,

Rahsia Rahmat Allah. Mengapa Harus Memburu Rahmat Allah?

Ya Salam Ya Allah.

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Apa khabar sahabat pembaca? Moga saudara sentiasa dipayungi rahmat Allah. Rahmat? Apa itu Rahmat ye? Soalan ini pernah saya tanyakan satu ketika dulu. Sewaktu kesusahan menghimpit datang silih berganti.

Ketika itu saya sering mendengar kata-kata semangat, “Jangan berputus asa dengan Rahmat Allah”. Malah perasaan ingin berbicara dengan Allah, menyebabkan tangan ini membuka helaian Al-Quran secara rawak dan Allah pandangkan surah berikut:

“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah” (Surah Az Zumar: ayat 53)

Rahmat Allah ada di dalam hati, tetapi kita tidak sedar malah kita tidak tahu bagaimana rahmat ini menerobos ke dalam hati hamba Allah yang disayangi-Nya, sehingga mereka menjadi bahagia, hidup dalam keberkatan dan redha Allah.

Malah mereka merasa tenang dan mudah menerima kenyataan dalam perjalanan hidup mereka.

Tahukah saudara, berapa banyak nikmat rahmat Allah yang dinikmati oleh seluruh makhluk di dunia ini sebenarnya baru satu rahmat?

Rahmat bertebaran ke atas semua makhluk hatta melihat anak-anak ayam yang sedang makan. Sudahlah kita menyaksi Rahmat Allah tatkala melihat gambar anak-anak ayam yang sedang makan ini? Dengan Rahmat Allah lah binatang-binatang ini diberi makan. Allahu…

“Sesungguhnya Allah di hari penciptaan rahmat telah meciptakan 100 rahmat, kemudian 99 rahmat ditahan tetap ada di sisi-Nya dan satu rahmat diberikan kepada seluruh makhluk-Nya. Seandainya orang kafir mengetahui rahmat yang ada di sisi Allah, tentu dia tidak akan pernah berputus asa dari syurga. Dan seandainya orang mukmin mengetahui siksa yang ada di sisi-Nya, tentu dia tidak pernah merasa aman dari neraka.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Bila membaca hadis ini saya juga baru sedar betapa kesenangan yang kita rasai mahupun kita pandang dan menyaksikan kekayaan, kesenangan dan kebahagiaan orang lain malah di seluruh dunia ini baru 1 bahagian dari 100 rahmat Allah. Allahu Akbar!

“Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat. Dari seratus itu, hanya satu rahmat yang diberikan kepada penduduk dunia. Satu rahmat itu diluaskan bagi mereka hingga tiba ajalnya. Dan Allah mengakhirkan 99 rahmat untuk para kekasih-Nya. Allah Taa’la, Dialah yang menggengam rahmat yang diberikan di antara penduduk dunia hingga 99, kemudian menyempurnakan menjadi seratus rahmat untuk para kekasih-Nya pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Al-Hakim)

Pesan seorang guru, berusahalah meraih 99 rahmat akhirat, pasti 1 rahmat di dunia akan dia dapat. Barangsiapa yang mengejar akhirat, pasti dunia dia akan dapat dan barangsiapa yang mengejar dunia semata-mata, maka akhirat dia akan kerugian.

Allah berfirman: “Barangsiapa berkehendakkan keuntungan di akhirat, akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barangsiapa berkehendakkan keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.” (Surah Al-Syura: ayat 20)

Malah satu hari nanti kita akan masuk syurga kerana Rahmat Allah bukan semata-mata amalan kita. Maka burulah rahmat Allah di dunia ini.

Bagaimana pula cara merebut 99 rahmat Allah ini? Nantikan artikel seterusnya, insyaAllah.

Sekarang sudah boleh mula berdoa dan berniat mohon Allah bimbing kita untuk merasai nikmat sebenar betapa Maha Rahmat Allah agar kita merasakan betapa dahsyatnya pengaruh dan kekuatan rahmat Allah.

Betapa Rahmat Allah sangat indah sehingga merasa nikmatnya ibadah solat sehingga kita ternanti-nanti waktu solat. Sehingga kita merasakan kesempitan dan kekurangan akan merubah menjadi tenang dan lapang dada.

Bila rahmat itu hadir, ia mengubah perasaan kita dalam menghadapi setiap situasi hidup, malah mengalir ke seluruh jiwa kita sehingga menghadirkan kekuatan diri malah lebih dahsyat lagi kita meraih sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan dan kita boleh melakukan sesuatu perkara yang kita tidak pernah fikirkan sebelum ini.

Sudahkah saudara rasakan begitu? Tanya diri kita, jika belum, jom kita niat dari sekarang ye.

“Ya Robb kami, janganlah Engkau gelincirkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau lah Maha Pemberi Kurnia.” (Surah Ali-Imran : ayat 8)

Moga kita berpaut dengan ikatan silaturrahim walaupun melalui alam maya ini. Moga sahabat yang membaca sudi doakan kebaikan buat saya.

Saya doakan kepada sahabat yang sudi berkongsi artikel ini, moga Allah titipkan hadiah dan kurniaan yang terbaik di sisiNya buat sahabat-sahabat pembaca. Walaupun kita belum pernah bersua muka, moga kesudian menyebarkan tulisan ini menjadi asbab kebaikan. InsyaAllah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Era Adlina yang merupakan seorang penulis buku, motivator dan Profesional Learning Facilitator. Buku sulong berjudul Bersama Kesusahan Ada Kesenangan. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Era Adlina dan Blog www.eraadlina.com.

Pernah menjalankan seminar Mudahnya Menjemput Rezeki, Berani Bangkit. Terlibat sebagai Trainer untuk program Jom Syahadah untuk bantu masyarakat membangkitkan nilai-nilai positif, meraih ketenangan dan kebahagian.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%