada hari keempat, seluruh penduduk dengan pakaian yang biasa, merendah diri dan bersopan santun, diminta turut sama keluar beramai-ramai ke tanah lapang (lebih utama) atau masjid bagi menunaikan solat secara berjamaah. Sunat dibawa bersama- sama ke kawasan bersolat kanak-kanak, orang tua dan binatang ternakan. Ini adalah kerana bencana yang menimpa turut mengenai mereka semua.
Cara Melaksanakan Solat Sunat Istisqa'
Solat Istisqa' boleh dilakukan secara sendirian atau lebih afdhal jika dilakukan secara berjamaah.
Ia dilakukan dengan tujuan khusus untuk memohon kepada Allah s.w.t agar diturunkan hujan.
- 1Dilakukan dua rakaat sama seperti solat sunat hari raya.
- 2Disunatkan untuk (bilal) melaungkan ُصََلةال ََّعِامًَة ج untuk memulakan solat.
- 3Lafaz niat solat sunat istisqa’:
Maksudnya : Sahaja aku solat sunat istisqa’ 2 rakaat menjadi imam/makmum kerana Allah Ta’ala.
- 4Seperti solat sunat hari raya, selepas membaca doa iftitah, disunatkan bertakbir sebanyak tujuh (7) kali dengan diselangi bacaan tasbih pada rakaat pertama dan lima(5) kali takbir yang juga diselangi dengan tasbih pada rakaat kedua.
- 5Imam sunat menyaringkan suara ketika membaca surah al-Fatihah dan surah lain selepasnya.
- 6Selepas membaca Surah al-Fatihah, membaca surah al-A’la pada rakaat pertama dan surah al-Ghasyiah pada rakaat kedua.
- 7Selepas salam dan selesai solat, imam atau khatib disunatkan berkhutbah (membaca dua khutbah).
Kaifiat Khutbah Istisqa’
Khutbah ini dilakukan selepas solat sunat Istisqa’. Khutbah pertama akan dimulakan dengan beristighfar sebanyak sembilan (9) kali, dan pada khutbah kedua, khatib akan beristighfar sebanyak tujuh (7) kali.
Setelah berlalu satu pertiga khutbah yang kedua, khatib hendaklah berpaling menghadap kiblat dan membelakangi para jemaah.
Seterusnya, khatib mengubah kedudukan selendangnya yang bahagian atas ke bawah, dan yang bahagian bawah ke atas, dan yang bahagian kanan di ubah ke kiri dan yang bahagian kiri diubah ke kanan.
Para jemaah juga disunatkan melakukan perkara yang serupa.