Kisah 1
Suatu petang, ketika aku sedang menikmati minum petang di sebuah kedai makan, aku melihat ada dua orang budak lelaki ingin memasuki kedai itu tetapi dihalau oleh pemilik kedai.
Mungkin kerana mereka berpakaian comot, kelihatannya mereka memegang kotak gula-gula getah untuk dijual pada siapa sahaja yang mereka jumpa.
Apabila dihalau dan dimarahi oleh pemilik kedai, mereka tunduk sahaja dan kemudian melangkah keluar dari kedai tersebut.
Di luar, mereka hanya mampu memandang makanan-makanan di dalam kedai melalui cermin sahaja. Sudah tentu mereka lapar, fikirku terus mematikan seleraku pada petang itu. Takkan aku hanya mampu tengok sahaja tanpa ada rasa nak membantu?
Apa yang boleh aku buat, aku bungkuskan sedikit makanan dan berikan kepada mereka. Nak tahu apa yang aku dapat setelah itu? Aku dapat senyuman mereka…
Salahkah untuk kita berkongsi rasa senang dengan mereka yang kurang mampu?
Mengapa kita memilih untuk menjadi manusia yang bongkak dengan menganggap diri lebih baik lantas dihambur segala prasangka?
Terus memberi, berkongsi rasa agar kebahagiaan dapat dikongsi bersama…
Maka hati akan turut puas melihat kau tersenyum manis…
Kisah 2
Umi pernah bercerita tentang kawannya yang melihat anaknya kemalangan di depan matanya, dia nampak dengan mata kepalanya sendiri tayar traler berada di atas badan anaknya.
Tapi apa agaknya reaksinya setelah melihat keadaan itu? Anaknya dikejarkan ke hospital berdekatan dan doktor memberitahu anaknya berada dalam keadaan kritikal, antara hidup dan mati 50-50.
Kalau kita, tentunya akan menyalahkan diri sendiri, menyalahkan takdir, kenapa ini berlaku, kenapa aku terleka, kenapa… kenapa… dan kenapa.
Kita akan meratap kesedihan dan rasa bersalah sepanjang hayat.
Tapi sebaliknya si ayah ini menyatakan ayat yang sangat mujarab dengan ekspresi muka yang begitu tenang, iaitu “Semua ini dah ditentukan oleh Allah ,apapun yang bakal terjadi, aku redha Ya Allah… Kau hanya pinjamkan dia untukku… aku bersyukur sangat.”
Berkat sabar dan redha si ayah terhadap ujian yang menimpa si anak tersayang, si anak sehingga hari ini masih hidup dan lebih sihat dari sebelumnya..
INGATLAH… kuasa sabar dan redha atas sesuatu musibah yang menimpa akan menjadikan perkara yang mustahil itu berlaku… biiznillah.
Kisah 3
Alhamdulillah, akhirnya selesai juga menghadiri temuduga bantuan kewangan untuk pengajian di universiti. Apabila aku melihat umi tersenyum padaku, terus aku berjalan menuju ke arahnya.
Dia bertanya padaku bagaimana dengan sesi temuduga sebentar tadi lantas aku menjawab, “Alhamduliilah, ok… tapi… kawan yang sebelum kakak tadi buat lagi bagus. Dia sangat petah berbicara, sangat suka bercerita, sangat bersemangat, sampaikan panel penemuduga begitu tertarik pada kisahnya. Tapi kakak tak pandai nak buat dengan cara begitu sebab kakak segan la umi. Mesti kakak tak dapat temuduga ni,” rungutku pada umi.
Jawapan umi membuat persepsiku berubah dan telahku semat dalam fikiran.Umi cakap, “Kenapa Allah aturkan semua sahabat yang di samping Rasulullah mempunyai personaliti yang berbeza? Umar seorang yang berani tapi Uthman pula seorang yang pemalu. Nak menunjukkan tak salah untuk jadi berani mahupun jadi pemalu. Semuanya bergantung pada diri kita, mahu menjadi seperti Umar atau Uthman, dan yang penting ialah kita perlu menjadi diri sendiri dan sentiasa yakin dengan kebolehan diri kita. Jangan sesekali pandang rendah dengan kelebihan yang Allah bagi pada kita…”
Terus bersangka baik dengan Allah… bila dah berusaha dan berdoa, jangan lupa tawakal dan serahkan semuanya pada Allah… yang penting ‘Be Yourself’.
******
Masing-masing mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Setiap perkara yang kita lalui sepanjang hari, jika dihayati dan dinilai dengan mata hati pasti memiliki ibrah yang tersendiri.
Ia bergantung dengan bagaimana cara kita berfikir dan menilai sekalipun kita berhadapan dengan perkara yang tidak disukai kerana everything happen for a good reason…
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaheeda.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.