, ,

Kad Raya Dari Penjara (Bahagian 2 – Akhir)

sumber gambar: Google

“Syahida, anak ibu..” Satu suara gemersik menyapa deria dengarnya. Ada sentuhan lembut dirasakan mengusap mesra ubun-ubunnya. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka untuk melihat pemilik suara semerdu buluh perindu itu.

“Ibu!” Serta-merta didakapnya tubuh pemilik suara itu. Insan yang saban hari didamba hadir dalam setiap mimpi lenanya. Cukuplah sekadar dalam mimpi buat melampias bait-bait rindu yang tak terucap.

Sungguh, dia merindui wajah dengan senyum yang mendamaikan itu. Bagai ada syurga yang dirindukan pada wajahnya yang tak pernah jemu dipandang. Ibu tidak banyak berkata-kata, hanya membelai dia yang sedang berbaring di riba ibu bagai seorang anak kecil.

“Kenapa adik tak datang sekali, ibu?” Dia bertanya seraya merenung wajah lembut ibu. Dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir, jari telunjuk ibu menuding ke satu arah – sayup-sayup di hadapan sana terlihat satu lorong yang bercahaya – di hujungnya seorang anak kecil sedang melambai-lambai mereka berdua.

Perlahan-lahan ibu meleraikan dakapannya. Dia tahu sudah saatnya mereka berpisah dipisah oleh dua dunia yang berbeza walau hatinya terasa berat. Ibu kucup dahinya sebelum berlalu.

“Janji dengan ibu, jadilah anak yang baik buat ayahmu…” Bisikan ibu terngiang-ngiang mengusap gegendang telinganya. Namun kelibat ibu sudah tiada kelihatan di mana-mana.

Merenung diri

Dia terjaga dari lenanya di atas sofa di tengah-tengah ruang tamu. Siaran televisyen masih terbuka dengan memaparkan siaran ulangan bacaan Al-Quran oleh qari luar negara. Kesyahduan tarannum Nahwand yang dialun berjaya menghadirkan ketenangan kala dinihari itu.

Dia terus mendengar tanpa beralih ke saluran lain. Tertera di skrin televisyen surah yang dibaca, Surah Al-Israa ayat 13 hingga 24.

Tangannya segera mencapai tafsir Al-Quran berkulit biru nilam di atas meja kopi di hadapan sofa yang diduduki. Tiba di ayat ke-23 dan 24, bacaan qari tersebut menjadi kian sayu.

Momentum ingin tahunya segera mendesak sepasang mata bundarnya untuk melirik terjemahan ayat apakah yang dibaca hingga mampu mengalirkan sejenis rasa tak tergambar dalam jiwa.

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sesekali engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.”

Matanya terus melirik lagi ke ayat seterusnya.

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil.”

Wajah bujurnya diraup dengan kedua belah tapak tangan. Tipulah jika dia tidak pernah dihantui rasa berdosa kerana menghukum seorang ayah atas kekhilafan lampaunya.

‘Maafkan dan lupakan. Semudah itu. Hidup kau menjadi sukar kerana secalit ego. Tetapi, sekali kau cuba maafkan dan lupakan, hidup kau akan jadi tenang, setenang-tenangnya. Dada kau akan rasa lapang selapang-lapangnya. Bukankah kau juga perlukan kemaafan saat terkhilaf?’ Matanya dipejam, nafas cuba dihela sedalam-dalamnya. Susah benarkah memaafkan dan melupakan?

‘Dendam takkan bawa kau ke mana-mana,’ jiwanya bermonolog sendiri.

‘Kau sebenarnya sedang menyeksa mental kau sendiri, Syahida. Dendam hanya akan membuatkan jiwa kau lebih sakit. Lebih lama kau pendam, lama-lama kau akan jadi gila!’

‘Kau buatlah amalan sebanyak mana pun. Sekali kau biadab dengan orang tua, bau syurga pun belum tentu kau dapat!’

Dentingan jam di dinding menyentak lamunannya. Tepat empat pagi. Jarang-jarang dia mendapat peluang bangun di sepertiga akhir malam sebegini lebih-lebih lagi dalam sepuluh hari terakhir Ramadhan.

Selalunya bangun untuk bersahur pun ala kadar sahaja. Dia bingkas mengatur langkah menuju bilik air.

Dinihari 23 Ramadhan 1438H. Di atas hamparan sejadah biru itu dia tenggelam dalam lautan munajat sujud terakhirnya. Mengadu segala kegusaran hati. Memohon dibersihkan daripada segala penyakit hati yang tanpa sedar membarah parah.

Meminta dikurniakan ketabahan buat jiwa yang terkadang rebah serta kesejahteraan buat roh ibunya di alam barzakh. Untuk seketika, jiwanya beransur tenang.

Pada waktu yang sama, di satu tempat yang berbeza, seorang ayah tua juga sedang bermunajat, mengirimkan untaian doa buat puteri tunggalnya dari kejauhan.

Kepulangan

1 Syawal 1438H.

Pagi Syawal itu, usai solat sunat Eid di masjid, tanpa lengah dia segera menghalakan pemanduannya ke selatan tanah air – desa yang sudah lama ditinggalkan.

Sengaja dia memilih untuk pulang ke kampung pada pagi Syawal untuk mengelakkan daripada terkandas lama di lebuh raya akibat kesesakan trafik.

Dia teringat Syawal-Syawal yang berlalu sejak lima tahun lepas iaitu sejak ayah dibebaskan dari penjara. Syawal tahun-tahun lalu dihabiskan dengan mengembara ke luar negara.

Begitu juga dengan cuti Syawal kali ini. Tiket ke Beijing yang sudah ditempah beberapa bulan lalu terpaksa ‘burn’ begitu sahaja. Panggilan desa lebih kuat menyerunya kembali, mungkin saja kerana berkatnya doa Mak Long.

Dia tiba dengan selamatnya di perkarangan rumah arwah ibu sebelum menjelang tengah hari. Halaman kelihatan bersih, tentu sahaja dijaga dengan elok oleh ayah. Namun..

Di mana ayah? Kenapa rumah sepi berkunci bagai tiada penghuni?

Pintu rumah dibuka dengan kunci pendua yang dimiliki. Ruang tamu rumah juga kemas, tidak banyak berubah posisi perabot seperti kali terakhir dilihatnya lima tahun lalu. Tapi tiada tanda-tanda ayah ada di dalam rumah.

Ke mana saja ayah pergi?

“Ayah?” Dia memberanikan diri bersuara memanggil nama itu. Hampa. Sunyi macam dalam gua.

Ada sesuatu yang menariknya di sebuah meja kecil di sudut ruang tamu. Dulu, di ruang tamu itulah tempat ibu mengajarnya mengenal ABC dan mengaji muqaddam. Punggungnya dilabuhkan di sofa rotan yang sudah antik.

Sebingkai potret dirinya bersama arwah ibu lebih dua puluh tahun lalu ditatap sepenuh rindu. Lantas dikucupnya potret kecil berbingkai hati itu bagai mengucup dahi ibu seusai jenazah ibu harum dimandikan.

Laci meja kecil itu pula ditarik bagaikan ada sesuatu yang menarik-narik perhatiannya ke situ.

‘Banyaknya kad raya.. Siapa yang hantar semua kad raya ni?’

Belum terjawab persoalan di mana ayah berada, hatinya diserbu sebuah tanda tanya baru. Dari mana datangnya kad-kad raya yang banyak ini?

Kad-kad raya yang beraneka warna itu ditatap, dibelek satu persatu dengan dahi yang berkerut. Kesemuanya terdapat 19 keping kad raya di dalam laci itu.

Sejenak air mukanya berubah tiba-tiba. Rupa-rupanya semua kad raya tersebut dikirim dari penjara, siapa lagi kalau bukan ayah yang mengirim.

Setiap kali Mak Long beritahu ada kiriman kad raya buatnya daripada ayah, dia tidak pernah mahu menerima apa lagi membaca.

Ayah tak pernah pun melupakannya walau terpisah di balik tirai besi. Ayah tetap berusaha untuk mengingatinya, walau hanya dengan melayangkan sekeping kad raya pada setiap Syawal. Malah, tak mungkin dia menjadi dirinya yang berjaya kini tanpa doa seorang ayah.

Kedengaran seseorang memberi salam sebelum pintu utama dibuka. Mak Long yang tinggal bersebelahan datang menjenguknya. Tentu saja Mak Long perasan keretanya yang diparkir di bawah pohon rambutan di hadapan rumah itu.

“Mak Long!” Tubuh rendang Mak Long diterpa, lalu didakap kejap.

“Budak bertuah ni, kenapa tak terus ke rumah Mak Long? Semua kat rumah tu dah berkumpul tunggu Ida seorang yang belum sampai..”

“Ayah mana, Mak Long?” Soalan Mak Long tak dijawab, namun dibalas dengan soalan juga.

Riak wajah Mak Long yang berubah cukup membuatkan jantungnya berdetak lebih kencang. Tangan Mak Long digenggam, cuba untuk mencari kekuatan daripada jawapan yang bakal keluar dari lisan Mak Long.

Hatinya tidak putus-putus berdoa semoga tiada musibah berlaku pada ayah atau dia akan menyesal seumur hidup!

Kembali kepada fitrah

Pak Karim selesai menghadiahkan Yasin di sisi pusara arwah isterinya, di rimbunan perdu pohon kemboja itu. Wangian air mawar dijirus manakala kepingan kelopaknya yang merah ditabur menyerikan pusara, dari hujung ke hujung nisan.

“Ayah..” Satu suara yang sudah sekian lama tidak didengarinya kedengaran sangat hampir. Terlalu hampir. Ditolehnya ke sisi, seorang anak gadis yang kian mendewasa, saban hari diingati dalam setiap doa tiba-tiba datang melutut di hadapannya.

“Ayah… ayah masih sudi ampunkan semua dosa Ida?” Ada cecair jernih yang bergenang di tubir mata anak gadis itu.

“Sebelum kau minta, dah lama ayah ampunkan kau, nak.” Lebih dua dekad jiwa tua seorang ayah menanti saat itu. Ternyata Tuhan itu mengabulkan doanya pada saat yang tepat walau masa yang harus dikorbankan cukup lama.

Dahi mulus zuriat tunggalnya itu dikucup hangat, seperti saat dia menyambut anak itu lahir ke dunia.

Syawal itu Syawal paling bermakna buat Syahida, juga ayahnya, Pak Karim. Aidilfitri itu Aidilfitri pertama dia kembali kepada fitrah yang sebenar-benarnya.

Tiada lagi dendam yang bernanah, tiada lagi benci bersarang di hati. Hati dan jiwanya kini serasa lapang setelah terlepas bebas dari kurungan penjara keegoan.

“Terima kasih, ayah.” Tangan kasar ayah yang berkedut seribu diraih lalu dicium. Dalam hati dia paterikan azam untuk menggantikan waktu-waktu berharga yang pernah tersia-sia lebih dua puluh tahun lalu.

Tak dinafikan, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Tapi kasih ayah itu tetap mewangi – dan wanginya mengharum sepanjang waktu.

– tamat –

* Klik di sini untuk membaca Kad Raya Dari Penjara (Bahagian 1) *

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.