, ,

Kunjungan Di Hari Yang Mulia

“Rumah ini rasa-rasa boleh tak?” Nana bertanya kepada Leman, Ali dan Din. Ani yang dibonceng di belakang basikalnya diam sahaja.

Kelihatan kanak-kanak lelaki bertiga itu berbincang dalam bahasa sendiri sebelum setuju untuk masuk bersama.

“Assalamualaikum… kami datang nak raya,” Ali memberi salam dengan begitu kuat.

Kemudian sekali lagi mereka beramai-ramai memberi salam. Mereka tidak mengetuk pintu kerana tidak mahu mengganggu. Cukuplah salam sebagai syarat.

“Waalaikummussalam.” Seorang nenek membuka pintu. Wajarlah agak terlewat. Kerana pergerakannya sangat perlahan.

“Ramainya! Masuklah cu. Duduk minum.” Nenek itu menjemput dengan mata yang bercahaya. Senyumnya panjang.

“Dari mana semua ni?” Nenek itu kembali dengan beberapa coklat dan keropok di tangan dari arah dapur. Dan kelihatan seorang lelaki tua tersenyum sama memandang mereka semua.

“Dekat-dekat sini ja, nek!”

“Kampung sebelah!”

“Lorong sana!” Seorang demi seorang menjawab, tak nak kalah. Nenek dan atuk ketawa kecil, seronok melihat gelagat-gelagat anak kecil sebaya cucu mereka ini tergopoh-gopoh makan.

Selepas satu, satu balang dibuka. Kemudian asyik menambah air. Tak cukup air merah, mereka minum air berwarna oren pula. Gaya macam lapar sungguh, sedangkan itu bukanlah rumah pertama mereka singgah.

“Cucu atuk dan nenek lebih kurang umur cucu semua ni,” atuk bersuara setelah sekian lama hanya memandang sahaja.

“Mereka mana?” Nana bertanya jujur.

“Belum balik lagi.” Atuk menjawab perlahan. Kelihatan nenek memandang jauh ke arah suaminya.

“Nanti baliklah tu!” Ali spontan menjawab. Kelihatan atuk dan nenek kembali senyum.

Habis saja sesi soal-jawab dan berbual dengan atuk dan nenek yang suka bercerita itu, mereka berlima pun memohon untuk pulang.

“Kami balik dulu ya, nek!” Leman memohon izin untuk pulang. Masing-masing bersalam sambil mencium tangan mereka berdua, sayu.

“Maafkan nek ya cu, nenek tak ada duit raya nak bagi,” jawapan nenek membuatkan mereka berlima mendongak memandang wajah tua itu.

“Kami datang nak raya ja nek! Kuih nenek sedap.”

“Kerepek pun!” Ayat Nana tadi disambung cepat oleh Ali.

“Terima kasih nek, atuk.” Din berkata mewakili kawan-kawannya.Setelah bersalaman dan memeluk tuan rumah yang begitu istimewa itu, mereka kembali mengayuh basikal untuk pulang.

“Kau rasa anak dan cucu mereka balik bila?” Tanya Nana sambil mengira-ngira bilangan hari raya yang sudah beberapa hari berlalu.

“Nanti baliklah tu. Kita doalah sama-sama.” Leman menjawab bersahaja sambil mereka semua kembali sambung untuk beraya. Mencari rumah-rumah yang sudi menerima dengan hati terbuka.

Namun tidak boleh berlama, kerana hari sudah menjelang senja.

Nabi bersabda:Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

**Pada yang berpeluang, ambillah kesempatan meraikan hari raya bersama yang tersayang. Hargailah mereka sementara masih ada.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.