, ,

Dharurat Mengharuskan Perkara yang Dilarang, Tetapi Ada Kadarnya

Segala larangan yang diharamkan Allah dan Rasul sememangnya wajib ditinggalkan.

Namun, kadangkala ada keadaan di mana seseorang itu terpaksa melakukan perkara yang dilarang kerana jika tidak dilakukannya, maka mudarat lebih besar akan berlaku.

Secara tidak langsung, kita sedar bahawa syariat Allah telah memudahkan hamba-Nya sehingga hukum asalnya haram berubah menjadi harus untuk berbuat sesuatu yang dilarang, malah tidak dikenakan dosa.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ

“…maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah 2:173)

Dalam kaedah fiqh ada dinyatakan: “Dharurat mengharuskan perkara haram.”

Pada masa yang sama: “Dharurat ditentukan berdasarkan kadarnya (dharurat mengharuskan benda haram sekadar keperluan sahaja).”

Jadi, walaupun hukumnya harus untuk melakukan perkara yang haram ketika dharurat, tetapi jangan berlebih-lebihan kerana hukumnya boleh berubah menjadi haram semula.

Jom lihat beberapa contoh di bawah:

(a) Hukum makan babi ialah haram.

Namun, jika dharurat dan hanya ada makanan itu sahaja, maka hukumnya menjadi harus tetapi perlu makan sekadar yang perlu sahaja untuk menyelamatkan nyawa. Walaubagaimanapun, kalau makan sehingga kenyang malah simpan pula buat bekalan, maka hukumnya menjadi haram semula kerana telah melebihi kadar yang diperlukan.

(b) Hukum membuka aurat ialah haram.

Namun, jika dharurat dan terpaksa membuka aurat kepada doktor, maka hukumnya menjadi harus tetapi pada kadar batasan aurat di bahagian sakit itu sahaja. Jika buka aurat di selain bahagian sakit, maka ia adalah haram kerana tiada keperluan untuk rawatan.

Cuma, jangan jadikan dharurat itu sebagai alasan untuk bersenang-lenang.

Contohnya, orang yang ada pendapatan atau gaji kecil, dia mengatakan ‘dharurat’ untuk dirinya menggunakan riba kerana ingin memiliki duit yang lebih banyak, sedangkan melalui gaji yang sedikit itu sudah cukup untuk dia teruskan kehidupan.

Maka, konsep dharurat sebegitu adalah salah dan tetap haram di sisi Islam.

Wallahu’alam.