Bila sebut saja ‘hari raya Aidilfitri’ pasti ia meninggalkan satu kesan kepada perasaan, rasa keterujaan, rasa sayu dan syukur yang bercampur baur.
Mendengar bait-bait takbir raya saja sudah cukup membuatkan mata ini berkaca. Bagi yang masih belum merasa kehilangan orang terdekat mungkin perasaannya sekadar biasa-biasa saja, keterujaannya itu lebih kepada rasa gembira menyambut kemeriahan Syawal bersama keluarga.
Pernah satu ketika saya disapa mudir sekolah, Ustaz Mohd Zain, dalam majlis sambutan hari raya, beliau menyapa saya dan kawan-kawan yang waktu itu berkumpul di satu sudut sekolah.
“Kita sambut apa ni?”
“Hari raya Aidilfitri la, ustaz.”
“Haa, fitri tu maksudnya apa?”
“Fitrah ke, ustaz?”
“Betul, jadi kita ni dah balik kepada fitrah ke belum?”
Kami kehilangan kata-kata, ‘Apa maksud ustaz ni, fitrah apa?’
Mungkin mudir nampak kami agak blur jadi dia menyambung kata-katanya,
“Kita sudah melalui 3 fasa dalam bulan Ramadhan iaitu fasa rahmat, fasa pengampunan dosa dan fasa pelepasan dari api neraka. Jadi, Aidilfitri ni sepatutnya disambut dalam keadaan kita kembali kepada fitrah, bersih daripada dosa umpama bayi yang baru lahir.”
Satu perbualan santai dicetuskan oleh beliau namun ia masih melekat di dalam memori minda sehingga ke hari ini.
Ya benar, bukan mudah mendidik diri untuk beramal pada bulan Ramadhan jika bulan-bulan sebelumnya saja kita sudah culas dalam menunaikan tanggungjawab.
Apatah lagi untuk menganggap betapa pentingnya untuk dihayati dan dimanfaatkan tiga fasa ini dalam kita mencari keterujaan menyambut kedatangan Syawal.
Bagi yang benar-benar menghayati makna Aidilfitri itu, ia bukan sekadar, “Yeayyy, dah boleh makan tengahari” ataupun, “Leganyaaa, dah tak payah bangun awal pagi” dan semestinya bukan, “Duit raya, aku datang.”
Melalui tempoh sebulan menahan diri dalam bulan Ramadhan seharusnya mendidik kita untuk terbiasa dengan amalan-amalan yang baik.
Sehingga ianya menjadi satu kepuasan bagi seorang muslim meraikan pencapaiannya sepanjang bulan Ramadhan bila tibanya Syawal.
Syawal datang lagi buat yang masih diberi peluang. Muttakhir ini banyak pula berita-berita sayu tentang kematian. Ramai yang hanya sempat menjalani ibadah puasa beberapa detik sahaja, kerana ajal itu tidak akan lambat atau cepat walau sesaat.
Dalam menyambut kemeriahan Syawal, semoga kita tidak lupa bahawa kita ini muslim sepenuh masa. Banyak perkara kita kena jaga supaya tidak hilang segala pahala ibadat di bulan puasa.
Mulut tu kena jaga, jangan sampai kita sakitkan hati orang. Mata pun kena jaga, jangan sampai kita salah pandang. Telinga pun kena juga jaga, jangan dengar umpatan orang. Pokoknya, semua anggota kena jaga ya, anak-anak.
Bila dah berkumpul semua sanak-saudara dan kawan baik ni kawal diri daripada berbincang pasal kehidupan orang lain. Cakap pasal diri sendiri lagi cantik.
Apapun, semoga Syawal ini jadi Syawal yang bermakna. Walau ada yang diuji dengan kehilangan, atau perpisahan usah diturutkan rasa sedih itu. Hargai kehidupan yang masih ada untuk kehidupan lain yang akan menjemput bila-bila masa.
Salam lebaran.
Siiru ‘ala barakatillah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.