,

Tuhan, PadaMu Ada Kedamaian

Kehidupan ini ialah perjalanan dan kembara dari Tuhan dan akan kembali kepada Dia yang Maha Esa. Demikianlah. Putaran hidup kita sebagai HambaNya.

Menyusun kembali titik-titik takdir yang berlaku ini mungkin boleh dijadikan sesuatu yang baik untuk dikongsi dan pengalaman hidup untuk direnungkan terutamanya untuk diri sendiri kelak.

Semoga coretan ringkas ini bukan hanya untuk dibaca tetapi untuk difikir dan direnung hikmahnya.

Peristiwa yang mana mungkin dapat dilupakan dalam hidup ini buat selama-lamanya. Kematian yang cukup menghidupkan. Menghidupkan hati yang telah mati.

Mungkin. Pemergian  buat selama-lamanya seseorang yang bakal dikahwini itu merupakan sesuatu yang cukup memeritkan. Ini yang terjadi kepada kakak sendiri.

Perit dan sedihnya turut kami rasai. Menjadi tulang belakang saat orang yang kita sayangi dalam kesedihan.

Sungguh! Mendapat perkhabaran ini menyebabkan diri ini terkedu sebentar. Agak lama otak memproses perkhabaran tersebut.

Bayangkan kitalah antara orang yang gembira apabila diberitahu saudara satu rahim kita akan menamatkan zaman solo dengan lelaki pilihan hatinya.

Terus terlintas satu firman Allah, “Dan tiadalah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan yang serupa dengan itu? Benar, Dia berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata “Jadilah maka jadilah” Maha suci Allah di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepadaNya lah kamu akan dikembalikan.” (81-83:Yassin)

Cukuplah kita tahu yang pada waktu itu kita tak mampu berbuat apa-apa melainkan menyerahkan bulat-bulat aturan hidup kepada yang Maha Merancang segala sesuatu dia atas sana.

Sungguh kerdil kita di hadapanNya saat itu. Pergantungan saat itu hanya padaNya. Siapa kita yang berhak mempersoalkan takdir tersebut.

Benar. Prosesnya terlalu amatlah sukar. Mungkin boleh jadi hilang pedoman jika terlalu mengikut perasaan sedih tersebut.

Rahsia Tuhan. Sungguh… tiada siapa yang tahu. Sesungguhnya dia yang punya rencana paling indah buat hambaNya. Siapa kita untuk menolak takdirNya.

Sinar pelangi hikmah pasti akan menyinar. Mungkin belum tiba masanya. Jika kita rasa ujian kitalah yang paling berat, ingatlah ada orang di luar sana yang diuji juga. Dengan cara yang berbeza-beza.

Bukan hanya pemergiannya memberi pengajaran buat yang hidup. Cara pemergiannya juga buat kita berfikir. Bagaimana kita mencorak hidup kita begitulah Allah akan menamatkan riwayat kita.

Kesakitan itu mengajar kita untuk lebih matang dalam membuat keputusan hidup ini. kerana memang dunia ini ladang ujian dan akhirat sana tempat menuainya. Ujian hati, sesiapa pun mungkin berhadapan dengannya.

Cara yang mana terbaik menanganinya kita yang tetapkan dan pilih. Jangan pernah putus harap padaNya. Dia pemilik segala ketetapan.

Mana mungkin kita dianggap beriman jika kita tak diuji. Ujian hati itu kadang-kadang membuatkan kita lemah dan lelah. Tetapi setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (286:Al-Baqarah).

Menyambung rantaian takdir ini membawa diri ini kepada satu firman Allah yang bermaksud “Dan apabila hamba-hambaku bertanya tentang aku maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepadaku” (Al-Baqarah:186) 

Kuncinya cuma sabar. Tuhan tak pernah tidur. Menyebut dan mengatakan sabar itu sangat mudah di lidah tapi teramat berat dalam tindakan.

Semoga kita direzekikan kesabaran.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Syafiqah binti Mohamad. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook: Syafiqah Mohamad.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.