,

Apa Yang Anda Tahu Tentang Syariah Islam?

Syariah Islam

Manusia sememangnya saling memerlukan antara satu sama lain, malah fitrah manusia itu sendiri cenderung untuk bersosial dan hidup bermasyarakat.

Sebab itulah, adanya syariah yang bertujuan untuk menjaga hubungan baik dan keharmonian sesama manusia di atas muka bumi ini.

Jadi, korang mesti nak tahu, syariah itu apa sebenarnya?

Kalau nak senang faham, syariah itu ialah undang-undang. Daripada segi istilah pula, menurut fuqaha dan sarjana Islam, syariah ialah hukum yang ditentukan Allah kepada hamba-Nya dan disampaikan melalui Nabi Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam.

Hukum itu pula apa?

Hukum ialah perintah, iaitu menyandarkan sesuatu perintah kepada seseorang. Dalam Islam sendiri, ada lima bahagian utama hukum Islam yang perlu dipatuhi manusia.

1. WAJIB : Sesuatu yang Allah kehendaki. Disebut fardhu atau wajib.

2. HARAM : Sesuatu yang Allah larang. Disebut haram atau makruh tahrimi.

3. MAKRUH : Sesuatu yang Allah benci. Disebut makruh atau makruh tahzihi.

4. SUNAT : Sesuatu yang Allah suka walaupun tidak diwajibkan. Disebut sunat atau mandub.

5. HARUS : sesuatu yang Allah izin untuk dilakukan atau ditinggalkan. Disebut harus atau mubah.

Jadi, hukum syarak adalah komponen asas kepada syariah kerana hukum terbentuk daripada kefahaman yang mendalam daripada sumber syarak iaitu Al-Quran dan hadith.

Syariah merangkumi tiga perkara penting dalam Islam iaitu akidah, akhlak dan hukum amali.

Jadi, ada empat hukum yang bernaung di bawah syariah Islam, iaitu:

1. IBADAT : Melibatkan urusan manusia dengan Allah.

2. MUNAKAHAT : Melibatkan urusan kekeluargaan.

3. JINAYAT : Melibatkan urusan jenayah, hukuman, dan kaedah perbicaraan.

4. MUAMALAT : Melibatkan urusan manusia sesama manusia dan alam sekitar.

Selain itu, ada beberapa istilah lain yang berkaitan dengan syariah, iaitu:

1. FIQH (faham) : Ilmu tentang hukum syarak yang amali (praktikal) yang difahami daripada dalil. Ilmu fiqh berkembang sesuai dengan perkembangan manusia dari zaman dahulu hingga sekarang walaupun sumber dalilnya tidak berubah iaitu Al-Quran dan Hadith.

2. USUL FIQH (asas fiqh) : Ilmu tentang cara menganalisis atau mengistinbat hukum fiqh berdasarkan dalil. Bagi melengkapkan ilmu ini, bidang ilmu lain diperlukan seperti ilmu Bahasa Arab, ilmu tafsir dan ilmu hadith.

3. QAWAID FIQHIYYAH (kaedah fiqh) : Ilmu tentang prinsip umum untuk diaplikasikan kepada masalah fiqh yang khusus yang telah berlaku dan baru berlaku.

4. ILMU AL-KHILAF : Ilmu tentang perbezaan aliran pemikiran fiqh dan mazhab. Ia berasas daripada bezanya sumber pengambilan hukum dan cara istinbat hukum.

5. TARIKH AL-FIQH : Ilmu tentang perkembangan pemikiran fiqh, bermula daripada zaman Rasulullah sehingga zaman moden.

6. FATWA : Penerangan terhadap hukum syarak oleh faqih terhadap perkara yang berlaku dalam masyarakat. Ia berlaku sejak zaman sahabat sehinggalah sekarang.