ALLAHUAKBAR
ALLAHUAKBAR
ALLAHUAKBAR
WALILLAHILHAMD
Takbir raya berkumandang di corong-corong radio dan televisyen, di surau-surau dan di masjid-masjid, menandakan Ramadhan melabuhkan tirainya. Solat tarawikh juga berakhir pada Ramadhan kali ini.
Kini Syawal tiba sebagai tanda kemenangan umat Islam yang berjaya melawan hawa dan nafsu, menahan segala pancaindera daripada perkara yang sia-sia, menahan perut daripada lapar dan dahaga.
Tahniah diucapkan kepada semua umat Nabi Muhammad yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah semata. Kelak masuklah kalian ke dalam syurga ar-Rayyan. Itu janji Allah.
Syawal yang dinanti dan diraikan adalah masa yang terbaik untuk kita memohon ampun dan maaf sesama manusia.
Carilah ruang dan waktu untuk ziarah-menziarahi sanak saudara, kaum kerabat, sahabat handai, demi mengeratkan ikatan tali silaturrahim.
Buat mereka yang sudah lama tidak ketemu ibu dan ayah atau keluarga mungkin kerana konflik keluarga atau masalah yang melanda, inilah masanya untuk pulang ke kampung halaman dan memohon maaf kepada kedua ibu bapamu.
Boleh jadi mereka sangat menantikan kepulangan anak-anak yang mereka sayangi. Tergamakkah kita untuk melihat kedua ibu bapa kita bersedih di pagi Syawal kerana mengenangkan anak-anak mereka yang masih tidak pulang berhari raya bersama.
“Harta dunia kita boleh cari, tetapi ibu ayah tiada pengganti.”
“Harta dunia boleh dicari, tetapi harga sebuah silaturrahim tidak ternilai dan tak terkira dek jari.”
(Kata-kata Ustaz Abdullah Khairi di dalam ceramahnya)
Sebanyak mana pun kita rasa dosa kedua ibu bapa kita kepada kita, mereka tetap ibu-bapa kita yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita semua dengan tidak mengenal erti penat dan lelah.
Firman Allah di dalam ayat-ayat cintaNya,
“Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu-bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman: 14)
Segala sengketa lama yang terpendam di dalam jiwa kita, lepaskanlah ia. Pulanglah di pagi Syawal, dan dakaplah kedua ibu bapa kita yang masih ada, dan peluklah mereka seerat-eratnya supaya mereka dapat mengampunkan segala dosa-dosa kita sebagai seorang anak.
Seorang sahabat pernah berkongsi rasa yang teramat sedih, apabila Syawal kali pertama tanpa ketiadaan ibu di sisi yang telah pergi buat selama-lamanya.
Tiada lagi kucupan mesra, tiada lagi riuh suara sang ibu yang sibuk di dapur di malam raya, tiada lagi kejutan di awal subuh pagi Syawal menggerakkan anak-anaknya bangun untuk mandi sunat Aidilfitri.
Tiada lagi kekecohan suara ibu menyediakan pakaian hari raya, tiada lagi tawa suara ibu ketika menikmati hidangan juadah hari raya bersama sanak-saudara. Yang tinggal hanya sebuah kenangan dan kesepian pusara ibu.
Buat kita yang masih punya kedua ibu dan bapa, hargailah mereka seadanya. Ampunkan segala dosa mereka andai mereka tidak sempurna dalam mendidik.
Pohonlah ampun kepada mereka kerana kita juga anak-anak yang penuh dengan kelemahan.
Manfaatkanlah Syawal yang mulia dengan sebaik-baiknya dengan merendahkan ego dan memohon maaf atas segala kesilapan yang telah kita lakukan terhadap sesama manusia, terutamanya kedua ibu bapa kita.
Teruslah berdoa buat mereka dengan penuh rasa kasih sayang.
“Allahhummaghfirli dzunubi waliwalidayya, warhamhumma kama robbayani soghiro.”
“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku serta dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di waktu aku kecil lagi.”
Fitrahnya manusia itu yang inginkan sebuah kebahagiaan, kedamaian dalam bersilaturrahim.
Fitrahnya manusia yang dilahirkan dalam agama Islam, sebuah agama yang sejahtera dan inginkan kesejahteraan.
Fitrahnya manusia yang ingin kembali kepada kebaikan walau sejahat mana pun mereka.
Fitrahnya manusia yang ingin disayangi Allah dan juga junjungan mulia nabi.
Fitrahnya manusia yang takut melakukan dosa dan ingin masuk ke dalam syurga.
Fitrahnya manusia yang seronok melakukan kebaikan dan takutkan azab daripada Allah.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.
SELAMAT KEMBALI KEPADA FITRAH.
“Taqabbalallahu minna wa minkum, semoga Allah menerima (amal) daripada kami dan (amal) daripada kalian.”
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.