Secara asas, semua orang Islam yang telah baligh dan mempunyai akal yang sempurna perlu bertanggungjawab atas setiap jenayah yang dilakukan, tak kira sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak.
Namun, ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada dihukum.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Diangkat kalam (tidak dianggap berdosa) tiga golongan manusia : kanak-kanak sehingga dia bermimpi keluar air mani (baligh),
orang yang tidur sehingga dia terjaga, orang yang gila sehingga dia berakal ataupun sembuh daripada gilanya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Jadi, ada tiga golongan yang dikecualikan iaitu:
– Orang gila
– Orang yang belum baligh
– Orang yang tidur / tidak sedar
Apabila ketiga-tiga golongan ini melakukan jenayah, mereka tidak berdosa dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud dan qisas.
Namun, hakim berhak mengenakan hukuman takzir sekiranya dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat kepada orang lain, contohnya memenjarakan orang gila, memberi sekatan tertentu kepada kanak-kanak atau mengenakan denda bayaran atas kerosakan yang dilakukan.
Setiap orang perlu menanggung kesalahan jenayah yang dilakukan.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Dia akan mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
(Surah al-Baqarah 2:286)
Namun, ada juga tanggungjawab yang perlu ditanggung keluarga iaitu berkaitan pembayaran diyat iaitu membayar ganti rugi ke atas pembunuhan yang tidak sengaja atau pembunuhan yang sengaja tetapi dimaafkan oleh waris.
Wallahu’alam.