,

Kenapa Masyarakat Perlu Meminggirkan Mereka

Kerana masa lalu yang kita tempuhi adalah penuh dengan onak dan duri. Tidak semestinya masa hadapan kita juga sebegitu.

Itu adalah pegangan yang Aina pegang selama dia hidup di muka bumi Allah. Walaupun dia diuji dengan pelbagai ujian namun dia kentalkan hati dan kebalkan iman agar dia tidak lemah.

Kadangkala dia kumpulkan kekuatan sebanyak yang mungkin namun kekuatan itu sedikit sebanyak pasti terhakis.

Aina memandang sekumpulan anak-anak kecil sedang berkejaran sesama mereka di taman. Alangkah bahagianya dia bisa hidup seperti anak-anak kecil itu semula. Pasti fikirannya tidak dihujani dengan masalah-masalah yang berkaitan dengan duniawi.

“Kenapa termenung?” Soal Puan Ruhana. Dia mengambil tempat bersebelahan dengan gadis itu.

Dia sendiri tidak betah untuk membiarkan Aina hanyut dalam dunianya sendiri. Aina membalas soalan Puan Ruhana dengan satu senyuman yang manis.

Walaupun wanita itu sekadar ibu angkat namun Aina telah menganggap wanita itu sebagai ibu kandungnya sendiri. Ibu pasti ada di belakangnya memberikan kata-kata semangat sepanjang dia menghadapi ujian berat.

“Aina rasa dunia dah tak penting bagi Aina untuk teruskan kehidupan. Aina rasa macam dunia ni kejam.” Aina melontarkan luahan isi hatinya kepada wanita itu.

Puan Ruhana menarik nafas panjang.

“Allah baru uji Aina dengan ujian yang sikit. Aina sudah mengalah?” Soal Puan Ruhana lalu matanya dialih kepada anak mata gadis itu.

Aina menunduk memandang tanah. Air matanya jatuh mengalir di pipi. Rasa sakit di hatinya tidak mampu dia usir kerana sakit hanya tuhan sahaja yang tahu.

“Allah duga Aina sebab Allah nak tengok sampai tahap mana kesabaran yang ada pada Aina. Tapi sayang.. Allah uji sikit Aina dah lemah. Sampai bila Aina nak hidup macam ni? Tak kesian pada Danish ke.” Nada Puan Ruhana meninggi. Pantang sekiranya dia melihat ada orang yang mengalah tanpa berusaha.

Makin lebat air mata Aina apabila wanita yang berusia itu menyebut nama anaknya. Walaupun dia seorang gadis yang kotor namun bayi yang berusia 17 hari itu tidak bersalah. Kerana ia hanya menjadi mangsa keadaan.

“Kamu lupakan masa lalu kamu, Aina. Tumpukan sepenuh perhatian kepada Danish. Dia perlukan kekuatan kamu untuk dia hidup di muka bumi Allah ini. Kamu tak boleh lemah.” Puan Ruhana memegang erat bahu Aina. Dia mahu menyalurkan kekuatan kepada gadis itu.

“Aina tak kuat. Aina takut orang luar pandang serong pada kami, ibu,” dia sendiri berani membuat dosa tapi dia sendiri takut berhadapan dengan masyarakat luar. Maafkan mama, Danish.

Puan Ruhana menggeleng lemah melihat gadis yang berusia 19 tahun itu menangis. Kenapa masih ada masyarakat yang perlu meminggirkan mereka. Kenapa masih ada masyarakat yang menunding jari kepada mereka. Allah!

“Ibu akan pastikan yang Aina selamat hidup di bawah penjagaan ibu. Tapi Aina janji pada ibu satu perkara.” Puan Ruhana mengelap sisa air mata anak gadis itu.

“Janji apa ibu? Aina akan tunaikan janji ibu.” Aina memandang wajah wanita itu. Tiada kedutan di wajah perempuan itu walaupun sudah menjengah usia 56 tahun.

“Janji dengan ibu yang Aina akan kuat lawan dengan masyarakat luar. Aina janji Aina kena hidup bahagia dengan Danish.” Pesan Puan Ruhana

“Baik ibu.” Aina berjanji dia akan hidup bahagia bersama anaknya, Danish.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Norizzati binti Mohamad Hadziri. Berasal dari Pekan, Pahang.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

18 points
Upvote Downvote

Total votes: 28

Upvotes: 23

Upvotes percentage: 82.142857%

Downvotes: 5

Downvotes percentage: 17.857143%