,

Safiyyah Binti Huyay – Isteri Nabi Berketurunan Yahudi

Rasulullah SAW diutuskan kepada seluruh umat manusia tidak kira apa jua bangsanya.

Kepelbagaian bangsa yang menganut agama Islam menjadikan umat Islam sebagai umat yang satu bagaikan satu jasad.

Hal ini dapat dilihat menerusi kehidupan kekeluagaan Baginda.

Salah seorang Ummahat al-Mukminin bukan berasal daripada bangsa Arab sebaliknya berasal daripada bangsa Yahudi.

Ya, Yahudi yang sudah berasimilasi dengan bangsa Arab dan menetap di kota Khaibar.

Beliau ialah Sayidatina Safiyyah binti Huyay.

Keberadaan beliau di dalam keluarga Nabi SAW sedikit sebanyak menyebabkan gelora namun dengan kebijaksanaan Baginda mengawal keadaan, gelora tersebut akhirnya tidak menyebabkan ombak yang membadai.

Masakan tidak, latar belakang Safiyyah yang berasal daripada keturunan Yahudi itu pada mulanya telah menjadi bahan sindirian oleh madunya yang lain.

Keturunan Nabi dan Pemimpin Kaum

Diriwayatkan bahawa nasab keturunan beliau dari sebelah bapa ialah Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Tha’labah bin ‘Ubaid bin Ka’ab bin al-Khazraj bin Abi Habib bin al-Nadhir bin al-Nakham bin Nakhum.

Dan sampai kepada Lawi (Levi) bin Ya’qub AS.

Anak perempuan Lawi bernama Yukabid telah berkahwin dengan Imran yang kemudiannya melahirkan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun AS dan Maryam.

Daripada nasab ini, jelaslah bahawa Sayidatina Safiyyah berasal daripada keluarga para nabi Yahudi Bani Israel.

Selain itu, beliau juga berasal daripada keluarga Yahudi yang ternama di kota Madinah iaitu Bani Nadhir melalui jalur keturunan bapanya.

Manakala daripada keturunan ibunya yang bernama Barrah binti Samaw’al pula berasal daripada keturunan Arab Bani Harith yang telah memeluk agama Judaisme kaum Yahudi.

Bukan setakat memiliki jurai keturunan nabi, Sayidatina Safiyyah juga merupakan anak perempuan kepada pemimpin kaumnya, Bani Nadhir.

Ayahnya, Huyay bin Akhtab merupakan pemimpin Bani Nadhir yang disanjungi kerana keberaniannya dalam peperangan dan kebijaksanaannya.

Sayidatina Safiyyah telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum dikahwini oleh Rasulullah SAW.

Suaminya yang pertama ialah Sallam bin Misykam, seorang lelaki yang juga berbangsa Yahudi. Namun, beliau telah diceraikan.

Lalu, beliau berkahwin pula buat kali yang kedua dengan Kinanah bin Abi al-Haqiq.

Bani Nadhir diusir

Kota Madinah atau sebelum ini disebut sebagai Yathrib didiami oleh dua puak utama Arab dan tiga puak utama Yahudi.

Puak Arab ialah Bani Aus dan Khazraj manakala puak Yahudi pula ialah Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir.

Bani Nadhir sebagaimana puak-puak Yahudi lain di Madinah menggunakan nama Arab namun berturut dengan dialek Yahudi bercampur Arab.

Mereka menjalankan aktiviti pertanian dan perniagaan senjata dan barang kemas.

Bahkan ketika sebelum kelahiran Rasulullah SAW, mereka memiliki hubungan perdagangan yang erat dengan para pedagang Mekah.

Mereka mendiami kawasan di selatan kota Madinah.

Kekalahan umat Islam di medan Uhud sedikit sebanyak telah menggugat kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah.

Maka, puak Yahudi Bani Nadhir mengambil peluang untuk melancarkan serangan terhadap Baginda.

Namun, hal ini telah diketahui oleh Baginda dan secara tidak langsung telah mencabuli Piagam Madinah yang telah diisytiharkan sebelum itu.

Maka, mereka menerima nasib yang sama sebagaimana puak Yahudi Bani Qainuqa’ iaitu diusir.

Setelah itu, Safiyyah dan ahli keluarganya menetap di Khaybar. Api permusuhan masih tidak terpadam lagi.

Apabila tercetusnya Peperangan Khandaq, ayahnya, Huyay bin Akhtab bersama pengikut-pengikutnya telah bertindak menyertai pakatan bersama Quraisy yang mengepung kota Madinah.

Mereka tidak menyertai peperangan secara langsung bahkan mendanai keperluan peperangan.

Pembebasan Sebagai Mahar

Akibat daripada penyertaan Bani Nadhir di dalam pakatan bersama Quraisy yang menyerang kota Madinah dalam Peperangan Khandaq, kota Khaibar dikepung oleh Nabi dan para sahabat.

Semua itu adalah balasan kepada pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka.

Tidak lama selepas itu, akhirnya mereka menyerah kalah dan kota Khaibar berjaya dibuka.

Penduduknya pula menjadi tawanan perang. Salah seorangnya ialah Safiyyah binti Huyay, anak pemimpin kota tersebut.

Ibn al-Athir dalam kitabnya, Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW tatkala membuka kota Khaibar dan mengumpulkan tawanan perang, Baginda didatangi oleh Dihyah bin Khalifah.

Dihyah berkata:

Wahai Rasulullah, berikanlah kepada saya seorang jariyah daripada tawanan perang itu.

Jawab Baginda:

Pergi dan ambillah seorang jariyah.

Lalu Dihyah pun mengambil Safiyyah sebagai jariyahnya. Ketika itu, dikhabarkan kepada Baginda tentang latar belakang Safiyyah.

Lalu, Rasulullah SAW berkata kepada Dihyah:

Ambillah jariyah yang lain selain dia (Safiyyah).

Lalu, Baginda pun membebaskan Safiyyah dan menjadikan pembebasan beliau itu sebagai mahar pernikahan.

Secara rasminya, Safiyyah kini bergelar Ummul Mukminin.

Juga diriwayatkan juga bahawa sebelum itu, Sayidatina Safiyyah telah bermimpi melihat bulan purnama jatuh ke dalam bilik tidurnya.

Lalu beliau pun menceritakan perihal mimpi tersebut kepada bapanya, Huyay.

Mendengar cerita tersebut, ayahnya menjadi marah lalu terus memukul muka beliau sehingga meninggalkan kesan.

Katanya:

Engkau akan menundukkan lehermu di sisi seorang raja berbangsa Arab!

Apabila Safiyyah ditanya oleh Rasulullah SAW tentang luka tersebut di mukanya itu, barulah beliau menceritakan peristiwa tersebut kepada Baginda.

Kerana Cemburu

Begitulah lumrah. Sifat cemburu sememangnya sukar untuk dikawal oleh kebanyakan wanita hatta wanita yang menjadi isteri Rasulullah SAW.

Walau bagaimanapun, semua itu tidak mencalarkan kemuliaan mereka sebagai Ummahatul Mukminin.

Diceritakan sendiri oleh Sayidatina Safiyyah, beliau berkata:

Suatu hari Rasulullah SAW singgah ke rumah saya. Saya menceritakan kepada Baginda bahawa Hafsah dan Aisyah telah menyindirku dengan berkata:

Kami lebih mula di sisi Rasullah SAW kerana kami merupakan isteri dan juga anak perempuan bapa saudara Baginda!

 Mendengar perkara tersebut, Baginda SAW menjawab:

Jadi, mengapa kamu tidak katakan kepada mereka bahawa kamu merupakan isteri kepada Muhammad, anak kepada Harun dan anak saudara kepada Musa?

Kemudian, diceritakan juga pada satu musim haji, Baginda SAW mengerjakan haji bersama para isteri Baginda.

Namun, di pertengahan jalan, Safiyyah telah terjatuh daripada untanya. Beliau menangis kesakitan.

Lalu, disampaikanlah berita tersebut kepada Rasulullah dan Baginda pun menemuinya. Baginda menyapu air mata isterinya itu dengan tangannya.

Ketika itu, Zainab binti Jahsy lalu di situ. Lalu, Baginda SAW berkata:

Wahai Zainab, tidakkan kamu mahu menumpangkan kakak kamu ini?

Dengan spontan, Zainab menjawab:

Adakah saya perlu menumpangkan wanita Yahudi kamu itu.

Ternyata kata-kata Zainab itu telah menyebabkan Rasulullah SAW menjadi marah.

Akibatnya, Baginda langsung tidak mahu bercakap dengannya sehingga mereka tiba di Mekah, ketika berada di Mina kemudian pulang semula ke Madinah.

Sepanjang bulan Muharram dan Safar langsung Baginda tidak singgah ke rumah Zainab. Sehinggalah pada bulan Rabiul Awal, barulah Baginda singgah ke rumahnya.

Begitulah kisah Sayidatina Safiyyah binti Huyay. Seorang wanita berketurunan Yahudi yang diberikan kemuliaan untuk menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin.

 

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%