, ,

Pemerintah Wanita Dalam Kesultanan Acheh

Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Syah (1641-1675)

Di pertengahan abad ketujuh belas, selepas pemergiannya Sultan Iskandar Thani (Sultan Acheh selepas Sultan Iskandar Muda), seorang Puteri Raja telah dicalonkan untuk menjadi pemerintah Kesultanan Acheh.

Pada masa itu, Acheh seiring dengan Johor merupakan antara dua kuasa terbesar di Nusantara yang masih belum jatuh ke tangan penjajah Eropah- Penjajah Belanda dan Portugis.

Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1636, Sultan Iskandar Thani yang merupakan menantu Sultan Iskandar Muda menaiki takhta kerajaan Acheh.

Sultan Iskandar Thani adalah putra raja negeri Pahang yang telah bernikah dengan puteri kepada Sultan Iskandar Muda. Penguasaan beliau di tanah Acheh tidak lama, hanya sekadar 5 tahun (1636-1641).

Memandangkan tiadanya waris laki-laki daripada Sultan Iskandar Muda dan juga Sultan Iskandar Thani, persidangan kerajaan Acheh mengangkat Sultanah Safiatuddin menjadi penguasa dan khalifah kerajaan Acheh.

Walaupun sebelum pelantikan beliau tiada lagi wanita yang pernah menduduki tampuk penguasaan kerajaan Acheh, para ulama di Tanah Acheh menyokong pelantikan beliau dan tidak melihat adanya percanggahan antara kepemimpinan wanita dan agama Islam.

Abdul Rauf Singkel menyatakan dalam kitab beliau Mir’at At-Tullab bahawa Sultanah Safiatuddin merupakan timbalan tuhan di bumi Acheh dalam urusan negara tersebut.

Nuruddin Al-Raniri turut memuji sifat beliau.

“Bahawa beliau mempunyai sifat kepujian dan perangai kebajikan, lagi takut akan Allah, membaca Kitabullah, mengamalkan Amar Maruf Nahi Mungkar, dan tersangatlah adil dalam menghukum antara hamba hamba Allah. Daripada pemerintahannya, ramailah rakyat menjadi soleh bersembahyang dan menuntut Ilmu.”

Beliau sangat menggemari syair atas galakan gurunya, Hamzah Fansuri, dan mempelajari Fiqh daripada gurunya Syeikh Nuruddin Al-Raniri.

Antara jasa beliau yang terbesar adalah dalam memperkembangkan agama Islam di Acheh. Beliau banyak mengutus murid untuk pergi menuntut Ilmu di pusat-pusat Ilmu seperti di Makkah, Madinah, Baghdad dan India.

Beliau juga banyak menyuruh mereka yang mempelajari ilmu agama untuk tekun menulis kitab.

Bahkan, beliau sendiri telah mengarang sebuah kitab bertajuk ‘ Masail Al Muktadi’.
Beliau turut mengutus ulama Acheh untuk berdakwah di Siam.

Ketika itu di Acheh, terdapat dua kumpulan agama Islam, satu yang didokong Sultan Iskandar Muda adalah golongan yang memegang kepercayaan Wahdatul Wujud, kepercayaan yang dijadikan popular oleh Hamzah Fansuri.

Namun, Sultan Iskandar Thani lebih memihak kepada golongan kedua, golongan yang mengambil hukum-hakam lebih literal, diketuai oleh Sheikh Nuruddin Al-Raniri.

Sultanah Safiatuddin tidaklah berpihak kepada mana-mana pihak dan membiarkan puak-puak agama tersebut menyelesaikan permasalahan agama sesama mereka.

Dalam bidang diplomasi, beliau telah berjaya membuatkan penjajah Belanda tidak diberi sebarang layanan istimewa di perairan Acheh, dengan membenarkan pedagang muslim dari India dan Gujarat untuk turut berdagang di pelabuhan Acheh tanpa sebarang cukai tambahan.

Belanda juga tidak berjaya mendapatkan timah dengan kuantiti lebih besar di negeri Perak, yang ketika itu berada di bawah jajahan Acheh walaupun setelah diugut oleh Belanda, yang merupakan kuasa besar Eropah di Nusantara ketika itu.

Belanda juga tidak berjaya memperoleh sebarang keuntungan daripada perdagangan gajah di Acheh yang merupakan sebuah perdagangan yang menguntungkan.

Sang Raja wanita ini juga telah mendirikan sebuah pasukan khas wanita dalam mempertahankan kerajaan Acheh. Juga dalam bidang kehakiman, beliau melantik wanita menjadi ahli dalam balai Majelis Mahkamah Rakyat.

Beliau telah memerintah Kerajaan Acheh selama 34 tahun (1641-1675) dan takhta beliau diwarisi oleh Sultanah Nurul Alam Naqiatuddin Syah.

Seorang pengembara muslim bernama Al Mutawakkil menyatakan bahawa beliau adalah seorang wanita Muslim yang sempurna, dan pemurah. Beliau bijak membaca dan mahir dalam ilmu pengetahuan.

Beliau memanfaatkan ramai yang lain. Nama beliau tertulis atas duit syiling, Sultanah Safiatuddin Syah.

Sumber:
– Nisriwani Yahaya, Syed Zulflida S.M. Noor, 101 Puteri Dunia Melayu
– Ismail Soyan, M. Hasan Basry, T. Ibrahim Alfian, Wanita Utama Nusantara
– Syer Banu A Latif Khan, Sultanahs of Acheh

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Maryam Sakinah Jeffrey (nama pena: Maryam JS). Seorang doktor berkelulusan Ijazah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%