,

Apa Yang Kau Kejar Dalam Hidup Ini?

Pernahkah dalam satu saat engkau terfikir, apa yang kau kejarkan dalam kehidupan ini?

Kekayaan? Harta?
Itu semua tidak akan dibawa mati.

Cinta?
Hati manusia berubah sentiasa. Hari ini kasih, cinta, rindu berahi, esok lusa benci bila ada pengganti.

Pangkat?
Kita semua akan tua dan pencen akhirnya.

Apabila sampai masa umur kau luput untuk berada di dunia, segalanya akan kau tinggalkan sama ada kau bersedia atau tidak, terpaksa jua kau pergi menghadap Ilahi.

Lantas…
Bekal apakah yang kau bawa?

Solat?
Yang wajib je yang kau buat. Masamu sibuk dengan kerja. Dengan aktiviti berniaga.

Puasa?
Ramadhan sahaja. Itupun puasa ganti kau buat hujung-hujung tahun baru sempat berganti.

Sedekah?
Duit paling kecil dalam wallet yang kau pilih. RM1. Paling banyak pun RM10. Itupun kau berbisik di dalam hati, betul ke orang yang meminta sedekah itu berikan untuk anak-anak tahfiz? Untuk anak yatim? Sampaikah RM1 kau itu kepada mereka? Keikhlasan itu macam tidak ada semasa kau menyerahkannya.

Haji?
Nantilah. Duit belum ada. Baiki rumah dulu dengan duit simpanan yang ada ini. Nanti, bila kau pencen, kau akan pergi haji dengan duit pencen laki bini.

Zakat?
Dah bayar LHDN, zakat tak payah bayar dululah. Lagi pun sikit sangat pengecualian cukai yang kau akan dapatkan dari zakat semasa deklarasi pendapatan hujung tahun kau itu.

Allahurabbi…

Berkiranya kita dengan masa depan akhirat kita.

Sedangkan semua orang tahu bahawa MATI ITU PASTI.

Sedar-sedar kita sudah mati pagi ini. Hari ini.

Kita tidak sempat ganti solat.
Kita langsung tidak buat solat sunat.

Kita terlupa ganti puasa tertinggal Ramadhan tahun lepas. Sebab kita merasakan masih ada masa sebelum Ramadhan tahun ini.

Kita tidak berhasrat pun nak buat haji.
Kita tidak bayar langsung zakat. Hak orang susah yang kita abaikan. Dan kita bersedekah sikit sangat.

Ya Allah, ampunkanlah aku.
Ya Allah, aku berjanji aku akan buat lebih baik daripada ini. Balikkan aku ke dunia Ya ALLAH, sekejap pun jadilah.

Ya Allah, tolonglah ya Allah. Aku tidak mahu ke neraka.

Tetapi segalanya sudah terlambat.

Lantas, berbaloikah semua yang kau kejarkan semasa hidupmu di dunia?

Berbaloikah rumah besar?
Sedang akhirnya rumah yang kekal hanya 7 kaki dalamnya.

Berbaloikah bekerja siang dan malam dan meninggalkan solat dengan sengaja demi menjaga hati majikan dalam mesyuarat?

Berbaloikah mencintai seseorang hingga melebihi cinta pada Ilahi?

Kerana segalanya akan kau tinggalkan suatu hari nanti. Segala-galanya. Dan kau masih hidup dengan keadaan terleka mengejar dunia.

Demi masa.
Sesungguhnya, manusia berada dalam kerugian.
Kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Roziyawati binti Abdul Shukor (nama pena: Nuarindah Nuari). Pengalaman bekerja 12 tahun dalam bidang perakaunan. 6 tahun daripadanya dalam bahagian pengurusan di salah sebuah anak syarikat kumpulan Johor corporation. Sekarang, beliau merupakan perunding kecantikan mary kay dan peniaga niqab. Ikuti perkembangan beliau di Facebook https://www.facebook.com/ogie.ujie

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.