,

Walau Sesibuk Manapun Kita, Ucaplah Alhamdulillah

Alhamdulillah… itulah ungkapan keramat yang nampak mudah untuk dituturkan tetapi sukar dilafazkan.

Adakalanya kita akan mengucapkan Alhamdulillah bilamana kita mendapat sesuatu yang kita hajati, sedangkan kita lupa setiap kali kita bangun pagi, dan masih dihidupkan lagi pada hari ini, ucapan yang pertama perlu sebut adalah Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Allah masih memberi kita nikmat bernafas untuk memberi kita peluang hidup dan bertaubat atas segala dosa yang telah kita lakukan.

Rasa syukur atas segala nikmat yang Allah beri adalah dengan mentaati perintah Allah, mengerjakan yang makruf dan meninggalkan segala perkara yang mungkar.

Segala apa yang kita kecapi pada hari ini adalah milik Allah, pinjaman sementara daripada Dia.

Gunakanlah segala pinjaman dengan sebaik-baiknya, supaya mendatangkan manfaat bukan sahaja di dunia, malahan akhirat lebih-lebih lagi.

Nikmat yang Allah berikan melebihi dan tidak mampu kita hitung. Seperti di dalam firmanNya di dalam surah an-Nahl ayat ke-18, “dan jika kamu menghitung nikmat Allah, pasti kamu tidak akan menghitungnya.’

Jelas Allah memberi melebihi apa yang kita pintakan, walaupun terkadang kita sering kali kufur nikmat dan tidak bersyukur tetapi Allah masih sudi mengampunkan kita.

Kita seharusnya meletakkan Allah sebagai cinta yang pertama, atas segala pemberian daripada Dia atas segala nikmat yang diberikan.

Zahirkanlah rasa syukur dengan sentiasa bertasbih, bertahmid, dan berzikir menyebut nama Dia, Tuhan kita yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Tidak rugi jika kita sentiasa bersyukur, kerana Allah berjanji jika kita bersyukur Allah akan tambahkan lagi nikmatnya kepada kita, seperti di dalam surah Ibrahim.

Mengabdikan diri kepada Allah seperti mana yang sering kita lafazkan, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah”, ini adalah tanda kita bersyukur.

Dengan mengabdikan diri kepada Allah semata, kerana berasa sangat bersyukur atas segala yang telah Allah berikan. Itulah tanda cinta kita kepada Dia.

Kita juga perlu menjauhi sifat-sifat mazmumah yang Allah benci. Walaupun terkadang kita cemburu melihat kejayaan orang lain, kemewahan orang lain, keberadaan orang lain.

Tetapi jika kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang, tidak mustahil Allah akan memberi sama seperti apa yang orang lain perolehi, malah boleh lebih daripada itu Allah berikan.

Sayangilah Allah dan Rasul melebihi sayang kita kepada manusia, itulah tanda dan bukti kehambaan kita dengan membalas cinta Allah dan utusan Allah.

Jangan sesekali kita merasa diri kita kekurangan dan menyalahkan Allah atas segala keburukan yang menimpa kita. Sebaliknya, ambillah masa bermuhasabah diri dan melakukan solat taubat tanda kita seorang pendosa dan sering kufur nikmat.

Ucapkanlah rasa syukur dengan sentiasa mendoakan untuk keluarga kita, sahabat-sahabat kita, dan umat Islam seluruhnya.

Walau di mana pun kita berada, sentiasalah berzikir dan mengucapkan Alhamdulillah dan walau sesibuk mana pun kita namun dengan mengucapkan Alhamdulillah sudah mencukupi untuk menunjukkan kesyukuran kita kepada Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.