Sentiasa bersyukur apa yang kita perolehi. Ada orang dikurniakan kemewahan harta yang melimpah ruah. Ada yang berkahwin di usia muda dan terus mengandung.
Dan ada juga yang bekerjaya menjawat jawatan tinggi namun sering diuji. Setiap orang tidak sama ujian dari Nya.
Merenung sejenak di bingkai tingkap sambil menghirup udara malam yang dingin. Terasa sebak bila teringat kembali pesanan arwah abah dan arwah Syuk.
Ya Allah, kuatkanlah semangat aku untuk meneruskan kehidupan. Arwah Syuk meninggal lima bulan selepas arwah abah meninggal.
Arwah seorang yang baik dan selalu menceriakan keadaan. Walaupun jarang berjumpa, hanya mesej di whats app. dan panggilan telefon sebagai pengubat rindu.
Kami merancang untuk menikah pada tahun ini. Tetapi Allah lebih sayangkan arwah.
Di kala aku kesedihan dengan kematian arwah abah, beliau tidak putus memberi kata-kata semangat.
Paling terkesan sampai sekarang adalah bait ayat beliau. “Awak, kalau saya tiada nanti, agak-agak awak rindu saya tak?”
Aku menjadi kaget. Lidah ku kelu dan terasa sebak. Dengan nada berseloroh, kedengaran dia bercakap, “Awak, saya tak nak tengok awak sedih. Saya nak awak kuat semangat. Sebab semua orang akan meninggal, tapi tak tahu bila. Kalau dah sampai ajal, kita akan pergi juga. Sabar ya awak..”
Usai menamatkan perbualan telefon, secara tidak sengaja manik-manik halus jatuh di pipi gebuku. Allah.. betapa rindunya aku kepada arwah abah. Maklumlah anak abah. Aku lebih manja dengan arwah abah. Hanya doa ku titipkan untuk abah.
Awak, maafkan saya. Saya tak tahu yang awak sakit. Awak tak pernah beritahu saya yang awak sakit. Patut la awak kerap sepikan diri dan kita jarang berhubung mulai bulan Ogos 2017.
Rupa-rupanya awak tengah menahan kesakitan dan ditahan di wad awal bulan September.
Awak.. sampai hati awak tak beritahu saya. Saya pelik bila saya telefon awak dan hantar mesej tapi hampa. Awak tak balas dan jawab panggilan saya.
Serius saya rindu awak. Bila saya stalk awak di facebook awak, saya terkejut dan tak sangka.
Lantas saya terus hantar mesej di facebook messenger adik awak. Ternyata benar dan sahih. Jujur saya terasa amat kehilangan orang yang saya sayang.
Awak, maafkan saya. Saya tidak kuat semangat seperti pesanan awak. Berjuraian air di kelopak mata saya yang tidak dapat dibendung lagi.
Genap setahun lebih arwah abah dan arwah Syuk meninggal. Perasaan rindu yang menebal. Hanya doa ku kirim setiap hari agar arwah bahagia di sana. Segala nasihat dan kata-kata semangat dari arwah akan ku ingat sampai bila-bila.
Pesan abah : “Biar orang buat kita, jangan sesekali kita buat orang. Kerja, biasalah. Memang banyak cabaran, memang macam tu.”
Nasihat Syuk : “Saya tahu awak seorang yang kuat dan tabah. Walaupun apa yang berlaku, awak kena sentiasa sabar. Awak kan kuat semangat. Jangan sedih-sedih tau.”
Tiada lagi kedengaran suara arwah abah dan arwah Syuk. Serius aku rindu. Hanya Allah Maha Mendengar, dan Maha Mengetahui segalanya.
Apabila stress akibat bebanan kerja melampau, pesanan dan nasihat arwah acapkali berlegar-legar di kotak fikiranku. Lantas ku terus beristighfar dan kembali senyum serta berfikiran positif. Moga aku terus tabah, cekal dan kuat semangat untuk mengharungi hari mendatang. In shaa Allah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Aidatul Azla Abidi.
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)