,

Tenang-tenang Sahaja Wahai Hamba-Ku!

‘Banyaknya masalah dalam hidup aku, tak macam kau, aku ini Allah uji dengan macam-macam sampai aku rasa aku tak mampu nak hadapi sorang-sorang’, keluhnya.

‘Sahabat, apakah dengan mengira dengan kamu melihat aku bersenang seolah tiada apa yang berlaku lalu kamu membuat kesimpulan aku ini tidak punya masalah, aku ini tidak diuji oleh Allah?’ Lalu sahabat bertanya hal sama kepada si pengeluh.

Hidup ini ujian, susah itu ujian, senang juga ujian. Tak ada seorang manusia pun yang hidup di dunia ini terlepas daripada ujian, justeru yang selalu berkata dia tidak punyai apa-apa masalah dalam hidup juga sebenarnya adalah ujian.

Kita menumpang di bumi Allah, masakan kita menumpang kita boleh bersenang lenang? Tidak sahabat.

Ujian itu tandanya sayang. Lalu akan disoal kembali kepada yang berkata tadi: ‘Ujian tandanya sayang? Di mana tandanya sayang? Kalau setiap kali diuji, tiada apa yang berbekas di hati melainkan rasa sedih dan kecewa, itu yang dikatakan sayang?’

Lalu yang berkata tadi juga terpinga tak reti, sudah mati akal, bagaimana hendak  diterangkan dengan apa itu frasa ujian itu tandanya sayang.

Pernah sakit? Pernah rasa kehilangan? Pernah rasa kecewa?

Pernah, setiap manusia yang hidup di dunia takkan terlepas daripada merasai perasaan sebegitu, tipulah kalau kata sepanjang hidup happy go lucky takda masalah langsung, kan?

Betul tak, sama ada kecil atau besar, senang atau susah mesti kita akan diuji oleh Allah. Sebab apa Allah uji?

Sebab Allah nak tahu diri kita macam mana, apa yang kita buat kita kena uji, bagaimana kita nak uruskan diri kita bila Allah uji, dan yang paling penting pada siapa sebenarnya kita berharap untuk kita selesaikan masalah bila kita berhadapan dengan perkara yang paling sukar dalam hidup kita?

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (Surah Al-Baqarah 2:214)

Sebenarnya bila diuji, sama ada kita sedar atau tidak, kita makin dekat Allah.

Perasan tak? Bila kita sakit, yang selalu keluar setiap kali kita merasa sakit apa? Allah, bukan? ‘Aduh, sakitnya Ya Allah.’

Bila kita merasa kehilangan, yang selalu keluar dari mulut kita pun Allah juga, bukan?

‘Ya Allah, kuatkanlah hati aku’.

Tengok betapa sayangnya Allah dengan kita, tatkala kita berada dalam kesedihan, kedukaan mahupun kehilangan sekalipun, Allah tolong kita dengan untuk mengingati Dia dan sekaligus mengingatkan bahawasanya kita ini adalah hamba, kita tiada tempat pergantungan lain selain daripada Allah.

Dengan manusia, kita terbatas. Manusia ada keterbasan dalam diri, sayang dan cintalah macam mana sekalipun tetap tidak akan mampu untuk mengembalikan hati kita kepada yang sebetulnya.

Pasti akan ada kekurangan melainkan Allah. Dengan Allah, benda yang kelihatan mustahil, akan menjadi tidak mustahil dengan Allah.

“Allah adalah pemungkin bagi segala yang tidak mungkin”. Ingatlah Allah ketika senang, inshaAllah Dia akan mengingati hambanya yang dalam kesusahan.

Sesuailah dengan persangkaan Allah, ‘Tenang-tenang sahaja wahai hamba-Ku, ujian-Ku ini bukanlah apa-apa jika hendak dibandingkan dengan nikmat-Ku di dunia dan di akhirat kelak. Perbanyakkan meminta dengan Allah, Allah tidak marah, Allah suka hamba-Nya yang suka meminta-minta. Berbanding dengan manusia, terlalu banyak meminta pada manusia pada akhirnya akan kurang disenangi.’

Allah kita sangat-sangat sweet sehinggakan kita belum pun meminta Allah sudah tahu apa yang terbuku dalam hati kita, cuma Allah mahu melihat kesungguhan kita, bagaimana pengharapan kita pada Dia?

Senyumlah dan sudah tiba masa untuk kita tepuk bahu sendiri dan berkata, ‘Tak mengapa, Allah itu ada.’

Kita datang pada Allah dengan keadaan berjalan, Allah berlari mendapatkan kita. Tapi kita manusia, kita selalu lupa, Allah tak pernah jauh dengan kita, tapi kitalah yang sentiasa menjauh dengan Allah.

Jangan jadikan Allah pilihan yang pertama saat kita merasa sedih dan kecewa lalu tiba-tiba menjadi pilihan yang terakhir saat kita bahagia dan suka.

Tatkala kita jatuh, belum sempat kita meminta, Allah sudah siap sedia dengan bantuan.

Tenang-tenang wahai hamba-Ku, Aku ini ada untukmu! Senyum.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Siti Suraya Othman. Ikuti perkembangan beliau di media sosial Instagram Ukhtisuraya dan Facebook Cafe Chenta Ilahi.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.